The Write Weekend @ PUDGI, Sepang

Saya hubungi Yan dan Mimi untuk menyertai saya dalam program The Write Weekend. Anjuran PUDGI, Sepang yang menawarkan ruang untuk penulis. Kali ini ia dikhususkan untuk penulis wanita. Sebelum ini mereka sudah dua kali menganjurkan program serupa.

Sudah lama ingin melakukan aktiviti seperti ini. Ini peluang tak mungkin dilepaskan. Kami tiba kira-kira 12.30 tengah hari. Beruntung dapat berjumpa dengan hos. Kami dibawa melihat kebun getah dan pokok gaharu yang ditanam. Barisan pokok teratur dan kebunnya bersih.

Ada pekerja yang memastikan kawasan ini tidak semak. Kawasan terbuka di belakang homestay menyediakan ruang yang sesuai untuk aktiviti outdoor. Malahan kami sepatutnya mendaki Bukit MelatiĀ  tidak jauh dari sini. Namun, aktiviti terpaksa dibatalkan kerana hujan lebat.

Tujuan utama program ini adalah penulis dapat menulis di ruang yang disediakan. Kami juga bermalam di sini. Saya dapat menyiapkan suntingan untuk projek buku Dua Penulis. Rakan penulis lain juga berjaya menghasilkan karya semasa berada di sini.

Dua hari satu malam. Saya berpeluang mengenali penulis, pemuisi dan pembaca pruf. Waktu yang kami luangkan bersama dan bercakap pelbagai hal menjadikan kami rapat dalam masa yang singkat ini.

Kami menulis di mini library PUDGI. Pengunjung boleh meminjam buku atau membeli buku yang ada dalam koleksi mereka. Satu usaha yang sangat baik. PUDGI memeriahkan lagi industri dengan memberi peluang dan ruang seperti ini.

Masing-masing fokus menyiapkan projek penulisan. Diselangi perbualan ringkas. Apa yang boleh saya katakan, selain fokus kepada projek saya mempelajari banyak hal baru daripada rakan penulis.

Banyak aktiviti yang boleh dilakukan di PUDGI. Lokasinya di Sepang memang strategik. Hanya 8km daripada stesen ERL Salak Tinggi. Kira-kira 10 minit menaiki kereta. Bagi mereka yang menggunakan pengangkutan awam, boleh naik ERL dan Grab/Uber untuk ke PUDGI.

Tempat selesa, makan pun sedap. Hidangan kami disediakan Kak Siti. Masakan kampung lemak cili api, telur masin dan tumis sayur campur. Tambah selera dengan sambal belacan. Kemudian salad dan timun. Hari kedua pula dijamu telur dadar, pucuk ubi, ikan keli goreng dan sambal udang. Lauk ini dimasak atas dapur kayu. Istimewa bukan?

Ini adalah idea Puan Azimah yang mahukan suasana kampung dan penyediaan makanan secara tradisional. Hidangan yang ringkas sebegini apabila dinikmati bersama memang menyelerakan. Apa lagi, nasi bertambah jadinya.

Kami selesaikan projek kami kira-kira pukul 5 petang. Bersedia untuk pulang. Namun, hati sudah terpaut dengan kemesraan dan ketenangan di PUDGI.

Jika anda mencari ruang untuk melakukan aktiviti, hubungi PUDGI. Mereka juga menyediakan Homestay. Anda boleh sewa dan jalankan aktiviti anda di sini.

Please follow and like us:

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *