Categories
Buku Inspirasi

27 Habit Untuk Menjadi Penulis Bestseller

Setiap kali pulang ke kampung, anak saudara saya yang berusia 5 tahun itu (sekarang 7 tahun) mesti mahu menonton Charlie and the Chocolate Factory. Pada usia 5 tahun, dia sedikit sebanyak dah boleh faham cerita ini walaupun dalam bahasa Inggeris.

Kami selalu mengusiknya. Tak bosan-bosan ke? Tapi masih juga mahu ditontonnya filem lakonan Johnny Depp. Depp juga antara pelakon kegemaran saya. Jadi, makcik ini pun layan juga lah cerita Charlie and the Chocolate Factory. Filem muzikal yang penuh warna-warni, namun banyak pengajaran kepada penonton.

Filem ini diadaptasi daripada buku kanak-kanak yang terkenal dengan judul yang sama karya Roald Dahl. Ia menceritakan tentang Charlie yang mendapat tiket emas untuk masuk ke kilang coklat Willy Wonka. Empat lagi kanak-kanak turut menerima tiket emas. Setiap kanak-kanak ini mempunyai sifat yang berbeza dan berlebihan.

Selepas menonton filem ini beberapa kali, saya membaca bukunya. Memang kita melihat lagu-lagu yang dimainkan dalam filem itu sama dengan prosa yang ditulis oleh Roald Dahl. Dahl bijak menghasilkan perkataan baru dan lucu. Jika anda belum menonton atau membaca buku ini, cuba dapatkan.

Banyak lagi karya Dahl yang difilemkan seperti The Big Friendly Giant dan Matilda. Selepas membaca Charlie and The Chocolate Factory, saya meminjam memoir Dahl yang berjudul Going Solo. Penulis ini pernah bertugas sebagai tentera udara. Pengalamannya diceritakan dalam Going Solo. Walaupun menghadapi situasi yang hampir mencabut nyawa, Dahl masih lagi dapat menyampaikan ceritanya dengan unsur humor.

Buat bakal penulis atau sesiapa yang ingin menjadi penulis, saya kumpulkan di sini 27 habit atau tip penulisan oleh tiga penulis yang terkenal. Kita mulakan dengan Roald Dahl.

Sebagai penulis yang telah menghasilkan banyak karya berkualiti, Roald Dahl berkongsi beberapa ciri untuk menjadi penulis fiksyen yang bagus:

  1. Anda perlu mempunyai imaginasi yang luas.
  2. Anda seharusnya mampu menulis dengan baik. Ini bermaksud anda sepatutnya boleh menghasilkan babak yang hidup di minda pembaca. Tidak semua orang mempunyai kemampuan ini. Ia satu kelebihan sama ada anda memilikinya atau tidak.
  3. Anda mesti mempunyai stamina. Dengan kata lain, anda mesti cekal melakukan apa yang anda buat dan tidak putus asa, hari demi hari, minggu demi minggu dan bulan demi bulan.
  4. Anda mestilah seorang yang mementingkan kesempurnaan. Ini bermaksud anda tidak akan berpuas hati dengan apa yang sudah anda tulis sehingga ia ditulis lagi dan lagi, dan menjadikan karya anda sebaik mungkin.
  5. Anda mesti seorang yang berdisiplin tinggi. Anda bekerja seorang diri. Tiada sesiapa yang menggajikan anda. Tiada siapa yang akan memecat anda jika anda tidak menulis atau mendesak anda jika anda ketinggalan.
  6. Kebolehan berjenaka (sense of humour) sangat membantu. Ia bukan satu kemestian apabila menulis untuk orang dewasa. Tapi ia penting untuk penulisan buku kanak-kanak.
  7. Anda mesti bersikap rendah hati. Penulis yang merasakan hasil kerjanya menakjubkan sengaja menempah masalah.

Tujuh tip ini diambil daripada The Wonderful Story of Henry Sugar and Six More. Walaupun Dahl memberi tip ini untuk penulisan fiksyen, penulis bukan fiksyen boleh menggunakan tip yang serupa. Saya fikir cabaran paling besar ialah mengikut tip 3, 5 dan 7.

Selain daripada Roald Dahl, saya pernah membaca Stephen King On Writing. Dahl terkenal sebagai penulis buku kanak-kanak. Stephen King pula terkenal sebagai penulis novel seram thriller.

Genre seram bukan pilihan saya. Satu hari, rakan saya memasang DVD IT (2017). Berulang kali saya katakan saya tidak mahu menontonnya. Tapi, akibat didesak saya cuba bertahan di depan kaca televisyen. Akhirnya saya menonton sehingga habis, diselang seli dengan kejutan dan hampir separuh cerita saya menutup muka. Teruk betul.

Walaupun tidak membaca sebarang novel Stephen King, saya ingin tahu apakah rahsia kejayaan King menulis banyak karya bestseller. Dalam buku On Writing, beliau memberi banyak panduan kepada penulis untuk menghasilkan karya berkualiti. Antaranya:

  1. Tulis untuk diri anda dahulu, kemudian baru fikirkan tentang pembaca anda. Apabila anda menulis cerita, anda menceritakan kisah itu kepada diri anda dahulu. Apabila anda menulisnya semula (menyemak dan menulis semula), anda membuang isi yang bukan sebahagian daripada certa itu.
  2. Jangan gunakan ayat pasif. Penulis yang penakut suka menggunakan ayat pasif. Ayat pasif nampak selamat. Jadi penulis yang berani dan gunakan ayat aktif.
    • Contoh: Pintu itu ditutup (pasif).
    • Tukar kepada: Dia menutup pintu (aktif).
  3. Elakkan kata sifat kerja (adverb). Kata sifat kerja boleh menyebabkan ayat itu lewah dan bertindih maksudnya.
  4. Keajaiban ada dalam diri anda. Stephen King menegaskan rasa takut adalah punca kebanyakan penulisan yang teruk.
  5. Baca, baca dan baca. Nasihat yang sama diberikan oleh A.Samad Said, Sasterawan Negara kita. Anda mesti banyak membaca, berterusan memperbaiki hasil karya anda. Jika anda tidak mempunyai masa untuk membaca, anda tidak mempunyai masa (atau bahan) untuk menulis.
  6. Jangan risau dengan memikirkan cara untuk membuat orang lain gembira. Membaca ketika makan dianggap sebagai biadap dalam masyarakat yang bersopan santun. Namun, jika anda mahu berjaya sebagai penulis, sikap biadap tidak sepatutnya menjadi kebimbangan anda. Jika anda mahu menulis dengan jujur, lama-lama kelamaan anda bukan lagi sebahagian daripada masyarakat yang sopan santun.
  7. Tutup TV. Membaca mengambil masa dan kaca TV banyak membuang masa.
  8. Anda ada tiga bulan. Draf pertama mesti disiapkan tak lebih dari tiga bulan.
  9. Dua rahsia kejayaan ialah badan yang sihat dan hubungan yang stabil.
  10. Tulis satu perkataan, satu demi satu. ‘One word at a time’. Satu halaman atau trilogi epik seperti The Lord of The Rings dihasilkan bermula dengan satu perkataan.
  11. Hapuskan gangguan. Jangan ada telefon, TV atau pemain video di bilik menulis anda. Dalam zaman sekarang ini, tutup media sosial dan fokus pada kerja anda.
  12. Tulis dengan gaya anda sendiri. Seorang penulis tidak dapat meniru sentuhan orang lain walaupun ia kelihatan mudah.
  13. Berehat. Baca buku anda selepas enam minggu ia siap ditulis. Proses ini akan memberi pengalaman berbeza. Walaupun anda yang menulis buku itu, anda akan dapati sudut pandang yang baru seperti membaca buku orang lain.
  14. Keluarkan bahagian yang membosankan dan hapuskan bahagian yang anda paling suka. Anda akan membuang bahagian yang tidak perlu dan mempercepatkan cerita.
  15. Anda menjadi seorang penulis dengan membaca dan menulis. Cara terbaik untuk anda belajar menjadi penulis ialah dengan banyak membaca dan banyak menulis. Pelajaran yang paling berharga ialah pengetahuan (pengalaman) yang anda belajar sendiri.
  16. Menulis adalah tentang mencapai kegembiraan. Menulis bukan untuk membuat duit, menjadi terkenal, mendapat pasangan atau kawan. Menulis adalah tentang memperkayakan hidup orang yang akan membaca karya anda dan memperkayakan hidup anda juga. Ia tentang bangun, berdiri teguh dan meraih kegembiraan. Menulis ialah satu keajaiban seperti air dalam hidup. Air percuma. Jadi minumlah.

Ada banyak lagi panduan yang beliau kongsikan dalam buku On Writing. Boleh baca di sini, saya terjemahkan ringkasan seperti di atas.

Seorang lagi penulis kegemaran saya ialah Haruki Murakami. Saya membaca novel beliau dan kagum dengan metafora yang digunakan dalam novelnya. Bagaimana beliau boleh memilih perbandingan yang tidak pernah saya bayangkan? Kemudian, saya membaca memoir Haruki Murakami yang berjudul What I Talk About When I Talk About Running.

Haruki Murakami seorang pelari yang tegar. Selain menulis novel bestseller, beliau juga terkenal sebagai pelari marathon. Antara nasihat beliau ialah:

  1. Fokus pada garis penamat.
  2. Menulis untuk pembaca anda. Anda tidak dapat memuaskan hati semua orang. Kenali peminat anda dan fokus menulis untuk golongan ini. Cara ini lebih mudah berbanding menulis untuk golongan sasaran lain.
  3. Ulang, ulang dan ulang. Seperti juga larian, menulis ialah aktiviti yang mesti diulang, ulang dan ulang untuk mendapatkan hasil yang kita inginkan.
  4. Tulis dengan mudah. Ayat yang mudah dibaca lebih senang menarik minat pembaca. Gunakan dialog yang jelas.

Cukup dahulu 27 tip penulisan daripada tiga orang penulis bestseller iaitu Roald Dahl, Stephen King dan Haruki Murakami. Jika tak cukup, boleh baca enam nasihat penulisan oleh George Orwell. Jadi, ada 33 tip penulisan yang boleh diamalkan untuk menghasilkan karya yang bagus.

Walaupun semua penulis ini terkenal dengan karya fiksyen, penulis bukan fiksyen masih boleh menggunakan saranan yang mahal ini.

Selamat menulis.

Siapa penulis kegemaran anda? Mana satu tip yang anda boleh lakukan sekarang?

Jika anda ingin jadi penulis, saya turut menyarankan buku yang ditulis oleh Dr Noor Hayati Yasmin iaitu Mudahnya Menulis Buku dan 101 Rahsia Penulis Bestseller. Boleh dapatkan di kedai Dua Penulis.

Please follow and like us:
Categories
Umum

Tip penulisan supaya bacaan teks lancar

Kumpulan kisah kanser diteruskan lagi untuk mengumpul bahan bagi buku kedua. Projek Lavender nampaknya diterima baik oleh pembaca. Kali ini saya dan rakan sedang mengedit dan menyemak hasil karya peserta.

Mencabar juga nak memilih penyertaan bagi projek kisah kanser 2. Sedang dalam proses semakan dan edit. Saya nak kongsi beberapa tip supaya hasil penulisan lancar dibaca.

1. Kurangkan ‘lah’ dan ‘nya’. Dua suku kata sambungan ini kadang kala mengganggu pembacaan.

2. Perkataan ‘dari’ hanya untuk masa, arah dan tempat. Kadang kala kami lepaskan sebab nak bagi ayat sedap. Tapi tak boleh selalu.

3. Guna perkataan yang ringkas dan senang difahami. Kurangkan perkataan ‘bombastik’.

4. Tak perlu ulang perkataan yang sama makna dalam satu ayat contohnya, ‘kembali semula’.
Dia kembali ke tempat asal. (Ok)
Dia kembali semula ke tempat asal. (Tak ok)

Lagi satu, ‘amat sangat’. Sama makna, tak perlu ulang.

5. Kurangkan ‘itu’ dan ‘ini’.

6. Dalam kisah kanser, kami gunakan ‘dia’ dan tak gunakan ‘beliau’ untuk merujuk kepada adik-beradik, ibu atau bapa.

7. Kurangkan ayat melewah atau perkataan melewah. Memang hasilnya teks akan jadi lebih pendek tapi padat dan jelas. Orang sekarang kurang ‘attention span’.

8. Walaupun tulis draf pertama biasanya memang akan ada masalah 1-7, tapi perbaiki dahulu sebelum hantar kepada penerbit.

Selamat menulis.

p.s: Perkara di atas adalah style kami di duapenulis. Lain penerbit lain gayanya.

Please follow and like us:
Categories
Aktiviti

The Write Weekend @ PUDGI, Sepang

Saya hubungi Yan dan Mimi untuk menyertai saya dalam program The Write Weekend. Anjuran PUDGI, Sepang yang menawarkan ruang untuk penulis. Kali ini ia dikhususkan untuk penulis wanita. Sebelum ini mereka sudah dua kali menganjurkan program serupa.

Sudah lama ingin melakukan aktiviti seperti ini. Ini peluang tak mungkin dilepaskan. Kami tiba kira-kira 12.30 tengah hari. Beruntung dapat berjumpa dengan hos. Kami dibawa melihat kebun getah dan pokok gaharu yang ditanam. Barisan pokok teratur dan kebunnya bersih.

Ada pekerja yang memastikan kawasan ini tidak semak. Kawasan terbuka di belakang homestay menyediakan ruang yang sesuai untuk aktiviti outdoor. Malahan kami sepatutnya mendaki Bukit MelatiĀ  tidak jauh dari sini. Namun, aktiviti terpaksa dibatalkan kerana hujan lebat.

Tujuan utama program ini adalah penulis dapat menulis di ruang yang disediakan. Kami juga bermalam di sini. Saya dapat menyiapkan suntingan untuk projek buku Dua Penulis. Rakan penulis lain juga berjaya menghasilkan karya semasa berada di sini.

Dua hari satu malam. Saya berpeluang mengenali penulis, pemuisi dan pembaca pruf. Waktu yang kami luangkan bersama dan bercakap pelbagai hal menjadikan kami rapat dalam masa yang singkat ini.

Kami menulis di mini library PUDGI. Pengunjung boleh meminjam buku atau membeli buku yang ada dalam koleksi mereka. Satu usaha yang sangat baik. PUDGI memeriahkan lagi industri dengan memberi peluang dan ruang seperti ini.

Masing-masing fokus menyiapkan projek penulisan. Diselangi perbualan ringkas. Apa yang boleh saya katakan, selain fokus kepada projek saya mempelajari banyak hal baru daripada rakan penulis.

Banyak aktiviti yang boleh dilakukan di PUDGI. Lokasinya di Sepang memang strategik. Hanya 8km daripada stesen ERL Salak Tinggi. Kira-kira 10 minit menaiki kereta. Bagi mereka yang menggunakan pengangkutan awam, boleh naik ERL dan Grab/Uber untuk ke PUDGI.

Tempat selesa, makan pun sedap. Hidangan kami disediakan Kak Siti. Masakan kampung lemak cili api, telur masin dan tumis sayur campur. Tambah selera dengan sambal belacan. Kemudian salad dan timun. Hari kedua pula dijamu telur dadar, pucuk ubi, ikan keli goreng dan sambal udang. Lauk ini dimasak atas dapur kayu. Istimewa bukan?

Ini adalah idea Puan Azimah yang mahukan suasana kampung dan penyediaan makanan secara tradisional. Hidangan yang ringkas sebegini apabila dinikmati bersama memang menyelerakan. Apa lagi, nasi bertambah jadinya.

Kami selesaikan projek kami kira-kira pukul 5 petang. Bersedia untuk pulang. Namun, hati sudah terpaut dengan kemesraan dan ketenangan di PUDGI.

Jika anda mencari ruang untuk melakukan aktiviti, hubungi PUDGI. Mereka juga menyediakan Homestay. Anda boleh sewa dan jalankan aktiviti anda di sini.

Please follow and like us:
Categories
Harta pusaka

Royalti sebagai pusaka

Penulis, artis dan ahli muzik biasanya akan menerima royalti sebagai imbuhan daripada penerbit. Amalan membayar royalti diterima secara meluas dalam industri kreatif termasuk industri penerbitan buku.

Penulis layak menerima royalti selagi karyanya masih diterbitkan. Royalti akan terus dibayar sehingga 50 tahun selepas kematian penulis. Tempoh ini dipersetujui dalam Berne Convention (sila google).

Selepas TPPA ditandatangi, kemungkinan besar tempoh ini akan dilanjutkan sehingga 70 tahun.

Ini bermaksud waris penulis berhak mendapat royalti selepas kematian penulis. Walaupun dalam perjanjian tidak dinyatakan tempoh 50 tahun / 70 tahun ini, ia menjadi amalan yang diterima pakai dalam pembayaran royalti.

Karya yang malar segar (evergreen) dan sentiasa dibaca melewati zamannya berpotensi memberi pendapatan pasif bukan sahaja kepada penulis semasa hidup, tetapi juga dapat diwariskan sebagai legasi selepas kematian.

Bagaimana royalti diuruskan selepas kematian?
1. Perlu rujuk di dalam kontrak penerbitan. Adakah penulis meletakkan penama yang bakal menerima royalti selepas kematian penulis. Bagi penulis yang beragama Islam, penama ini hanya wakil kepada waris yang berhak mengikut Faraid.
2. Jika tiada penama dinyatakan, pentadbir pusaka akan menjadi wakil yang menerima royalti bagi pihak waris.
3. Penulis boleh menulis wasiat. Jika tiada klausa khusus untuk melantik penama bagi royalti ini, Wasi iaitu pentadbir yang dilantik dalam wasiat adalah pihak yang akan menerima royalti daripada penerbit. Wasi adalah wakil waris.
4. Penulis boleh menulis wasiat dan menyatakan secara khusus tentang pengurusan royalti selepas kematiannya.

Penulis mungkin tidak menyangka karyanya (aset intelek) akan memberi sumbangan besar dalam bentuk wang ringgit pada masa hadapan.

Usah ketepikan aspek ini dalam karier penulisan. Sekurang-kurangnya pasangan atau ahli keluarga terdekat tahu tentang kontrak yang anda tandatangani dengan penerbit.

Penerbit pula tidak boleh mengenepikan hak waris kepada royalti yang sepatutnya dibayar sama ada royalti tertunggak, semasa atau selepas kematian.

Please follow and like us: