Categories
Blog

10 Lagu Pilihan Saya dalam Tahun 2020

Setelah mengucapkan selamat tinggal tahun 2020, kita mengharapkan hari akan bermula dengan baik. Semoga tahun yang baru menginjak ini memberikan pengalaman yang mengujakan.

Kita semakin matang menguruskan jangkaan dan belajar menerima hakikat hal-hal yang tak mampu dikawal. Namun, kita masih punya cara dan pilihan untuk membuat perkara yang kita sukai. Belajar menghargai diri dan mereka yang penting dalam hidup kita.

Hujan masih belum berhenti sejak malam tahun baru. Sekejap reda dan lebat kembali. Dingin dan nyaman. Beberapa tempat di Johor Bahru diletakkan dalam amaran dan pihak berwajib menyarankan kita bersedia. Alhamdulilah, kawasan rumah saya belum dinaiki air.

1 Januari 2021. Saya tidak ke mana-mana. Pabila hujan ini, terasa malas mahu keluar. Saya melihat teman-teman mengemas kini status di media sosial meraikan tahun baru dengan makan di luar dan bergembira.

Berbual dengan seorang rakan penulis dan sahabat, Zalila Isa tentang projek yang kami kendalikan. Projek buku yang tertangguh harap dapat diselesaikan segera.

Malam pula, mesyuarat online dengan rakan penerbit. Satu lagi projek baharu akan dimulakan. Masing-masing teruja hingga dua jam bermesyuarat. Tamat selepas tengah malam. Begitulah.

Saya menonton semula video Yan Yahaya bersama Kak Mimi Salleh dan Rohaniah Noor tentang azam tahun baharu. Ia seolah menyuntik semangat dan mendorong saya untuk mengambil sedikit risiko. Dan mungkin dengan kerja berpasukan, saya akan bergerak lebih pantas lagi.

Pencetus idea 2021

Lucy mencadangkan 31 pencetus idea (writing prompts) untuk bulan Januari 2021. Menarik juga untuk dijadikan konten blog ini. Saya mulakan dengan 10 lagu pilihan saya tahun 2020.

1. Karena Kucinta Kau, Bunga Citra Lestari
Selepas kematian cinta hatinya, Asyraf Sinclair BCL mengambil masa mengubat hati. Beliau mengeluarkan lagu baru 12 Tahun Terindah dan menyanyikan semula dua buah lagu lama, iaitu Karena Kucinta Kau dan Cinta Pertama (Sunny) dengan setting baharu Melangkah Lagi. Saya tertarik dengan set yang bertona lembut merah jambu, jambangan bunga dan dres yang dikenakan oleh BCL. Saya mengulang tonton berkali-kali dan lagu ini menjadi kesukaan saya.

2. Cute (Stoplah Being So Cute), Hariz Zazman
Lagu yang berentak ceria dan menghiburkan. Muncul ketika saya melayari YouTube. Sedangkan waktu itu, lagu ini sudah popular dan menjadi ikutan. Saya berkongsi pautan dengan seorang rakan yang menemukan cintanya di tahun 2020.

3. Only Then, Cover version by Jungkook BTS
Yan Yahaya berkongsi dengan saya lagu ini. Saya bukan peminat BTS. Tapi setelah mendengar cover oleh Jungkook, saya mula mendengar beberapa lagi lagu nyanyian BTS. Mereka mempunyai keunikan yang menambat hati peminatnya. Lagu Only Then mempunyai lirik yang mudah dan realistik tentang satu perhubungan yang bermula dan adanya kemungkinan akan berakhir.

4. Monokrom, Tulus
Seorang kenalan yang meminati lagu-lagu Tulus berkongsi dengan saya beberapa video muzik yang dihasilkan oleh Tulus. Lirik lagunya menarik dan muziknya sederhana. Salah satu lagu yang saya pilih ialah Monokrom yang menceritakan tentang seseorang yang memberi warna kepada kehidupan monokrom.

5. Hanya Rindu, Cover version by Emma Heesters
Hanya Rindu oleh Andmesh, penyanyi dari Indonesia ini memang saya gemari. Kali ini saya memilih cover version oleh penyanyi dari Netherlands. Lagu ini diterjemah ke dalam bahasa Inggeris dan dipersembahkan oleh Emma. Ramai penyanyi antarabangsa yang menyanyikan versi Hanya Rindu dalam bahasa Inggeris termasuk Alexander Porat.

6. Jealous, Cover version by Alexander Porat
Lagu asal Jealous dinyanyikan oleh Labrinth. Saya memilih cover version oleh Alexander Porat. Tiada sebab yang khusus memilih lagu ini, barang kali disebabkan hujan yang dicemburui oleh orang yang merindui dalam lagu ini.

7. Kelabu, Yonnyboii ft. Azlan
Lagu ini istimewa kerana ia menyisipkan buku Projek Orkid: Masih Ada Yang Sayang. Sebuah buku yang saya usahakan bersama sahabat saya dan kumpulan penulis dalam berkongsi kisah tentang isu kesihatan mental. Zalila memberitahu saya tentang lagu ini. Dan lagu ini juga bertemakan kesihatan mental. Terima kasih kepada penerbit yang menggunakan buku kami dalam musik video berkenaan.

8. Pulang, Cover version by Dalia Farhana
Pulang dinyanyikan oleh Insomniaks dengan nada yang rancak. Dalia Farhana pula menyanyikan lagu ini dengan lenggok yang berbeza. Saya pilih nyanyian oleh Dalia Farhana kerana terasa mood kesedihan seseorang yang menunggu kepulangan kekasihnya.

9. Pura-pura Lupa, Mahen
Sebuah lagi lagu yang sedih tentang cinta yang tak kesampaian. Pura-pura Lupa ialah curahan isi hati insan yang kecewa dan cuba untuk melupakan. Sedangkan ia sukar sekali apabila sudah jatuh cinta.

10. Bukti, Cover version by Dalia Farhana
Lagu kesepuluh pilihan saya ialah Bukti nyanyian Dalia Farhana. Lagu asal oleh Virgoun ini meluahkan penghargaan kepada orang yang disayangi. Selain itu, saya suka tonton video muziknya.

Inilah 10 lagu pilihan saya untuk tahun 2020. Lagu-lagu yang sering saya mainkan ketika menulis atau berjoging di taman waktu pagi.

Please follow and like us:

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *