Categories
Aktiviti

SONY Event Street Photography: Zanariah Salam

Minggu akhir tahun 2019. Saya menyertai Street Photography anjuran SONY dengan bimbingan Zanariah Salam. Istimewanya acara ini, pihak SONY memberi peserta satu unit kamera (on loan) untuk digunakan sepanjang aktiviti Street Photography. Lokasinya di Jalan Tan Hiok Nee, Johor Bahru.

Saya parkir kereta di depan Pejabat POS Besar. Saya gunakan MBJB Spot untuk membayar kadar parkir RM3 selama 5 jam. Pukul 1.30 petang saya mesti beredar untuk mengelakkan didenda.

Berkumpul di depan Amphawa Boat Noodle, Jalan Ibrahim Johor Bahru.

Kami berjumpa di depan Amphawa Boat Noodle, salah sebuah restoran yang terletak di Jalan Ibrahim.

Sedikit taklimat ringkas diberikan dan setiap peserta diberi satu unit kamera. Saya dapat kamera model A6400. Kamera ini ada skrin ’tilt’ dan badan kamera sederhana besar. Agak solid juga apabila dipegang.

Ini kali kedua saya mengikuti Zanariah Salam. Beliau seorang jurufoto berpengalaman dan gambarnya sudah beberapa kali memenangi anugerah tempatan dan antarabangsa.

Kali pertama saya ikuti beliau di lokasi sama seminggu sebelum sambutan Deepavali. Jadi, banyak gerai yang menjual barangan untuk persiapan Deepavali.

Kali ini masih lagi tema yang sama. Merakam aktiviti harian di Jalan Tan Hiok Nee.

Serba sedikit tentang Tan Hiok Nee. Beliau ialah peniaga Cina yang dianugerahkan panggilan ‘Major China’ oleh Sultan Abu Bakar pada tahun 1870 dan kemudian dikurniakan Dato’. Beliau bermula sebagai penjaja tekstil dan akhirnya berjaya sebagai pembekal kain yang menguasai pasaran pada masa itu. Beliau menanam lada hitam dan gambir di sepanjang Sungai Johor dan Kota Tinggi ke pesisir Selat Tebrau menghadap Pulau Ubin. Beliau adalah ketua Kumpulan Kongsi Hgee Heng dari 1863 hingga 1873.

Jom lihat beberapa gambar yang saya ambil tadi.

Terima kasih SONY yang menganjurkan acara ini secara percuma. Terima kasih cikgu Zanariah Salam atas bimbingan pada hari ini. Bulan depan kita jumpa di Kukup ya.

Bagi mereka yang berminat untuk menyertai acara anjuran SONY, boleh mendaftar di laman web mereka. Pilih acara yang disukai dan jangan lupa hadir mengikut jadual yang ditetapkan. Tempat terhad tau. Walaupun percuma jangan sia-siakan peluang untuk belajar ilmu fotografi. Selain dapat belajar, boleh jumpa kenalan baru dengan minat yang sama.

Please follow and like us:
Categories
Aktiviti Gaya Hidup

KL Pink October 2019 – Kempen Kesedaran Kanser Payudara Peringkat Wilayah Persekutuan

Selepas menerbitkan buku Projek Lavender yang bertemakan kisah kanser, saya bertemu dengan pejuang kanser daripada pelbagai latar belakang. Malahan salah seorang penulis kami juga adalah pejuang kanser payudara.

Semasa menyertai World Cancer Fun Run di Putrajaya pada Mac lalu juga saya dapat melihat ramai pejuang kanser yang cekal dan terus berusaha untuk kembali sihat.

Kali ini Hospital Kuala Lumpur menganjurkan KL Pink October 2019 dengan skala yang lebih besar. Program kunjungan ke PPR di sekitar Kuala Lumpur juga sudah berjalan. Pelbagai aktiviti diadakan seperti pemeriksaan payudara secara percuma dan menetapkan janji temu untuk pemeriksaan lanjut di hospital.

Lawatan pasukan KL Pink Project ini sering dikemas kini di laman Facebook mereka. Selain itu, laman web KL Pink October juga sudah dibuka untuk pendaftaran bagi acara kemuncak pada 19 Oktober 2019. Dua acara besar yang dinanti-nantikan ialah KL Pink October Walk, KL Pink Zumba dan Street Carnival. Semua acara ini akan diadakan di Padang Hospital Kuala Lumpur.

Larian santai di Padang HKL

Yuran penyertaan serendah RM50 sahaja seorang dan yuran berkumpulan untuk 4 orang ialah RM180. Larian bermula jam 7 pagi. Boleh terus mendaftar di laman web KL Pink October.

Acara zumba turut diadakan pada hari yang sama dengan yuran RM50 juga. Siapa yang suka menari boleh turut serta di sebelah malam, pukul 8.30 malam, 19 Oktober 2019.

Acara Zumba di sebelah malam.

Jom sokong program kemasyarakatan ini untuk meningkatkan kesedaran tentang kanser payudara. Salah satu kanser yang boleh dirawat dengan berkesan apabila didiagnos pada peringkat awal.

Jangan malu dan jangan segan untuk sama-sama menyertai program anjuran Hospital Kuala Lumpur.

Bergembira sambil memberi sumbangan.
Tarikh tutup penyertaan: 10 September 2019.
Please follow and like us:
Categories
Aktiviti Blog

Belajar Buat Jurnal Kembara oleh Emila Yusof

Sesekali berjalan ke tempat orang atau melancong ke luar negara, pasti kita mahu simpan barang atau cenderahati sebagai kenangan. Apabila sampai ke rumah, kita kemas beg dan cuci pakaian. Kemudian, buka dompet pasti terselit kepingan resit, tiket kapal terbang di celah helaian passport, tiket muzium atau tiket masuk ke tempat tarikan yang kita lawati.

Sama ada kertas-kertas ini dibuang begitu sahaja atau diabadikan dalam satu jurnal kembara. Idea yang bagus bukan? Saya kagum dengan jurnal kembara yang Kak Emila Yusof hasilkan. Tahun lepas saya dapatkan dua jurnal kembara beliau yang siap dicetak. Jurnal kembara Jepun dan Itali-Swiss.

Kami berpeluang belajar dengan Kak Emila untuk menghasilkan jurnal kembara. Tidak sangka dengan aktiviti menulis blog pada bulan Julai ini, kami berjaya berkumpul sama-sama untuk belajar sesuatu yang baharu.

Pertemuan diadakan pada Sabtu, 27 Julai 2019 di pejabat Big Step Communications di Sri Gombak. Kak Mimi Salleh berbesar hati untuk menyediakan ruang pejabat beliau.

Sebelum hadir ke kelas, saya beli cat akrilik, pita washi (pita bercorak), gam, gunting dan stiker pelbagai corak. Saya bawa keratan dan resit yang masih lagi disimpan sejak pulang dari Taiwan. Saya cetak gambar di kiosk Picapica di AEON Tebrau City. Mahal juga. 10 keping gambar dicetak pada 5 keping kertas foto berharga RM20.

Kami bertemu jam 10 pagi. Saya bertolak dari Johor Bahru selepas subuh. Alhamdulilah. Sampai beberapa minit selepas pukul 10. Kak Emila dan Puan Moon sudah sampai lebih awal. Nampaknya mereka teruja berbual tentang jurnal yang akan kami hasilkan.

Aktiviti kami santai-santai sahaja sambil makan kudapan yang dibawa rakan-rakan. Ada brownies, jambu batu cicah asam, roti naik dan jus oren Twister.

Mula-mula kami lihat beberapa contoh jurnal yang siap dibuat oleh Kak Emila Yusof. Beliau menggunakan buku saiz poket, 9cm x 14cm. Boleh beli di kedai alat tulis atau buat sendiri menggunakan kertas lukisan. Gunakan stapler atau jahit seperti yang dibuat oleh Yan.

Kak Emila memberi panduan menyusun bahan jurnal kembara. Mulakan dengan mewarna latar pada setiap halaman jurnal. Warnakan sebelum pergi melancong. Selain mewarna boleh tampal keratan kertas bercorak atau origami untuk menjadikan latar halaman lebih menarik. Jadi, anda dapat siapkan jurnal on-the-go. Tak perlu tunggu balik baru nak buat. Cara ini lebih berkesan kerana anda dapat merakam terus aktiviti yang anda jalani atau perasaan anda ketika itu.

Gunakan kreativiti untuk menghasilkan jurnal kembara anda. Ia sesuatu yang unik berdasarkan pengalaman anda semasa kembara dan pilihan bahan yang digunakan.

Boleh juga baca tip Kak Emila di Facebook.

Aktiviti ringkas ini menemukan saya dengan rakan lama dan baru. Sahabat saya, Wida Ahmad yang bertugas di Melaka ialah kawan sekolah. Kami jarang bertemu. Ini peluang yang baik sekali. Rasyada, penulis buku Projek Lavender 2 turut menyertai kelas ini. Datang dari jauh.

En Sharul hadir bersama anaknya Hanis. Hanis berusia 12 tahun dan sedang menduduki peperiksaan UPSR. Selamat maju jaya Hanis. En Sharul juga minat fotografi. Nanti kita belajar fotografi pula daripada beliau.

En Sharul merakam video ringkas sepanjang aktiviti kami menghasilkan jurnal. Boleh lihat di sini.

Selain itu, Puan Moon ada menghasilkan video pendek juga menggunakan telefon pintarnya.

Terasa cepat sahaja masa berlalu. Sudah pukul 230 petang. Masing-masing perlu pulang. Semestinya semua seronok dan gembira dengan hasilnya. Perlu sambung siapkan halaman di rumah pula.

Halaman jurnal yang berjaya diwarnakan.
Penuh meja.
Close up. Hehe…

Sampai jumpa lagi untuk aktiviti bulan depan. Insya Allah kita buat aktiviti luar pula.

Please follow and like us:
Categories
Aktiviti Buku

Cara Menerbitkan Buku Digital di E-Sentral.com Melalui Platform ORBIT (Otomasi Penerbitan)

Saya menghadiri majlis pelancaran ORBIT (Otomasi Penerbitan) pada Khamis lalu, 11 Julai 2019. Majlis dianjurkan oleh Xentral Methods yang mengendalikan laman web buku digital E-sentral.com. Sebagai penerbit buku, ini satu peluang yang baik untuk mendapatkan maklumat tentang dunia buku digital.

Saya suka dengan nama ORBIT. Catchy dan mudah diingat, akronim daripada perkataan bahasa Melayu. ORBIT ialah platform untuk penerbit dan penulis yang mahu menerbitkan buku digital atau ebook. Buku atau manuskrip akan ditukar ke format yang mesra digital seperti epub supaya mudah dibaca oleh pelanggan di peranti mereka seperti telefon pintar dan tablet.

Saya datang ke Mayor’s Courtyard, KL Tourism Bureau di No 11, Jalan Tangsi Kuala Lumpur. Lokasi ini bersebelahan dengan Bangunan Warisan Rumah Loke Chow Kit. Bangunan ini menjadi pusat sekretariat Ibu Kota Buku Kuala Lumpur 2020 (Kuala Lumpur World Book Capital 2020). Sudah tentu saya tidak melepaskan peluang bergambar dengan latar bangunan kuning yang klasik dan cantik ini.

Majlis bermula pukul 2.30 petang dengan ucapan oleh Tuan Faiz Al Shahab, Pengarah Urusan Xentral Methods dan diikuti Dato’ Sri Mustapa Bin Mohamed. Saya kongsikan maklumat tentang ORBIT dan perkhidmatan yang ditawarkan oleh E-Sentral.

e-Sentral.com, stor e-buku Malaysia telah melancarkan ORBIT. ORBIT, singkatan untuk Otomasi Penerbitan, direka khas untuk mempercepat penerbitan buku elektronik untuk para penulis. ORBIT diperlengkapkan dengan kemudahan permohonan ISBN dalam talian melalui kerjasama dengan Perpustakaan Negara Malaysia.

ORBIT menjanjikan sepantas tiga hari untuk penulis memasarkan buku elektroniknya daripada sebuah manuskrip yang sudah siap. Memandangkan jualan e-buku yang memberangsangkan dua tahun kebelakangan ini, e-Sentral mengambil peluang atas kesuburan pasaranini dengan memperkenalkan ORBIT untuk memangkinkan lagi pembekalan karya.

Kini e-Sentral mempunyai 300 ribu pengguna berdaftar dan lebih daripada 10 ribu pelawat sehari. ORBIT menyediakan sesuatu untuk semua jenis penulis.

Selain daripada platform penerbitan elektronik yang ekspres ini, ORBIT juga menyediakan komponen khusus untuk gaya penulisan yang lain dalam bentuk ORBIT-X dan ORBIT-J. ORBIT-X memberi fokus kepada pembangunan buku teks digital interaktif untuk sektor pendidikan tinggi dengan menyediakan sebuah platform untuk para pensyarah dan pendidik melontarkan idea dan manuskrip bagi pertimbangan untuk dijadikan sebuah buku teks digital yang berinteraktif.

E-Sentral melihatkan sektor buku teks digital interaktif dalam pendidikan tinggi sebagai satu pasaran yang baru dan belum dipelopori, dan oleh yang demikian E-Sentral berhajat untuk melabur dengan membangunkan buku teks digital interaktif untuk pendidikan tinggi secara agresif bersama penulis-penulis bertauliah bagi pasaran masa hadapan.

ORBIT-X diilhamkan ekoran kejayaan e-Sentral dan Perbadanan Kota Buku dalam pengelolaan NDTP (Platform Buku Teks Digital Kebangsaan), sebuah platform untuk membantu penerbit membangunkan fasa pertama buku teks digital interaktif untuk Kementerian Pendidikan Malaysia.

ORBIT-J pula, merupakan kemudahan untuk kewartawanan komuniti. ORBIT-J menapis permohonan untuk menjadi wartawan kepada platform komuniti ini supaya kredibiliti dan kesahihan berita dalam platform ini boleh dijamin dengan baik. Selain itu, ORBIT-J merupakan platform teknologi sahaja dan tidak mengambil bahagian dalam menyusun berita yang dikeluarkan. Hajat ORBIT-J adalah untuk menghidupkan semangat kewartawanan di Malaysia dengan menyediakan satu saluran berita yang bebas komersil.

Saya akan mencuba ORBIT untuk menerbitkan beberapa buku terbitan Dua Penulis dalam format digital. Peluang yang baik ini memberi ruang untuk kami memasarkan buku kepada kelompok yang gemar membaca buku digital dan mahu mengurangkan pembelian buku fizikal. Langkah ini sangat sesuai dengan tagline ‘Go Green and Read eBook’ yang diletakkan pada kotak set straw stainless steel yang kami terima sebagai tetamu pada majlis ini.

Please follow and like us:
Categories
Aktiviti Travel Umum

Perkara yang Saya Lakukan dan Belajar Sepanjang Enam Bulan (Januari 2019 – Jun 2019)

Bulan Jun 2019 akan berakhir, pantas masa berlalu. Enam bulan, 181 hari. Banyak perkara sudah berlaku. Ini masa yang sesuai untuk melihat kembali hal yang terjadi dan bagaimana ia menjadikan diri kita lebih baik. Tentu ada perkara yang menggembirakan, menyebabkan kita sedih atau pencapaian yang kita banggakan.

Apa yang saya lakukan sepanjang enam bulan tahun ini?

JANUARI

Januari bermula agak perlahan. Masa ini saya dan sahabat saya mula fokus pada penerbit buku Projek Lavender 2. Proses semakan sudah dilakukan, namun penyusunan dan proses penerbitan masih di peringkat awal. Kami menghubungi semua penulis yang terlibat. Ada penulis yang sudah menyertai kami dalam Projek Lavender 1. Ada juga yang baru sahaja menghantar karya dengan kami.

1 – Mulakan proses penerbitan Projek Lavender 2

Projek Lavender 2 dilancarkan pada bulan Mei 2018. Dalam tempoh sebulan kami mula menerima penyertaan. Beberapa kali juga kami lanjutkan tempoh untuk mendapatkan bilangan penyertaan yang mencukupi.

2 – Belajar buat video pemasaran guna telefon pintar

Saya juga berpeluang hadir ke kursus anjuran INSKEN. Saya belajar tentang pemasaran video menggunakan telefon pintar. Tenaga pengajarnya ialah Tuan Syazrol dan tim Pocket Production. Saya belajar menghasilkan video 1 minit dengan menggunakan aplikasi di telefon pintar.

Hasilnya, saya berjaya menghasilkan video 1 minit dan lebih kemudian menggunakan kemahiran ini untuk menyunting video. Saya kongsikan video pertama saya. Saya berjaya ambil beberapa shot, gabungkan mengikut storyboard, masukkan lagu dan teks. Kami belajar dan buat video ini dalam masa 2 hari.

Saya rasa kemahiran ini penting. Walaupun boleh belajar sendiri, bagi orang yang bukan teknikal seperti saya, eloklah saya cari guru. Proses belajar menjadi lebih pantas dan berkesan.

FEBRUARI

3 – Melancong ke Bali

Saya ke Bali bersama seorang sahabat. Dia mengajak saya untuk mengisi cuti panjang Hari Raya Cina. Kami pergi selama 4 hari. Bali, tempat yang saya mahu pergi namun tidak merancangnya dalam masa terdekat. Kali ini kami beli tiket kapal terbang awal Januari. Perancangan dibuat dalam tempoh yang singkat.

Sahabat saya mendapatkan khidmat supir (pemandu pelancong). Om Made namanya. Dia saudara kepada salah seorang kenalan sahabat saya ini. Om Made sudah berusia 60-an. Tapi nampak sihat dan cergas. Cuma agak keletihan apabila terpaksa memandu lebih 8 jam sehari.

Kami pergi ke Ubud, Kintamani, Uluwatu dan Tanah Lot. Makan terang bulan (apam balik) dan murtabak. Kami tak pergi ke pantai yang cantik. Sebab bilik yang kami sewa jauh sikit dari pantai.

Bali ini tempat yang kaya budaya dan ramai mat salleh suka duduk di sini. Banyak kuil dengan binaan yang dipenuhi patung berhala yang diukir daripada batu. Kuil yang popular seperti Uluwatu dan Tanah Lot dibuka untuk pelancong. Ada bayaran dikenakan.

Saya nak buat entri blog tapi asyik tertangguh sahaja. Saya letakkan video di Youtube Channel. Boleh lihat di sini.

4 – Mulakan Projek Orkid dan Projek Lili

Seorang rakan mencadangkan supaya kami Dua Penulis mengumpulkan kisah penyakit mental. Isu penyakit mental juga banyak dibincangkan sekarang. Walaupun penyakit ini telah lama wujud. Jadi, kami harap dapat menambah bahan bacaan yang bermanfaat dalam topik ini.

Kami tak sangka, ramai yang menghantar penyertaan dengan pelbagai kisah perjuangan mereka dalam melawan penyakit mental. Kini sedang dalam proses penerbitan.

Projek Lili pula berkaitan kisah sukarelawan. Sayangnya, tidak banyak penyertaan yang kami terima. Kami dah buka sejak 2018. Kemudian tertangguh. Kami buka lagi. Susah juga nak dapat sukarelawan yang sudi menyumbang cerita dalam Projek Lili. Tapi kami belum putus asa.

5 – Semakan akhir Projek Lavender 2

Pesta buku tahun ini dibuat lebih awal berbanding tahun lalu kerana Ramadan bermula pada awal Mei. Jadi, ia dianjurkan pada akhir Mac. Tidak banyak masa lagi. Kami selesaikan semakan dan susunan sebelum dihantar kepada pencetak.

MAC

Menjelang Mac, saya sudah berada di Taipei, Taiwan.

6 – Melancong ke Taiwan

Taiwan, tak pernah terfikir nak pergi. Sahabat saya Noor Hayati Yasmin yang mengajak temankan dia bersama tiga orang lagi sahabatnya. Saya tak kenal mereka. Tapi apa salahnya berjumpa kawan baru. Semua rancangan dibuat oleh Amirah. Dia dapatkan khidmat pemandu pelancong, orang Malaysia yang sudah lama menetap di Taiwan.

Saya bertolak dari Johor Bahru, bertemu dua orang rakan di KLIA2. Yati dan Amirah bertolak dari Kota Kinabalu. Saya mencari Min dan Aida di kawasan perlepasan antarabangsa. Pertama kali nak berjumpa. Alhamdulilah, lembut dan baik mereka berdua ini.

Rupanya Taiwan negara yang indah dan kaya dengan alam semulajadi yang dipelihara. Negaranya sejuk dan nyaman. Kami pergi ke taman negara, jalan-jalan di pasar malam dan minum bubble tea. Puas bergambar dengan bunga sakura berwarna merah jambu. Pergi ke pantai Chishingtan yang menghadap ke Lautan Pasifik. Pantai yang penuh dengan batu pantai tanpa pasir. Saya tak pernah lihat sebelum ini.

7 – Menyertai World Cancer Fun Run 2019, Putrajaya

Saya menghubungi urusetia pada awal Januari. Kami mahu mengedarkan buku mini Projek Lavender. Program larian ini dianjurkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia. Cuaca baik pada hari itu. Kami diberi ruang untuk menjual buku Projek Lavender dan Projek Lavender 2 yang baru sahaja siap dicetak.

8 – Bermula Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2019

Kami terus bekerjasama dengan Kasi Terbit. Masuk tahun keempat terlibat dalam pesta buku. Pertama kali menjual buku ketika Pesta Buku Antarabangsa 2016 yang diadakan di MAEPS Sepang. Kemudian, tahun 2017 hingga 2019 di PWTC.

APRIL

9 – Menerima Anugerah Buku Negara 2019

Satu pencapaian yang cukup membanggakan. Projek Lavender yang bermula dengan pengalaman peribadi, kini berjaya mencapai Anugerah Buku Negara bagi Kategori Buku Inspirasi. Dah lama tak naik ke pentas untuk mengambil hadiah. Kali akhir semasa pesta buku antarabangsa 2015 untuk pelancaran buku terbitan Truewealth.

Kejayaan ini dikongsi bersama semua penulis. Seronok dan gembira dapat bertemu penulis/pelukis dalam industri buku. Banyak buku yang bagus dan mendapat anugerah malam itu. Kami turut kongsi kejayaan dengan Kasi Terbit dan Meor (Travelog) yang memenangi Anugerah penerbit dan buku travelog.

10 – Membawa penulis ke pentas PBAKL 2019

Puan Mahaya menghubungi saya untuk sama-sama berada sepentas dengan beliau membicarakan topik kesedaran kanser. Satu peluang yang bagus untuk memperkenalkan buku Projek Lavender.

Saya membawa dua orang penulis kami, Dr Sabariah Faizah dan Leanne Adam dalam acara ini. Agak berdebar juga untuk memastikan acara berjalan lancar. Saya sempat merakam keseluruhan slot yang berlangsung selama 45 minit. Terima kasih penganjur.

11 – Menyertai KLTCC 2019

KLTCC ialah Kuala Lumpur Trade & Copyright Centre 2019 anjuran Perbadanan Kota Buku. Saya pergi bersama Mimi Salleh dan Yan Yahaya. Saya dan Yan mewakili Dua Penulis, manakala Mimi Salleh membawa jenama Young Jenin Writer.

Saya dapat bertemu penerbit daripada Korea Selatan. Satu acara yang membuka mata saya tentang industri buku Korea dan apa yang saya boleh lakukan.

Satu hal yang saya kagum ialah wakil daripada Korea Selatan bercakap dalam bahasa Korea sepanjang sesi mereka dan menggunakan perkhidmatan penterjemah. Ini bermaksud kita juga harus bangga dengan bahasa ibunda di pentas antarabangsa.

12 – Belajar Pemasaran Youtube

Sekali lagi saya menyertai program anjuran INSKEN. Dua hari di Kuantan. Nampaknya penuh bulan April tahun ini. Saya hanya balik sekejap ke Johor Bahru selepas tamat pesta buku. Dalam kursus ini saya belajar menyusun kandungan Youtube untuk tujuan penjenamaan dan konten.

Satu ilmu yang penting juga. Saya gabungkan kemahiran menyunting video yang saya belajar dalam bulan Januari dengan ilmu Youtube. Saya dapat menghasilkan banyak video pendek-pendek dan menyusunnya dalam channel Youtube Dua Penulis dan channel peribadi.

13 – Menyertai Wacana Cancer Survivors Malaysia di Melaka

Saya mengenali Puan Zuraini Kamal melalui Puan Rose Fazlinda, salah seorang penulis Projek Lavender 2. Kagum dengan semangat mereka pejuang kanser yang tidak kenal erti penat untuk menyebarkan maklumat tentang kanser.

Saya sangat hargainya. Dalam program ini, kami diberi peluang memperkenalkan buku Projek Lavender kepada lebih 400 orang peserta. Mereka datang dari seluruh Malaysia. Program yang sangat baik.

Berakhirnya program di Melaka dan saya dapat kembali ke Johor Bahru. Bulan April berjalan dengan produktif dan lancar. Alhamdulilah.

Jika ikutkan hati, saya tidak mahu ke Kuala Lumpur pada bulan Ramadan. Namun, saya perlu menghantar buku kepada pengedar untuk tujuan bekalan ke kedai buku Popular.

MEI

14 – Berbuka puasa di Putrajaya

Rakan saya Normi dan Anie mengajak saya berbuka bersama di Putrajaya. Dapatlah saya pergi ke Bazar Ramadan Putrajaya yang terkenal dan banyak pilihan juadah. Kami makan briyani dan tepung pelita Paya Jaras. Saya berkenalan dengan Arja Lee yang sangat baik dan dia berikan saya kerepek ubi berperisa jenama Creps. Sedapnya.

JUN

15 – Majlis Raya di Jementah, Segamat

Bulan Ramadan berlalu, menjelang Syawal yang kami raikan sederhana. Saya tidak beli baju baharu. Hanya memakai baju kurung yang masih elok. Baju ini memang jarang dipakai. Jadi, ia cukup bagi saya.

Kami pergi ke Jementah, Segamat untuk majlis raya Keluarga Ambiah. Keluarga besar sebelah bapa saya. Saya agak-agak mungkin lebih 200 ahli keluarga yang berkumpul dari seluruh Johor.

Kami lalu di kaki Gunung Ledang untuk sampai ke sana. Lebih kurang 3 jam perjalanan dari Johor Bahru. Selesai majlis kira-kira pukul 4 petang. Kami ke kawasan Gunung Ledang. Dah sampai kan. Tapi hujan gerimis, ramai pula orang yang mandi di situ.

Kami bertolak pulang ke Johor Bahru. Tersekat dalam kesesakan lalu lintas di Lebuhraya Utara Selatan. Tiba di Johor Bahru selepas Isya’. Kami sempat singgah di Skudai dahulu untuk solat jama’.

Nampaknya, banyak hal penting berlaku dan saya gembira. Walaupun ada beberapa perkara yang belum dapat disiapkan. Insya-Allah saya akan cuba selesaikan dalam enam bulan mendatang ini.

Antara perkara yang saya mesti lakukan dan capai ialah:
1. Menyiapkan buku saham
2. Menganjurkan majlis pelancaran buku Dua Penulis bersama penulis kami
3. Menurunkan berat badan sebanyak 12 kg
4. Duo travel dari Kuala Lumpur – Hanoi – Kunming – Kuala Lumpur selama 20 hari

Semoga saya dapat menyelesaikan perkara yang dirancang. Mungkin ada lagi banyak hal yang saya akan lalui sepanjang 2019 ini. Semoga Allah bantu dan pertemukan saya dengan orang dan sahabat yang baik dalam mencapai matlamat saya. Insya-Allah.

Apakah pencapaian anda sepanjang enam bulan ini? Apakah perkara yang baik dan kurang baik berlaku kepada anda? Kongsi dengan saya.

Please follow and like us: