Talhah Bin Ubaidillah, sahabat Nabi yang berharta dan bertaqwa

“Dan tuntutlah dengan harta kekayaan yang telah dikurniakan Allah kepadamu akan pahala dan kebahagian hari Akhirat dan janganlah engkau melupakan bahagianmu (keperluan dan bekalanmu) dari dunia dan berbuat baiklah (kepada hamba-hamba Allah) sebagaimana Allah berbuat baik kepadamu (dengan pemberian nikmatnya yang melimpah-limpah) dan janganlah engkau melakukan kerosakan di muka bumi; Sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang-orang yang berbuat kerosakan.” (Al-Qasas: 77)

Ujian harta dan kesenangan banyak membuat manusia lupa kepada Allah, melainkan orang yang bertakwa. Salah seorang sahabat Nabi yang bernama Talhah Bin Ubaidullah terkenal sebagai orang yang berharta namun tinggi tingkat takwanya.

Beliau adalah salah seorang daripada sepuluh sahabat Nabi yang dijanjikan syurga. Pengorbanannya dalam agama mendapat ganjaran yang besar di sisi Allah.

Talhah lahir dalam keluarga yang kaya-raya. Beliau tidak menggunakan kekayaan keluarga untuk bersenang lenang. Beliau mengusahakan perniagaan sendiri dan amat terkenal di Pasar Kota Basrah. Beliau seorang peniaga yang amanah dan sentiasa berlapang dada. Keuntungan berlipat ganda.

Beliau diriwayatkan meraih keuntungan sehingga 1,000 dinar sehari semasa berniaga di Iraq. Beliau juga memiliki banyak tanah dan ladang.

Talhah tidak lalai dengan kekayaan yang dimiliki dan sentiasa bersyukur kepada Allah. Inilah ciri orang yang bertakwa. Harta di tangannya, bukan beraja di hatinya. Rasulullah menggelarkan beliau Talhah Al-Judd yang beerti Talhah yang Dermawan dan Talhah Al-Khair yang beerti Talhah yang baik.

Pada suatu hari, Talhah termenung kesedihan. Isterinya bertanya, “Mengapa kamu bersedih?”

“Wang yang ada di tanganku sekarang ini begitu banyak sehingga membingungkan daku. Apa yang harus kulakukan?”

Isterinya menjawab, “Wang yang ada di tanganmu itu bahagikanlah ia kepada fakir miskin.”

Maka Talhah mengikut saranan isterinya dan membahagi-bahagikan semua wangnya tanpa meninggalkan sedikit pun. Hal ini disaksikan oleh salah seorang sahabat yang bernama Jabir bin Abdullah r.a.

Jabir berkata, “Aku tidak pernah melihat orang yang lebih dermawan dari Talhah walaupun tanpa diminta. Oleh kerana itu patutlah dia digelarkan Talhah, si dermawan, Talhah si pengalir harta, Talhah kebaikan dan kebajikan.”

Daripada kisah ini, kita dapat mengambil iktibar bahawa harta dan kekayaan tidak sepatutnya melalaikan orang mukmin. Islam tidak melarang kita mengumpulkan harta. Ramai sahabat Nabi juga adalah orang yang kaya seperti Abdul Rahman b Auf, Osman bin Affan daan Zubair Bin Al-Awwam.

Harta yang dikumpulkan seharusnya dapat dikongsi dengan golongan lain yang kurang berkemampuan. Dan usah leka dengan harta kerana ia bersifat sementara.

Berilah bantuan kepada yang memerlukan sepertimana yang dilakukan oleh Talhah. Sifat dermawan mampu memberi ketenangan jiwa.

Berusahalah bersungguh-sungguh untuk mencapai kejayaan di dunia tanpa melupakan tanggungjawab kepada agama. Kisah Talhah ini menjadi pendorong kepada kita untuk melakukan yang terbaik dalam hidup.

Di samping itu meningkatkan ketakwaan dan iman kepada Allah. Allah mengingatkan dalam Surah Al-Munafiqun ayat 9:

“Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah harta dan anak-anak kamu melalaikan kamu daripada mengingati Allah dan sesiapa yang berbuat begitu, maka itulah mereka yang menderita kerugian.”

(Sumber: Koleksi Khutbah Jumaat Jun 2015 MAIJ)

“Ya Allah, Ya Tuhanku Yang Maha Pengampun dan Maha Melindungi. Engkau ampunilah dosa Allahyarham Hj Ahmad@Abdul Rahman Bin Amzah yang pernah membacakan khutbah sepanjang usianya. Engkau berilah kelapangan kepadanya di alam barzakh. Engkau peliharalah keluarga yang ditinggalkan. Engkau berilah ganjaran dan perlindungan kepadanya sebagai mana luasnya ganjaran dan perlindungan untuk orang yang soleh. Amin.”

Please follow and like us:

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *