Categories
Travel Vlog

Tentang Bendang di Sungai Besar dan Terusan Ban Kenal di Sekinchan

Ikutkan resmi padi, semakin berisi semakin tunduk. Perumpaan Melayu yang mengingatkan kita supaya merendah diri, tidak berlagak pandai dan lebih menghormati orang lain apabila mempunyai ilmu dan kepakaran.

Daripada benih menjadi padi, padi dituai menjadi beras, beras ditanak menjadi nasi. Elok benar orang lama memerhatikan alam dan menjadi panduan untuk kita pula.

Bagaimana rupanya padi yang berisi itu?

Saya membesar di Johor Bahru. Pemandangan bendang dan musim padi sememangnya asing buat saya. Saya lebih mengenali ladang getah, pokok getah yang ditoreh mengeluarkan susunya dan bermain biji getah sewenangnya semasa zaman kanak-kanak.

Peluang singgah ke Sungai Besar atas jemputan kenalan saya digunakan sepenuhnya sementara saya berada di Selangor. Menurut Fatimah, bulan ini paling sesuai untuk melihat sawah padi yang menghijau. Pokok-pokok padi mula meninggi dan cantik sekali pemandangannya untuk ber’OOTD’ (peragaan hari ini).

Saya dan adik memandu ke Sungai Besar dari Cheras. Perjalanan selama 2 jam 30 minit tidak terasa sangat kerana cuaca pun baik. Tidak terlalu panas dan jalan juga tidak sesak. Dalam perjalanan ke Sungai Besar, kami singgah sebentar di Warung Ibu untuk membeli Nasi Ambeng.

Nasi Ambeng ini terkenal sebagai hidangan lengkap masakan orang Jawa. Nasi putih dengan ayam masak kicap, sambal goreng, mi goreng dan serunding. Soto juga turut dijual di sini. Kelihatan ada pelanggan yang makan di sini dan ramai juga yang membeli set nasi untuk dibawa pulang.

Meja disusun berjarak mematuhi SOP.
Set Nasi Ambeng bungkus – RM10 satu bekas.

Tiba sahaja di rumah keluarga Fatimah, kami dijamu dengan makan tengah hari yang enak sekali. Ketam masak cili, sup tulang dan sayur lemak membangkit selera. Segan juga rasanya, tapi kita makan dengan berselera meraikan tuan rumah yang menyediakan hidangan istimewa untuk kami.

Fatimah dan Munir yang baik hati membawa saya dan adik ke petak sawah di Parit 3 1/2 dan Parit 4. Mencari palong (laluan air) di bendang untuk bergambar. Beberapa orang kanak-kanak berkejaran ke tengah bendang. Seronok betul mereka keluar dan bermain-main.

Ketika ini, sawah padi di Sungai Besar sudah menghijau. Belum banyak padi yang berbuah, tapi ada di celah-celahnya padi angin yang menjulang. Padi ini mesti dicabut dan dibuang, supaya tidak mengganggu pokok padi yang lain.

Palong di Sungai Besar.

Kami bergerak ke Sekinchan pula. Tidak jauh dari Sungai Besar, tapi padinya sudah menguning. Rupanya musim padi ini seolah-olah ‘bergerak’ apabila kita berjalan dari Sungai Besar ke arah selatan.

Di Sekinchan, bendangnya sudah berwarna kuning keemasan dengan buah padi penuh berisi. Buah padi berat menunduk dan sedia untuk dituai. Mungkin satu atau dua hari lagi, mesin penuai padi akan menjalankan kerjanya.

Sawah di Sekinchan.

Usai bergambar, kami memulakan perjalanan pulang ke Cheras. Singgah sekejap di Warung Tebu Kampung Sg Dorani dan Pasar Jerami Ban Kenal. Kawasan ini menjadi viral dan tempat yang sesuai untuk bergambar.

Ban Kenal ialah terusan (canal) yang dibina semasa zaman British untuk tujuan pengairan sawah. Sehingga hari ini, terusan ini menjadi punca air utama bagi sawah padi di sekitar kawasan ini.

Pasar Jerami Ban Kenal ini menjadi tumpuan orang yang datang dari luar Sungai Besar dan Sekinchan. Gerai-gerai menjual pelbagai snek dan makanan. Suasana petang yang meriah. Dengan kelonggaran PKPB yang diberikan, orang ramai mula keluar dan mengambil angin di luar Kuala Lumpur.

Kebanyakan homestay di kawasan ini juga penuh pada hujung minggu lalu. Kelihatan juga kumpulan bikers yang singgah di kedai popular seperti restoran yang menyediakan mi udang dan kedai menjual hidangan istimewa mentarang.

‘Jeti’ kecil untuk bergambar di Pasar Jerami Ban Kenal

Terima kasih kepada Fatimah dan keluarga yang sudi melayan kami berjalan-jalan di sekitar kawasan Sungai Besar dan Sekinchan. Seharian rasanya tidak cukup untuk merakam dan menikmati keindahan bendang di kawasan ini.

Insya-Allah kami akan datang lagi dan bermalam. Dan semestinya mahu merakam matahari terbit di ufuk timur dan terbenam di kaki langit. Pasti indah sekali dengan pemandangan sawah padi yang menguning.

Facebook Live, 14 Disember 2020

Boleh ikuti saya di media sosial:
YouTube: Norsa’adah Ahmad
Facebook: Norsa’adah Ahmad
Facebook Page: Norsa’adah Ahmad
Laman web penerbit: Dua Penulis
Facebook Page: Dua Penulis

Please follow and like us:

2 replies on “Tentang Bendang di Sungai Besar dan Terusan Ban Kenal di Sekinchan”

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *