Tiga Peranan Utama Neelofa sebagai Non Executive Director Air Asia

Neelofa dilantik sebagai Non Executive Director (NED) Air Asia Berhad pada 8 Disember 2017. Pengumuman ini menjadi berita hangat di pasaran memandangkan status selebriti beliau. Pengikut Instagram Neelofa sahaja sudah melebihi 5 juta. Beliau juga seorang usahawan hijab dengan jenama Neelofar. Dikatakan jualan tudung Neelofar mencecah ratusan juta setahun.

Pelantikan dan peletakan jawatan Ahli Lembaga Pengarah atau Pegawai Atasan sebuah syarikat berhadĀ adalah salah satu pengumuman penting yang mesti dimaklumkan kepada Bursa Malaysia. Orang awam khususnya pelabur mesti mengetahui sebarang perubahan dalam pengurusan syarikat yang didagangkan di Bursa Malaysia.

Setiap syarikat mempunyai Lembaga Pengarah yang menjadi tunggak syarikat. Ahli Lembaga Pengarah mempunyai peranan besar dalam membuat keputusan melibatkan strategi, operasi dan hala tuju syarikat. Lembaga Pengarah terdiri daripada Pengarah Eksekutif (ED) dan Pengarah Bukan Eksekutif (NED). Pengarah Eksekutif biasanya adalah pegawai atasan syarikat seperti Ketua Pegawai Eksekutif dan Ketua Pegawai Operasi. Mereka terlibat secara langsung dalam operasi syarikat.

Pengarah Bukan Eksekutif pula adalah individu yang tidak terlibat secara langsung dalam operasi syarikat namun mempunyai peranan penting dalam perkembangan syarikat. Mereka bebas daripada sebarang hubungan secara langsung dengan pihak pengurusan atau pihak berkepentingan lain seperti pembekal. Situasi ini menjadikan NED mampu memberi pandangan secara objektif.

Pelantikan NED sebagai Ahli Lembaga Pengarah perkara yang biasa dilakukan oleh syarikat berhad. Malahan, ia adalah satu keperluan menurut Malaysian Code of Corporate Governance (MCCG) yang dikeluarkan oleh Suruhanjaya Sekuriti.

Berdasarkan kemas kini pada 26 April 2017, sekurang-kurangnya separuh daripada jumlah Ahli Lembaga Pengarah terdiri daripada Pengarah Bukan Eksekutif. Air Asia membuat pelantikan Neelofa sebagai NED baru, manakala Aireen Omar dan Bo Lingam meletakkkan jawatan. Aireen Omar dan Bo Lingam adalah bekas Pengarah Eksekutif Air Asia.

Selepas pelantikan dan peletakan jawatan ini, jumlah Ahli Lembaga Pengarah Air Asia berubah daripada lapan orang menjadi tujuh orang sahaja. Lembaga Pengarah baru terdiri daripada tiga orang Pengarah Eksekutif dan empat orang Pengarah Bukan Eksekutif.

Menurut Cadbury Report 1992, seorang NED mempunyai kriteria yang unik menjadikan individu ini dipilih sebagai Ahli Lembaga Pengarah syarikat. NED mempunyai pengalaman, perspektif yang luas dalam isu berkaitan syarikat dan perniagaan serta mempunyai pengetahuan dan kepakaran dalam bidang yang kritikal kepada syarikat.

Dalam kenyataan akhbar, Tan Sri Tony Fernandes menyatakan pengalaman Neelofa sebagai usahawan dan kejayaan beliau menjadikan jenama Neelofar sebuah jenama antarabangsa akan menjadi nilai tambah kepada Air Asia dalam mencapai misi mereka menjadi syarikat penerbangan digital.

Tiga peranan utama NED:

  1. Membuat polisi dan perancangan strategik syarikat. Biasanya ia akan dibincangkan secara terperinci dalam mesyuarat Lembaga Pengarah.
  2. Memantau pihak pengurusan dan memberi pandangan yang objektif terhadap operasi syarikat.
  3. Memantau aktiviti yang melibatkan syarikat dan melindungi kepentingan semua pihak berkepentingan syarikat seperti pemegang saham, pelanggan, kakitangan, pembekal, institusi kewangan dan lain-lain.

Pelantikan Neelofa menjadi tular di kalangan netizen. Apakah kesannya kepada harga saham Air Asia? Pada hari Isnin, 11 Disember 2017 saham Air Asia dibuka 2 sen lebih tinggi (harga pada hari Jumaat adalah RM3.22). Namun, kemudian ditutup pada harga 2 sen lebih rendah daripada hari Jumaat iaitu RM3.20.

Reaksi pelabur pada hari pertama tidak boleh disimpulkan sebagai negatif lagi. Mungkin sahaja ramai pelabur tidak mengenali Neelofa dan mahu melihat sejauh mana sumbangan beliau dalam Air Asia. Harga saham Air Asia yang tertinggi selama 52 minggu ini adalah RM3.59.

Air Asia belum mendapat status patuh Syariah oleh Majlis Penasihat Syariah Suruhanjaya Sekuriti. Namun, Air Asia X Berhad sudah mendapat status patut Syariah melalui pengumuman pada bulan November 2017. Pelabur beragama Islam boleh melabur dalam Air Asia X Berhad yang khusus menguruskan penerbangan ke luar negara.

*Disclaimer: Artikel ini adalah berdasarkan pembacaan dan rujukan yang dibuat oleh penulis. Ia hanya bersifat informasi sahaja. Penulis tidak bertanggungjawab terhadap sebarang keputusan yang dibuat oleh sebarang pihak yang menggunakan maklumat ini.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *