Blog,  Resepi

Xinjiang Spicy Cumin Beef Stir Fry

Sejak akhir-akhir ini memang jarang memasak di rumah. Minggu lepas sahaja, saya berada di Kuala Lumpur untuk menguruskan beberapa perkara berkaitan Dua Penulis.

Hari ini pencetus idea yang diberikan ialah resepi. Jadi, saya buat keputusan untuk memasak satu hidangan yang berasal dari Xinjiang. Normi yang memberi resepi ini. Pertama kali Normi hidangkan lauk ini dimakan dengan nasi panas. Amboi… sedapnya.

Resepi ini Normi ubahsuai supaya hampir sama rasanya dengan lauk daging pedas yang dimakan dalam cuaca sejuk ketika dia dan Anie ke Harbin tahun lalu. Makanan pedas dalam musim dingin dengan suhu kurang 0 darjah celsius. Memang membangkitkan selera.

Saya kongsikan di bawah resepi asal yang Normi beri. Saya ada ubah sedikit kerana saya gunakan daging kambing yang sudah siap diperap. (Sebenarnya, saya beli lamb chumps di AEON Market. Ada ketulan daging kambing yang belum diperap. Tapi sejuk beku. Saya mahu masak segera.)

Xinjiang Spicy Cumin Beef Stir Fry

Lauk dan nasi. (Maaf, gambar kurang jelas.)

A. Perap (sejam atau seharian)
Saya gantikan dengan daging yang sudah siap diperap.
Jika beli daging yang belum diperap, gunakan bahan berikut:

  • 1/2 kg atau 400 gram daging atau kambing
  • 1 sudu besar kicap cair
  • 1 sudu besar stok ayam
  • 2 sudu besar tepung jagung
  • 1/2 sudu kecil garam

B. Bahan untuk tumis

  • 1 biji Bawang Holland (hiris bulat kasar)
  • 1 biji lada benggala (potong-potong jangan nipis sangat)
  • 1/3 cawan chili flakes (*saya tak letak kerana tak mahu pedas sangat)
  • 1 sb halia yang dah tumbuk
  • 5 ulas bawang putih (hiris-hiris)
  • Sedikit brokoli (*saya tambah)
  • Sedikit cendawan hitam (*saya tambah)

C. Bahan campuran rempah (campur semua bahan ni)

  • 2 sudu besar serbuk jintan manis
  • 1 sudu besar chilli flakes
  • 1 sudu kecil lada hitam kisar (*saya tak letak kerana kambing perap dah letak lada hitam)
  • 1/2 sudu gula

Caranya:

  1. Bahan perap dikeluarkan dan masukkan tepung jagung 2 sudu besar sampai semua daging bersalut. Kalau ada air dalam perapan, toskan dulu dan gaul dengan tepung jagung. (Saya hanya salutkan tepung jagung pada daging perapan yang saya beli tadi. Tak perlu perap lagi dengan bahan perap di atas.)
  2. Guna minyak sayur atau canola, masuk dlm 1/4 cawan dalam kuali atau non-stick pan. Api besar.
  3. Masukkan daging atau kambing yang dah diperap dengan bahan-bahannya. Ratakan daging di kuali. Jangan kacau atau kalih daging selama 40 saat. Lepas tu baru kalih. Jangan masak sangat. Dalam 70% daging tu nak masak, angkat letak dalam pinggan.
  4. Masukkan bahan-bahan untuk ditumis (bahan B). Masukkan bawang holland dulu, lepas tu halia, bawang putih dan chilli flakes (jika mahu pedas). Kemudian masukkan brokoli dan cendawan. Biar sekejap supaya brokoli lembut sedikit. Baru masukkan lada benggala. Tumis sampai layu sedikit. Jangan lama sangat, biar rasa rangup sikit untuk dimakan. Nak masuk sayur lain pun ok seperti kacang buncis atau lobak.
  5. Masukkan daging yang dah kita goreng mula-mula tadi. Gaul sekejap dan kemudian masukkan terus bahan campuran rempah (bahan C). Gaul-gaul sampai kita rasa macam dah masak ni. Yang penting, bawang dan lada benggala jangan sampai terlalu layu.
  6. Cuba rasa. Boleh tambah kicap cair/garam jika kurang masin.
  7. Hidang dengan nasi putih.

Writing prompt Ogos 2019: Resepi yang saya suka.
Anda boleh baca entri saya yang lain di sini menggunakan pencetus idea yang diberikan. Saya memulakan cabaran ini pada bulan Julai 2019.

Please follow and like us:

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *

Social media & sharing icons powered by UltimatelySocial