Categories
Gaya Hidup Vlog

Bagaimana Memulakan Rutin Baharu

Pandemik COVID-19 ini memaksa kita untuk berubah. Menjalani kehidupan dengan norma baharu. Cuba beradaptasi dengan desakan dan kekangan yang tak dijangka.

Tiada kereta terbang dalam tahun 2020. Tapi, kita tetap perlu meneruskan hari-hari ini cara yang berbeza. Sejak memulakan rutin baharu dengan berjalan 5km sehari, saya dapat merasakan perubahan yang baik pada diri sendiri.

Apabila saya memikirkan semula perkara yang mendorong saya mengambil langkah untuk gaya hidup sihat ini, saya tersenyum dan berpuas hati. Satu keputusan yang bagus. Niat untuk berjalan 5km sehari bukan sekadar angan-angan, tapi sudah berjaya dibuktikan. Bukan untuk orang lain, tapi untuk diri sendiri.

Saya mulakan dengan mengubah mindset tentang berjoging. Aktiviti luar ini tidak memerlukan kos yang tinggi dan tidak melibatkan risiko yang besar. Jadi, apakah alasan saya untuk tidak memulakan rutin yang mudah ini?

Kos yang rendah dan mudah dilakukan. Hanya perlu bangkit dari tidur dan bersiap untuk ke taman rekreasi. Tetapkan jarak yang mahu dicapai pada aplikasi di telefon bimbit saya dan mulakan berjalan.

Sudah tentu saya mempunyai halangan. Halangan dalam bentuk alasan yang muncul di minda saya seperti cuaca tidak baik, mengantuk atau sakit kaki.

Bagi mengatasi halangan ini, saya tidak lagi bertanya sama ada saya mahu atau tidak berjoging pada hari ini. Dan jika hari ini saya berjaya melakukannya, maka esok saya akan buat lagi tanpa beralasan.

Begitulah cara melakukan rutin yang baharu. Anda boleh menggunakan cara ini untuk melakukan rutin lain seperti memasak di rumah atau berkebun.

Cubalah. Semoga berjaya!

Please follow and like us:
Categories
Gaya Hidup Umum

Strive to survive

Tahun 2020 akan berlalu pergi kurang 40 hari dari sekarang. Begitu pantas masa berlalu. Pelbagai cabaran dan kegetiran yang dihadapi dalam situasi pandemik yang sememangnya tidak dijangka.

Hari-hari yang dilalui tidak berlaku seperti yang dirancangkan. Perniagaan tidak berjalan dengan baik dan laba yang diharapkan tidak diperolehi. Hubungan mesra berubah menjadi hambar atau putus sama sekali. Fikiran bercelaru dan sekaligus tubuh tidak berfungsi sepertinya selalu.

Kekecewaan demi kekecewaan seolah menekan diri ke bawah dan ke bawah sehingga terjelepuk dan terasa sukar untuk bangkit. Adakah tahun 2020 akan berakhir sebegini?

Tapi bukan semua cerita kecewa yang kita dengari. Masih ada kisah bahagia atau kisah mereka menemukan cinta. Malahan ada juga mengakui perhubungan sesama semakin erat sama ada sebagai teman, sahabat atau pasangan.

Sama ada kisah suka atau duka, setiap kita berusaha untuk strive to survive. Tiada kereta terbang di tahun 2020. Tapi virus yang bertebaran tanpa kita dapat melihatnya dengan mata kasar. Masing-masing menggunakan sumber yang ada untuk meneruskan hidup. Memaksa diri mempelajari kemahiran baharu. Mencuba sesuatu yang baharu. Melakukan rutin yang baharu dalam menjalani hidup seharian.

Tiada kereta terbang di tahun 2020. Tapi virus pula yang bertebaran.

Angan-angan untuk mengembara ke seluruh dunia dengan bebas tidak tercapai. Bukan untuk tahun ini. Namun, apabila keadaan membaik ia boleh dilunaskan.

Apakah yang kita pelajari hari ini?

1. Dunia bergerak terlalu pantas sehingga 2019. Datang virus yang tak kelihatan dek pandangan mata, seolah-olah butang pause tertekan.

2. Manusia yang sebelum ini berkejar atau mengejar masa, terpaksa pause. Hendak tak hendak, kena menerima keadaan atau norma baharu yang menghadkan pergerakan kita.

3. Sebelum ini kita terlalu sibuk dengan rutin, kerja dan kerjaya, bisnes dan pelbagai lagi tuntutan hidup, sekarang kita perlu mengubah cara hidup.

4. Mungkin ramai merasakan tekanan atau berdepan isu kesihatan mental, tak dapat dinafikan. Tapi, dari satu sudut lain apabila kita terpaksa pause, kita mula dapat melihat apa yang penting atau apa yang lebih penting dalam hidup kita.

5. Ibu bapa yang dulu sibuk keluar pagi, pulang petang, semasa PKP misalnya dapat melihat dengan lebih dekat bagaimana anak-anak mereka belajar. Nakalkah? Bijakkah? Boleh membacakah? Boleh melukis?

6. Kita mula sedar yang kita tak perlu belanjakan wang yang banyak untuk hidup atau hidup sederhana.

7. Namun begitu, kegiatan ekonomi mesti diteruskan. Jadi, golongan yang pendapatannya tidak terjejas masih boleh membantu kitaran ekonomi kekal sihat dengan berbelanja. Bantu sektor atau industri untuk survive.

8. Mulakan rutin yang baharu untuk beradaptasi dengan perubahan.

9. Berkomunikasi dengan orang yang penting dalam hidup kita seperti yang dikongsikan sahabat saya.

Dalam keadaan tersepit, kita sebenarnya masih mempunyai pilihan. Pilihan untuk bangkit dan melakukan apa yang penting untuk diri kita. Carilah kebahagiaan dan kegembiraan di samping orang yang penting di sekeliling kita.

Ikuti perbincangan saya bersama Rohaniah Noor dan Yan Yahaya tentang cabaran COVID-19 di Facebook dengan klik sini.

Please follow and like us:
Categories
Gaya Hidup

Cara Konsisten Berjalan 5km Setiap Hari

Sudah lama memasang hasrat untuk menjalani gaya hidup lebih aktif. Tetapi selalu sahaja terhalang atau sebenarnya beralasan. Sehinggalah pada awal Julai lalu, saya tekad memulakan rutin yang baharu, berjalan 5km setiap hari.

Semenjak PKP mula dilonggarkan, kita juga sudah dibolehkan keluar ke taman rekreasi untuk beriadah. Oleh itu, saya ‘memaksa’ diri untuk berjalan kaki sekurang-kurangnya 5km setiap hari. Saya mulakan dengan berjalan pada waktu pagi di taman rekreasi berhampiran dengan rumah.

Satu hal yang mendorong saya melakukan rutin baharu ini ialah untuk melatih diri berjalan dalam jarak yang jauh dan konsisten. Pada saya, 5km adalah jarak yang realistik untuk saya bermula. Sebelum ini, saya hanya berjalan dalam 30 minit dan kurang 5km. Itupun sudah rasa penat dan akhirnya pulang ke rumah.

Kali ini saya menggunakan aplikasi di telefon pintar untuk mengesan jarak perjalanan. Sememangnya pada minggu pertama sangat mencabar bagi saya. Perkara yang paling mencabar ialah untuk bersiap dan keluar dari rumah seawal jam 8 pagi. Selepas berjaya pada minggu pertama, saya keluar lebih awal, iaitu 7.30 pagi.

Pada hemat saya, pukul 7.30 pagi itu sudah awal. Sedangkan apabila saya tiba di taman, sudah ramai orang awam memulakan joging dan berjalan. Malahan ada kumpulan senaman yoga dan tai-chi. Pukul berapakah mereka datang?

Masuk minggu kedua dan ketiga, saya keluar lebih awal sehinggalah sekarang. Jika saya mahu berjalan pada waktu pagi, saya akan tiba di taman seawal jam 7 atau 7.10 pagi. Itu pun sudah banyak kenderaan yang memenuhi parkir. Mungkin saya patut datang pukul 6.45 pagi.

Kadang kala saya akan berjalan di sebelah petang. Pada hari-hari tertentu hujan turun pada sebelah pagi dan cuaca akan lebih baik di petang hari. Namun, saya lebih gemar berjalan pada waktu pagi kerana udara sekitar yang lebih sejuk dan tidak ramai pengunjung berbanding di waktu petang.

Bagaimana mahu konsisten berjalan setiap hari?

1. Buat sahaja tanpa perlu berfikir panjang. Berjalan kaki atau berjoging tidak memerlukan sebarang peralatan senaman. Kita hanya perlu memakai pakaian yang sesuai dan terus bergerak ke taman rekreasi yang selamat untuk kita berjalan kaki selama 1 jam.

2. Jika kita bukan berlatih untuk menyertai sebarang acara larian, kadar kelajuan tidak begitu penting. Pada awalnya, saya memerlukan masa 60 minit hingga 90 minit untuk menghabiskan 5km jarak yang ditetapkan. Kini kelajuan saya bertambah baik, iaitu 50 minit hingga 60 minit sahaja. Malahan, ada hari tertentu saya berjaya berjalan lebih 8km untuk tempoh satu jam setengah. Ini ketika saya berjalan bersama rakan saya.

3. Bagi mengurangkan kebosanan, saya mendengar lagu sepanjang berjalan kaki. Dengan cara ini, kita akan ralit dan akhirnya sudah lengkap 5km yang disasarkan.

4. Sebelum ini, saya selalu berfikir yang kita perlu makan sedikit sebelum beriadah. Bagi saya, untuk berjalan pada waktu pagi seperti yang saya lakukan, tidak perlu makan apa-apa pun masih dapat berjalan kaki dengan baik. Apa yang saya lakukan ialah saya akan minum segelas air sejuk yang dicampur cuka epal sebelum keluar rumah.

Oleh sebab aktiviti ini tidak begitu intense, anda digalakkan bawa bekalan air minuman. Pada dua minggu pertama, saya terpaksa membawa botol air sepanjang berjalan kaki. Selepas terbiasa dengan aktiviti ini, saya boleh berjalan selama sejam atau sejam setengah tanpa meminum air. Yang penting, kita tahu kemampuan diri.

5. Pernah sekali saya mencuba berjalan kaki di sebelah petang ketika saya berpuasa. Adakah saya boleh melakukannya? Ya, memang boleh. Ternyata badan kita masih mampu untuk melakukan aktiviti ringan seperti ini walaupun berpuasa.

6. Berehat sehari dalam seminggu. Apabila aktiviti ini sudah menjadi rutin, saya sangat gembira melakukannya setiap hari. Namun, ada hari tertentu yang saya pilih untuk bermalasan sahaja. Saya akan bermula lagi keesokan harinya.

7. Melakukan aktiviti fizikal seperti ini membantu saya tidur dengan lebih baik. Jika sebelum ini, saya sering kali tidur lewat dan adakalanya sukar tidur sehingga jam 3 atau 4 pagi. Sekarang saya tidur lebih awal sebelum jam 11 malam. Hasilnya, saya dapat tidur yang berkualiti dan boleh bangun lebih awal.

8. Ia sedikit sebanyak membantu mengurangkan berat badan. Sebenarnya saya sangat sukar menurunkan berat badan. Salah satu sebabnya ialah saya tidak berdisiplin dan kurang melakukan aktiviti fizikal. Jadi, kali ini saya cuba berjalan kaki secara konsisten dan mengawal pemakanan. Saya sudah berjaya menurunkan berat badan sebanyak 3kg sejak awal Julai.

9. Selepas 40 hari berjaya melakukan rutin baharu ini dengan konsisten, saya mula menambah pergerakan lain semasa berjalan kaki. Dalam tempoh seminggu ini, saya cuba meningkatkan kelajuan berjalan dengan mengamalkan 45 saat berlari-lari anak dan 15 saat berjalan cepat.

10. Selepas ini, saya ingin mencuba senaman HIIT, iaitu High Intensity Interval Training. Sekiranya mampu dan berjaya, saya akan meneruskannya.

Bagi rakan-rakan yang mahu memulakan aktiviti berjalan kaki, usah berfikir panjang. Terus sahaja buat di lokasi kegemaran anda dan berhampiran dengan rumah. Jika kawasan perumahan anda selamat untuk aktiviti ini, anda tidak perlu ke taman rekreasi. Faedahnya jika anda pergi ke kawasan riadah, anda akan dapati ramai orang turut berjalan atau berjoging. Ini turut menjadi dorongan kepada kita untuk melakukan hal yang sama.

Please follow and like us:
Categories
Resepi

Kek Oren

Akibat terjumpa satu botol Orange Marmalade yang dibeli 2 tahun lepas, maka terhasillah Kek Oren ini. Saya menggunakan resepi asas kek butter dan olah sedikit untuk menambah perisa oren.

Sekejap sahaja membuatnya. Semua bahan dah ada, hanya perlukan kurang 30 minit untuk menyiapkan bancuhan kek. Kemudian bakar dalam 30-40 minit. Selamat mencuba.

Bahan:
200 gram butter unsalted
200 gram tepung
150 gram gula
50 gram / 2 sudu besar orange marmalade
4 biji telur
1/2 sudu teh garam
1 sudu teh baking powder
1 sudu teh vanila
50 ml jus oren (saya guna 1/2 biji oren dan perah jusnya)

Cara:
1. Sapu sedikit butter pada loyang 8×8. Alas dengan baking paper.
2. Panaskan oven 170c.
3. Putar butter dan gula sehingga berkrim, warna pucat.
4. Masukkan telur satu per satu dan putar rata.
5. Masukkan vanila dan orange marmalade ke dalam bancuhan butter. Putar sikit bagi rata.
6. Tepung dan baking powder ayak sekali. Tambah garam dan kacau rata.
7. Guna spatula, masukkan tepung sedikit. Selang seli dengan jus oren.
8. Kacau rata. Tuang ke dalam loyang.
9. Bakar dalam 40 minit bergantung pada oven.
10. Cucuk guna penyucuk kek atau lidi. Jika tak lekat, boleh keluarkan dan hidangkan.

Resepi ini saya ubah sikit dari asas kek butter yang gunakan 200g tepung, 200g gula, 200g butter dan 4 biji telur. Saya adjust jumlah gula untuk tambah orange marmalade. 50ml susu saya gantikan dengan jus oren.

Jadi, bolehlah guna resepi ini untuk buat kek perisa lain seperti kek pandan butter dan sebagainya.

Selamat mencuba.

#menupkp #menumco #stayathome
#orangebuttercake

Please follow and like us:
Categories
Resepi

Mi Goreng (Guna Spageti)

Sepatutnya hari ini ada aktiviti jalan-jalan-ambil-gambar-menulis bersama Zana dan kawan-kawan. Kami batalkan sejurus PM umumkan PKP bermula 18 Mac lalu.

Tidak mengapalah. Sekarang sudah masuk minggu ketiga. Dah mula biasa masak sendiri apa yang kita nak makan. Hidangan yang mudah-mudah saja.

Hari ini masak Mi Goreng. Guna spageti gantikan mi kuning. Spageti versatil. Selain digunakan nak buat Laksa Johor, boleh guna buat mi goreng seperti ini.

Sepeket spageti tidak mahal. Yang ini saya beli jenama Kimball. Kurang RM4 untuk sepeket 500g pasta. Senang disimpan dan tahan lama berbanding mi kuning.

Anak saudara yang belajar di Alex dulu pernah masak mi goreng guna spageti. Sedap pulak tu. Jadi, terjadilah Mi Goreng pada hari ini.

Jom makan.

Nak masak, ini bahan2:

1 peket Spageti
4 biji Bawang kecil
3 ulas Bawang putih
2 senduk Lada kisar
200g Bebola ikan/Udang/Ayam
Sayur
Tomato
Tauhu
1 biji Telur
Ikan bilis/kiub pati ayam

Cara:
Rebus spageti sampai masak dan lembut.
Tumis bawang kecil, bawang putih dan lada kisar.
Masukkan bebola ikan/udang/ayam.
Biarkan masak sekejap. Tambah kiub pati ayam/ikan bilis.
Masukkan sayur, tomato dan tauhu.
Akhir sekali masukkan spageti.

Bahan rencah guna apa yang ada di rumah. Sayur tu saya guna kangkung sebab itu yang berbaki. Tauhu pula saya guna tauhu lembut.

#stayathome
#fightcovid19
#dontbecovidiot

Please follow and like us: