Saham

Apa itu syarikat PN17 dan GN3 di Bursa Malaysia?

Syarikat yang disenaraikan di Bursa Malaysia melalui proses permohonan yang ketat. Ini bagi memastikan kepentingan pelabur terjamin dan syarikat yang berkualiti masuk ke Papan Utama (Main Board) atau Papan ACE (ACE Board).

Pemantauan pencapaian syarikat sentiasa dilakukan dan salah satu syarat yang mesti dipatuhi ialah laporan kewangan setiap suku tahunan mesti dilaporkan tidak lebih 60 hari selepas berakhir tempoh suku tahun. Oleh sebab itu, pada bulan ini (Ogos) banyak syarikat mengumumkan laporan kewangan mereka bagi tempoh berakhir 30 Jun 2019.

UTUSAN misalnya mengumumkan kerugian RM3.8 juta bagi suku tahun kedua 2019. Dalam masa yang sama Bursa Malaysia memberi notis PN17.

Apakah itu PN17 (Practice Note 17)?

Syarikat yang disenaraikan akan dikategorikan sebagai syarikat PN17 apabila ia mempunyai kriteria berikut:

  1. Dana pemegang saham bersamaan atau kurang daripada 25% daripada jumlah saham dikeluarkan dan modal berbayar syarikat disenaraikan; atau
  2. Penerima dan/atau pengurus dilantik untuk mengambil alih 50% daripada jumlah aset syarikat yang disenaraikan berdasarkan laporan kewangan disatukan; atau
  3. Penutupan anak syarikat atau syarikat sekutu yang meliputi sekurang-kurangnya 50% daripada jumlah aset syarikat disenaraikan berdasarkan laporan kewangan disatukan; atau
  4. Auditor memberi pendapat bahawa kedudukan kewangan syarikat tidak bagus dan memberi penafian berdasarkan akaun beraudit yang terkini syarikat: atau
  5. Bayaran tertunggak kepada institusi kewangan dan syarikat mesti mengumumkan ketidakupayaan syarikat untuk memenuhi tuntutan ini. Syarikat mesti membuat deklarasi kemampuan bayar mengikut Practice Note 1/2001 atau PN1; atau
  6. Syarikat disenaraikan sudah mengantung atau menghentikan semua atau sebahagian besar operasinya.

UTUSAN dikategorikan sebagai syarikat PN17 kerana gagal membuat bayaran prinsipal dan untung pembiayaan sebanyak RM1.18 juta kepada Maybank Islamic Bhd dan Bank Muamalat Bhd.

Satu lagi contoh ialah London Biscuits Bhd (LONBISC) yang disenaraikan sebagai syarikat PN17 pada bulan Julai 2019. Syarikat gagal menjelaskan bayaran sebanyak RM9.83 juta kepada Bank of Nova Scotia Bhd.

Harga saham pada 23 Ogos 2019.

Apa itu syarikat GN3 (Guidance Note 3)?

Notis GN3 dikeluarkan oleh Bursa Malaysia kepada syarikat yang disenaraikan di Papan ACE (ACE Board).

Kriteria syarikat GN3 ialah:

  1. Dana pemegang saham bersamaan atau kurang daripada 25% daripada jumlah saham dikeluarkan dan modal berbayar syarikat disenaraikan; atau
  2. Syarikat disenaraikan mengalami kerugian untuk 1 tahun kewangan selepas ia disenaraikan. Jumlah kerugian bersamaan atau melebihi jumlah ekuiti pemegang saham bagi tahun kewangan itu. Ekuiti pemegang saham pula sama atau kurang daripada 50% saham dikeluarkan dan modal berbayar bagi akhir tahun kewangan yang sama; atau
  3. Syarikat disenaraikan mengalami kerugian terkumpul untuk dua tahun kewangan berturut-turut selepas disenaraikan dengan:
  4. Penerima dan/atau pengurus dilantik untuk mengambil alih 50% daripada jumlah aset syarikat yang disenaraikan berdasarkan laporan kewangan disatukan; atau
  5. Penutupan anak syarikat atau syarikat sekutu yang meliputi sekurang-kurangnya 50% daripada jumlah aset syarikat disenaraikan berdasarkan laporan kewangan disatukan; atau
  6. Juruaudit memberi pendapat bahawa kedudukan kewangan syarikat tidak bagus dan memberi penafian berdasarkan akaun beraudit yang terkini syarikat: atau
  7. Juruaudit menyatakan kebimbangan tentang keupayaan syarikat untuk meneruskan operasi dalam penyata kewangan beraudit terkini dan ekuiti pemegang saham adalah 50% atau kurang daripada saham yang dikeluarkan dan modal berbayar syarikat; atau
  8. Bayaran tertunggak kepada institusi kewangan oleh syarikat disenaraikan, anak syarikat utama atau syarikat sekutu utama.
Idemension Consolidated Berhad, harga saham pada 23 Ogos 2019.

Bursa Malaysia menyenaraikan 25 syarikat sebagai PN17 dan GN3.
Syarikat PN 17 (Papan Utama) sehingga kini (Ogos 2019).

  1. APFT BERHAD
  2. BARAKAH OFFSHORE PETROLEUM BERHAD
  3. BERJAYA MEDIA BERHAD
  4. BERTAM ALLIANCE BERHAD
  5. BRAHIM’S HOLDINGS BERHAD
  6. CHINA AUTOMOBILE PARTS HOLDINGS LIMITED
  7. COMINTEL CORPORATION BHD
  8. DAYA MATERIALS BERHAD
  9. EKA NOODLES BERHAD
  10. HB GLOBAL LIMITED
  11. KINSTEEL BHD
  12. KUANTAN FLOUR MILLS BERHAD
  13. LONDON BISCUITS BERHAD
  14. MAA GROUP BERHAD
  15. MALAYSIA PACIFIC CORPORATION BERHAD
  16. MAXWELL INTERNATIONAL HOLDINGS BERHAD
  17. MULTI SPORTS HOLDINGS LTD
  18. PERISAI PETROLEUM TEKNOLOGI BERHAD
  19. SEACERA GROUP BERHAD
  20. SUMATEC RESOURCES BERHAD
  21. TH HEAVY ENGINEERING BERHAD
  22. UTUSAN MELAYU (MALAYSIA) BERHAD

Syarikat GN3 (Papan ACE)

  1. G NEPTUNE BERHAD
  2. IDIMENSION CONSOLIDATED BERHAD
  3. WINTONI GROUP BERHAD

Harga saham syarikat PN17 dan GN3

Jika kita lihat contoh tiga syarikat di atas, iaitu UTUSAN, LONBISC dan IDMENSN, harga saham tiga syarikat ini di bawah nilai 20 sen.

Berdasarkan kriteria PN17 dan GN3, jelas menunjukkan syarikat ini mempunyai masalah kewangan dan operasi. Oleh sebab itu, harga saham juga sangat rendah. Kemungkinan besar minat belian atas saham syarikat PN17 dan GN3 sangat kecil. Syarikat yang diumumkan sebagai syarikat PN17 dan GN3 juga mempunyai risiko dinyah senarai.

Apabila saham syarikat dinyah senarai, pemegang saham masih lagi memiliki saham berkenaan, namun ia tidak boleh didagangkan di Bursa Malaysia. Bagi pelabur runcit, wujud risiko modal mereka sukar dicairkan kerana saham tidak dapat dijual. Oleh itu, berhati-hati apabila anda mahu melabur dan elakkan pelaburan dalam syarikat PN17.

Please follow and like us:

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *

Social media & sharing icons powered by UltimatelySocial