Categories
Umum

Cerita Tentang Membeli-belah Semasa PKP/MCO

1.
Saya tengok rakan-rakan di Lembah Klang perlu beratus panjang untuk beli barang keperluan. Berbanding saya di sini. Hal ini logik juga kerana kepadatan penduduk di sana. Mereka keluar awal supaya dapat selesaikan cepat pembelian barang.

Saya? Tiga kali keluar, saya sampai di AEON lebih kurang pukul 12 tengah hari. Selesai dalam sejam juga. Kami perlu beratur. Ada disediakan kerusi dijarakkan dalam 1 meter. Tidak perlu berdiri lama.

2.
Berhampiran kawasan rumah saya, ada juga kedai runcit dan mini market. Tapi saya pilih ke AEON. Kebanyakan barang yang saya cari ada di satu tempat dan ruang juga luas. Ini pilihan masing-masing. Bagi mereka yang memang keluar bekerja setiap hari, mungkin lebih mudah untuk ke kedai runcit. Beli barang yang sedikit.Tujuan saya ke AEON, saya nak kurangkan kekerapan keluar. Saya senaraikan barang nak beli dan beli sekaligus.

3.
Salah satu kelebihan membeli barang di pusat beli belah kerana mereka sediakan kemudahan bayaran dengan kad. Tidak perlu guna tunai. Jadi, saya masukkan kad kredit/debit dan kad keahlian dalam plastik ziplok. Dengan cara ini saya tak perlu keluarkan dompet dan gunakan duit tunai. Cuma pastikan ada duit dalam kad debit tu la ya.

4.
Selain bawa kad dalam plastik ziplok, saya akan bawa tisu untuk lap tangan. Saya bawa hand sanitizer dalam beg tote. Cuma, saya lebih suka basuh tangan sebelum masuk ke pasar raya. Saya ambil troli dan pergi ke sinki berhampiran. Basuh tangan dahulu dan kemudian baru masuk mencari barang-barang.

Pernah saya gunakan sarung tangan plastik. Tapi saya rasa tak selesa. Jadi lebih baik saya bawa tisu. Lepas ambil ayam/ikan dan barang-barang basah, saya basuh tangan lagi sebelum ambil barang-barang lain.

5.
Sehari sebelum PKP.

Barang yang laku keras ialah tisu dan tisu tandas.
Kali pertama berbelanja semasa PKP – sardin dan tuna hampir sold out.
Kali kedua semasa PKP – roti putih/wholemeal satu bungkus sahaja setiap pelanggan.
Kali ketiga semasa PKP – rak tepung dan bahan bakeri pula yang hampir kosong.

Nampaknya, ramai orang mula membuat roti atau kuih sendiri. Barangkali tidak mahu lagi berebut roti Gardenia.Saya dapat beli sebungkus tepung pulut dan tepung beras. Tepung gandum masih ada lagi beberapa bungkus. Selain itu, saya dapat juga beli tepung jagung dan tepung kastad. Tepung roti memang sudah habis, tak dapat saya beli.

Ah… sudah. Sekarang saya fikir, bolehkah saya habiskan semua jenis tepung ini? Agak bercita-cita tinggi juga.

6.
Masa lalu di rak tepung dan bahagian bakeri, nampak seorang lelaki sedang hubungi isterinya barangkali. Saya jeling trolinya. Banyak juga bahan yang dia beli.

Kalau ikutkan rak bahan bakeri ini agak ‘sendu’ sebelum PKP. Yelah, ada kedai bakeri yang lagi lengkap bahan dan banyak pilihan. Kedai bakeri tidak dibuka semasa PKP. Maka, tiada pilihan lain.

Namun, bahan-bahan ini banyak dah sold out di pasar raya. Satu hal yang agak tricky ialah jenama bahan. Saya nak beli Bird’s custard powder pun dah habis. Biasanya jenama tertentu ini ada kelebihan dia walaupun mahal sikit. Macam Bird’s custard powder, kalau buat puding warna dia kuning menyerlah.

Jika minggu pertama, agak keliru nak beli bahan basah. Cabaran minggu ketiga naik satu level lagi. Keliru nak beli bahan bakeri. Saya agak sajalah.

Tak kisahlah lelaki ke perempuan. Jika kita tak biasa mencari bahan tertentu, pastilah rasa leceh. Saya nak beli bateri sahaja pun, staf AEON terpaksa bawa tiga jenis bateri. Baharulah saya boleh lihat mana satu yang saya nak.

7.
Kebanyakan pasar raya dah buat drive-thru option. Saya tak pernah cuba lagi. Belum ada keperluan. Masih sempat beratur dan ambil sendiri barang. Lagipun, tiada hal urgent perlu diselesaikan. Saya rancang masa untuk ke pasar raya.

Ada juga barang yang adik saya beli di Shopee. Beli barang Nestle seperti Milo, susu kotak dan Maggi. Harga pun lebih murah. Cuma kena menunggu la 2-3 hari. Berbaloi juga tu.Tadi saya tengok tepung roti di Shopee. Ada seller jual harga tak sampai RM5 sekilo. Nantilah. Kalau perlu baru beli. Tak perlu, kita guna saja tepung gandum. Jadi juga roti.

8.
Apabila stok bahan di rumah semakin bertambah, saya perlu merancang penggunaan bahan dengan baik. Supaya tiada pembaziran. Malahan, ada juga bahan makanan yang saya jumpa. Ini maksudnya saya hampir terlupa wujudnya barang itu. Misalnya, satu botol Orange Marmalade yang dibeli di Melbourne. Tarikh luputnya bulan Mei.

Timbul idea membakar kek oren dengan menggunakan marmalade ini. Semoga saya berjaya. Saya rasa ramai suri rumah dan rakan yang menghadapi isu serupa. Terjumpa ‘harta karun’ yang boleh dimanfaatkan.

Jom berkreatif.

9.
Tak sangka kita akan melalui zaman ini. Zaman wabak pandemik. Yang memerlukan kita berhenti sejenak. Berhenti dengan kebiasaan biasa. Menukar tabiat dengan kebiasaan baharu. Seperti berbelanja dan memasak sendiri di rumah. Ini akan menjadi kebiasaan baharu.

10.
Teruskan kebiasaan mengekalkan jarak sosial yang selamat, menjaga kebersihan tangan dan buat sementara waktu sentiasa gunakan topeng muka apabila keluar rumah.

#stayathome #fightcovid19 #dontbecovidiot

Please follow and like us:

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *