Inspirasi usahawan

Tuan Zubair Restoran Tam Nasi Ayam: Dulu COE, sekarang CEO

Zubair

Usahawan: Tuan Zubair
Perniagaan: Restoran Tam Nasi Ayam 

“Tahun pertama dan keempat paling mencabar dalam perniagaan saya. Cabaran yang berbeza.”

Seorang usahawan banyak berkorban dalam tahun pertama untuk membangunkan bisnes. Segala usaha dan tenaga dicurahkan agar bisnes yang baharu dimulakan dapat memberi pulangan yang baik.

“Tidur 3 jam sehari itu biasa. Tidur asal sempat pun biasa,” kata Tuan Az Zubair, pemilik Restoran Tam Nasi Ayam.

Kali pertama beliau datang ke Kuala Lumpur pada usia 17 tahun. Wang yang ada di tangan tidak cukup untuk tambang pulang ke kampung. Hendak atau tidak, beliau terpaksa mencari rezeki di KL. Memang itu tujuannya.

Langkah kaki dimulakan untuk keluar dari kampung, menuju ke kota dengan semangat tinggi. Dua hari beliau tidur di Puduraya. Kemudian bekerja di sebuah kedai makan. Perjuangan hidup di kota bermula dengan gaji serendah RM500, tempat tinggal dan makan ditanggung majikan.

Kemudian beliau meniaga sayur-sayuran dan pasar malam untuk menambah pendapatan. Tanpa sijil SPM agak sukar untuk mendapat pekerjaan dengan pendapatan yang baik. Jadi, beliau menduduki peperiksaan SPM beberapa tahun selepas itu.

Hakikatnya beliau bukan pelajar corot kerana berjaya mendapat 5A dalam SPM. Dengan keputusan yang baik, beliau menyambung pelajaran ke politeknik dalam bidang kejuruteraan elektrik.

Mula berniaga 

“Saya wakil pelajar. Dalam kesibukan belajar dan tugasan, saya mencari-cari peluang untuk berniaga,” Tuan Zubair mengimbau kembali saat dia mula berniaga.

“Saya dan rakan berkongsi untuk memulakan bisnes perkhidmatan pembersihan. Kami edarkan risalah ke rumah-rumah untuk mempromosikan perniagaan kami,” sambungnya lagi.

Tidak lama selepas itu, beliau mencuba pula berniaga dalam bidang pertanian dan menjadi penjual sayur-sayuran di Setapak Jaya. Perniagaan berkembang sehingga beliau berjaya membuka kebun sayur-sayuran di Janda Baik dan menjadi pembekal kepada penjual di Pasar Borong Selayang.

Pendapatan tidak stabil

Perniagaan beliau mula menampakkan hasil tetapi belum cukup lumayan untuk menanggung keperluan rumah tangga yang ingin dibinanya. Walaupun berhadapan dengan konflik dalaman, beliau mula bekerja di pejabat kerajaan negeri Kedah untuk pendapatan yang lebih stabil.

Duduk di pejabat dan melayan kerenah birokrasi bukan sesuatu yang mudah bagi dirinya. Keinginan yang membuak-buak untuk menjadi usahawan tetap tersemat di hati.

Perkhidmatan dengan kerajaan tidak bertahan lama. Beliau kembali ke Lembah Klang dan memulakan bisnes restoran pada tahun 2010. Restoran yang pertama dibuka di Shah Alam dan beliau memilih menu nasi ayam.

“Saya pilih nasi ayam kerana ini resepi keluarga yang saya tahu. Dan nama Tam ialah nama panggilan dalam keluarga saya.” Jelas beliau.

Tanpa mentor dan pengalaman dalam industri makanan, beliau menguatkan tekad untuk membuka restoran ini. Abang sulung beliau memberi sokongan modal pada peringkat awal di samping pinjaman bank.

Cabaran sebagai usahawan

“Semua saya buat, daripada mencuci pinggan, memasak, menerima bayaran pelanggan dan membeli bahan. Itu yang berlaku pada peringkat awal perniagaan. Chief of everything (COE), itulah saya.”

Fokus utama Tuan Zubair ialah memperkenalkan Restoran Tam Nasi Ayam kepada komuniti tempatan. Tenaga dan pemikiran digunakan sepenuhnya untuk kelangsungan bisnes.

Semua transaksi bisnes disimpan dan direkod dengan baik. Maklumat ini amat penting untuk menyediakan kertas kerja bagi memohon pinjaman bank. Beliau telah bersedia.

Apabila Restoran Tam Nasi Ayam mula mendapat sambutan, beliau merancang untuk mengembangkan bisnes dengan menambah ruang restoran. Semua ini memerlukan modal tambahan.

Dengan rekod dan perancangan bisnes, Tuan Zubair berjaya mendapat pinjaman bank untuk mengubahsuai lot hujung yang lebih luas dan mampu menampung lebih ramai pelanggan.

“Pastikan pendaftaran syarikat, rekod akaun dan alir tunai lengkap dan disimpan dengan baik. Ia membantu usahawan untuk memohon pinjaman atau menyediakan kertas cadangan kepada pelabur. Usah ambil ringan perkara ini.” Pesan Tuan Zubair kepada usahawan.

Tiada yang mustahil dalam mencapai sasaran

“Lokasi restoran saya berhadapan dengan jalan besar, namun agak sunyi pada waktu malam. Saya memikirkan apakah strategi untuk menarik orang ramai datang makan di sini.” Jelas beliau tentang cabaran perniagaan ini pada peringkat awal.

Beliau mempromosi Restoran Tam Nasi Ayam melalui pelbagai media termasuk Facebook, suratkhabar dan menyertai Jalan Jalan Cari Makan.

“Usah takut untuk mengeluarkan belanja iklan. Tanpa iklan orang tidak akan tahu kewujudan perniagaan kita. Sukar kita hendak mengukur keberkesanan iklan dalam jangka masa pendek. Tetapi dengan iklan kita sentiasa mengingatkan pelanggan bahawa bisnes kita masih beroperasi dan menawarkan perkhidmatan yang mereka inginkan,” sambungnya lagi.

Beliau membuat perbandingan dengan rangkaian makanan segera KFC dan McDonald yang berterusan melabur dalam iklan walaupun bisnes ini sudah terkenal.

Tidak kenal putus asa, akhirnya perniagaan restoran ini menunjukkan hasil dan mencapai jualan yang memberangsangkan dalam tahun pertama beroperasi.

“Letakkan sasaran jualan yang tinggi tetapi munasabah. Kami pernah mencatat jualan yang melepasi sasaran sehari.” Saran beliau kepada para usahawan.

Angka jualan adalah salah satu benchmark untuk memantau perjalanan bisnes. Usahawan mesti mengetahui angka penting dalam perniagaan mereka khususnya jualan sehari, seminggu dan sebulan, kos jualan dan penggunaan bahan mentah.

Dalam bisnes restoran, nilai jualan dapat dianggarkan dengan jumlah bahan mentah yang digunakan sehari. Kos bahan mentah direkod dan dianalisa. Maklumat ini akan membantu usahawan untuk mengurangkan kos pada masa akan datang.

Ubah gaya pengurusan

“Bisnes mula stabil. Takkan saya masih lagi nak jadi chief of everything? Bermula cabaran peringkat kedua iaitu meneruskan kelangsungan perniagaan ini.”

Beliau membuat perubahan dengan melantik staf bahagian pengurusan seperti akaun, sumber manusia dan operasi. Beliau sendiri menjadi Chief Executive Officer (CEO).

Pengurusan syarikat yang profesional adalah strategi untuk bergerak lebih jauh. Berikan arah tuju kepada tim dan sasaran untuk dicapai. Staf akan melakukan tugasan dengan baik mengikut misi syarikat.

Beliau menguruskan 38 orang pekerja dengan lima orang staf pengurusan dan selebihnya bertugas di bahagian operasi. Pada tahap ini, syarikat mampu melantik pegawai akaun, sumber manusia dan pengurus operasi untuk melancarkan lagi perjalanan syarikat. Semua pegawai bahagian pengurusan akan memberi beliau maklumat penting dalam bisnes restorannya.

“Mereka ini tulang belakang dalam syarikat saya. Kalau boleh saya ingin mereka maju sama selari dengan kemajuan syarikat. Dan saya berimpian agar mereka dapat menjana pendapatan lima angka apabila syarikat ini berkembang.” Tuan Zubair berkongsi misinya pada masa hadapan.

Beliau mewujudkan sistem kerja agar semua staf dapat melaksanakan tugas mengikut perancangan syarikat. Setiap staf diberikan sasaran untuk dicapai. Jika sasaran tidak dicapai, mereka perlu menjelaskan sebab-sebabnya dan bagaimana untuk memperbaiki prestasi pada masa akan datang.

“Tanpa sistem kerja, kita (pemilik perniagaan) tidak dapat melakukan tugasan yang lebih penting iaitu mengatur strategi untuk mengembangkan perniagaan. Contohnya, baru-baru ini saya menukar konsep salah satu cawangan saya kepada Restoran Itik Gembo. Jika saya terlalu sibuk dengan hal operasi sesuatu cawangan tentu saya tidak dapat menumpukan perhatian kepada cawangan lain.” Ujarnya lagi.

Menurut Tuan Zubair, seorang usahawan mesti mampu mengimbangi tugasan untuk bisnes dan masa dengan keluarga. Pengurusan syarikat masih belum mantap sekiranya usahawan terpaksa meluangkan masa yang banyak dalam operasi syarikat. Oleh itu, usahawan harus merancang dari awal dan bersedia untuk menyerahkan tugas kepada staf.

Beliau menceritakan pengalamannya menguruskan pekerja. “Saya pernah dipanggil staf ke asrama pekerja kerana salah seorang staf terkena histeria. Sudah pukul 1 pagi. Saya dapat rasakan staf ini berpura-pura sahaja. Saya terpaksa menampar mukanya supaya dia ‘sedar’. Selepas itu saya beri amaran. Dan kejadian seperti ini tidak berulang lagi. Pada masa itu saya memang marah, tetapi adakalanya berasa lucu apabila mengingatkan semula peristiwa ini.”

Membina jenama

Kejayaan Restoran Tam Nasi Ayam disulami pelbagai kisah suka duka. Beliau adakalanya tidur beberapa jam sahaja. Dan bangun keesokan harinya untuk meneruskan perjuangan dalam perniagaan.

Tuan Zubair mula memperkenalkan produk baru iaitu Royale Meatball. Produk ini dipasarkan melalui kiosk. Kiosk pertama dibuka di lokasi Restoran Tam Nasi Ayam. Perniagaan kiosk ini akan dipasarkan kepada usahawan muda yang ingin bermula dengan modal yang rendah.

Pelbagai kiosk telah dibuka di Restoran beliau. Ini memberikan pilihan kepada pelanggan yang datang untuk menikmati Nasi Ayam. Walaupun produk utama restorannya ialah nasi ayam, pelanggan dapat mencuba makanan lain yang berkualiti pada harga berpatutan.

Pengusaha kiosk ini membayar sewa kepada syarikatnya. Kerjasama ini memberi manfaat kepada perniagaannya dan perniagaan usahawan lain. Sehingga kini, lebih 15 kiosk didirikan dalam kawasan restoran. Pelanggan tidak putus-putus datang untuk menikmati hidangan di restorannya.

Keluarga sebagai sumber inspirasi

“Saya ingin memberi pendidikan yang terbaik buat anak-anak. Dan semua perkara yang terbaik bukan murah harganya. Oleh itu, ia mendorong saya berusaha keras dalam perniagaan.”

Tuan Zubair menjadikan keluarga sebagai sumber inspirasi dan sokongan untuk beliau terus maju dalam perniagaan. Selain daripada itu, beliau ingin melihat pencapaian ekonomi golongan bumiputera terus meningkat dan selari dengan status Malaysia sebagai negara maju pada tahun 2020.

Beliau melihat perjuangan dalam perniagaan adalah jihad ekonomi. Banyak pencapaian positif dalam kalangan jemaah bisnes Muslim dan Melayu pada masa ini.

“Saya bersedia untuk melatih usahawan muda dalam membangunkan perniagaan. Perkara yang paling utama ialah kesungguhan individu untuk menjadi seorang usahawan. Ini adalah karier dengan masa depan yang cemerlang jika dilakukan dengan betul dan belajar daripada mentor yang berpengalaman.”

Tuan Zubair tidak lokek ilmu. Beliau bersikap terbuka dan sudi berkongsi pengalaman dan selok belok perniagaan kepada usahawan baru. Berniaga bukan untuk berjaya seorang diri tetapi sama-sama bangun untuk maju bersama usahawan lain.

“Saya sendiri masih belajar dan sentiasa merujuk kepada usahawan lain yang telah berjaya. Mereka tidak kedekut untuk berkongsi tips dalam perniagaan. Mereka tidak sombong. Mereka banyak memberi bantuan dan sokongan moral untuk saya terus maju,” katanya lagi mengakhiri perbualan kami pada petang itu.

2 Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *