Categories
Umum

COVID-19: Bagaimana persediaan berdepan risiko Coronavirus Disease 2019

Pada 11 Mac 2020, World Health Organization (WHO) mengumumkan COVID-19, iaitu Coronovirus Disease 19 sebagai pandemik. Lebih 118,000 kes di 114 negara dan 4,291 orang meninggal dunia akibat COVID-19.

Sejak wabak ini bermula pada 31 Disember 2019 hingga sekarang, kerisauan semakin meningkat. Beribu-ribu orang dijangkiti di Wuhan, China sehingga negara itu terpaksa membuka hospital khusus untuk rawatan pesakit yang dijangkiti virus. Ketika itu, virus ini dikenali sebagai novel coronavirus. Novel bermaksud baharu dan banyak perkara belum diketahui tentang virus ini. Nama virus ini ialah “SARS-CoV-2” dan penyakit yang disebabkan oleh virus ini dinamakan “COVID-19“.

Saya pergi ke Kota Kinabalu pada pertengahan bulan Januari. Mengunjungi teman rapat yang juga doktor di hospital. Nampaknya ketika itu kerisauan semakin meluas. Orang ramai pergi ke hospital untuk menjalani saringan. Bilangan pesakit yang datang ke hospital juga meningkat.

Pegawai imigresen memakai topeng muka. Saya berada di lapangan terbang dengan keadaan berjaga-jaga. Tidak mahu terlalu dekat dengan warga China. Walaupun saya tidak mengetahui mereka datang dari daerah mana. Siapa tidak risau bukan? Tapi, masih terkawal lagi kerana kes berkaitan coronavirus di Malaysia masih rendah ketika itu.

Balik ke Johor Bahru, saya mula mengurangkan aktiviti di luar. Saya tidak pergi ke IKEA Tebrau untuk menulis. Saya memilih untuk duduk di rumah. Menghadkan perjumpaan dengan kenalan dan tidak pergi ke tempat yang ramai orang. Hendak menaiki bas ke Kuala Lumpur juga agak risau. Namun begitu, terpaksa juga kerana ada urusan berkaitan buku dan Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur.

Risiko berkaitan COVID-19 bertambah serius sehingga PBAKL 2020 terpaksa ditangguhkan. Keputusan dibuat minggu lepas dalam mesyuarat persatuan penerbit MABOPA. Pihak penganjur, iaitu Majlis Buku Kebangsaan Malaysia turut bersetuju menangguhkan pesta buku yang kebiasaannya disertai orang ramai.

COVID-19 diisytiharkan sebagai pandemik.

Apakah itu endemik, epidemik dan pandemik?

Sebelum sesuatu wabak menjadi pandemik, ia merebak secara epidemik atau endemik. Apakah perbezaannya?

Endemik ialah kejadian penyakit yang sentiasa wujud dalam masyarakat atau tempat. Penyakit ini dijangka sentiasa ada kes dan pada kadar yang stabil serta rendah. Contoh: Denggi adalah penyakit endemik di Malaysia.

Epidemik ialah kejadian penyakit naik mendadak melebihi kadar biasa dan dilihat jelas dalam komuniti bagi tempoh masa tertentu. Ia juga dikenalai sebagai wabak. Sebagai contoh, jangkitan demam kepialu pada dua kes yang saling berkait dianggap wabak/epidemik. Contoh: Wabak COVID-19 yang sedang berlaku di beberapa buah negara dan kejadian polio di Sabah (2019).

Pandemik ialah kejadian wabak besar-besaran ke seantero dunia. Ia merentasi wilayah dan melibatkan populasi yang besar. Kebiasaannya melibatkan jangkitan penyakit baharu (novel).

Ciri pandemik adalah melibatkan kadar serangan yang tinggi dalam masa yang singkat. Ia tersebar dengan pantas dan menyebabkan kadar kematian yang tinggi. Contoh: Kejadian ‘Black Death‘ antara kurun ke-14 hingga kurun ke-17 yang melibatkan kematian 2/3 penduduk dunia akibat penyakit hawar/Yersinia pestis).

Poster yang menjelaskan maksud pandemik.

Sifat virus ini yang diketahui mudah merebak melalui sentuhan, menjadikan ia sangat mudah tersebar sekiranya tiada penjagaan kebersihan yang betul. Banyak maklumat dan poster yang tular untuk memberitahu orang ramai tentang COVID-19.

Ketika berada di Seremban, saya dan sahabat saya menonton satu video tentang novel coronavirus yang dihasilkan oleh Vietnam. Nampak comel dan memudahkan penonton mengingat langkah yang wajar. Setakat ini sudah ditonton sebanyak 12 juta tontonan.

Apa yang boleh dilakukan sebagai langkah penjagaan kesihatan?

Melalui laporan dan pembacaan maklumat tentang COVID-19, golongan yang lebih tua dan mempunyai penyakit sedia ada lebih berisiko apabila terkena virus ini. Namun begitu, semua orang berkemungkinan dijangkiti SARS-CoV-2. Sama ada anda artis popular, pemimpin, ahli korporat atau ahli ibadat.

Tom Hanks dan isterinya disahkan COVID-19 semasa berada di Australia.

Nadine Dorris, Menteri Kesihatan UK didiagnos dengan COVID-19.
Kes 26 di Malaysia melibatkan seorang ahli korporat.
Jemaah tabligh dari Brunei yang menghadiri majlis di Masjid Sri Petaling disahkan COVID-19.

Majlis berkenaan dihadiri jemaah melebihi 10,000 pada 27 Feb – 1 Mac 2020. Kerisauan dalam masyarakat sudah tentu meningkat. Pelbagai respon diberikan netizen. Pihak KKM berusaha gigih untuk mengesan jemaah yang hadir pada majlis berkenaan. Oleh sebab simptom virus ini hanya mungkin berlaku antara 2 hingga 10 hari, jemaah yang hadir diminta membuat pemeriksaan.

Bukan sahaja jemaah, orang yang mungkin bertemu atau bersentuhan dengan mereka juga digalakkan buat pemeriksaan ya. Berilah kerjasama sewajarnya. Jangan degil dan pentingkan diri sendiri.

Bagi orang awam, apa yang boleh kita lakukan?
1. Jangan panik.
2. Jangan mengecam pihak yang mungkin dijangkiti coronavirus sehingga menimbulkan rasa tidak senang hati.
3. Sentiasa jaga kebersihan diri. Cuci tangan dengan sabun. Bawa sanitizer, jika ada.
4. Jika makan di restoran, pastikan basuh tangan dengan bersih sebelum dan selepas makan.
5. Elakkan bersentuhan atau bersalaman.
6. Sekiranya batuk, selsema pakai topeng muka dengan betul.
7. Jika batuk, amalkan etika yang betul. Sebaiknya tidak keluar ke tempat orang ramai. Lebih baik berehat di rumah.
8. Lebih peka keadaan kesihatan diri. Jangan pentingkan diri dan ambil mudah.
9. Sekiranya pergi ke tempat berisiko dan mempunyai simptom, buat pemeriksaan doktor dan dapatkan rawatan.
10. Jangan cari pasal pergi ke tempat berisiko seperti melancong ke negara yang mempunyai rekod wabak COVID-19 yang tinggi.

Ramai juga dalam kalangan kenalan saya yang bekerja di Kuala Lumpur dan dikenakan kuarantin. Ini disebabkan ada rakan sekerja mereka yang berkemungkinan dijangkiti virus atau sudah disahkan menghidap COVID-19. Tempoh kuarantin ialah 14 hari. Bayangkan orang yang sudah biasa keluar rumah setiap hari pergi bekerja, perlu duduk di rumah selama 2 minggu. Sudah tentu sedikit sebanyak menimbulkan keresahan.

Di Malaysia, kita belum diminta untuk ‘lockdown’ seperti di Itali. Lockdown bermaksud individu tidak dibenarkan keluar dari tempat yang ditetapkan atas sebab keselamatan. Langkah lockdown dibuat untuk mengurangkan penularan virus pada tahap paling rendah. Dengan cara ini diharapkan jumlah orang yang berisiko dijangkiti pada tahap rendah, maka keperluan untuk ditahan di hospital juga rendah.

Namun, kemungkinan untuk self-quarantine tetap ada.

Apakah yang perlu dilakukan jika anda dinasihatkan untuk self-quarantine?
1. Jangan menerima tetamu. Walaupun anda duduk di rumah, tak bermaksud anda dalam keadaan yang sesuai untuk menjemput atau menerima tetamu.
2. Jangan berkongsi peralatan seperti gelas, pinggan dan kutleri jika anda didiagnos dengan COVID-19.
3. Jaga kebersihan di rumah.
4. Basuh tangan dengan bersih.
5. Basuh baju dengan bersih.
6. Elakkan memesan makanan dari luar supaya tidak ada kontak dengan penghantar makanan.
7. Elakkan juga menerima barang daripada penghantar kurier.
8. Duduk elok-elok di rumah.

Bagaimana persediaan menghadapi kemungkinan kuarantin?

Dalam bulan Februari, berlaku belian panik di Singapura. Warga seberang mendapatkan bekalan makanan seperti mi segera dan keperluan penjagaan diri seperti tisu tandas dengan banyak. Keadaan panik itu ada ‘menjangkit’ juga ke Johor Bahru.

Suatu hari saya pergi ke kompleks berhampiran rumah dan tercengang berdiri di depan rak mi segera. Jenama Maggi Kari dan Ayam habis dijual. Hanya ramen Korea, Jepun dan perisa dengan harga premium yang masih ada stok.

Belian panik ini biasanya didorong oleh rasa takut atas kemungkinan bekalan akan habis, harga lebih tinggi atau kedai tutup. Minggu ini pula tular gambar rak tisu tandas yang kosong di beberapa pasar raya di Australia. Sampai begitu sekali.

Dalam keadaan ini, orang ramai melakukan pembelian secara banyak kerana mereka tidak mahu kekurangan stok. Mereka fikir lebih baik ada daripada tiada. Apabila lihat orang lain melakukan belian dengan banyak, lebih ramai akan terikut-ikut sama. Ini dipanggil herd mentality.

Sebaiknya beli barang mengikut keperluan. Usah berlebih-lebihan. Sebagai contoh:
1. Barang makanan yang tahan lama seperti beras, pasta dan bihun. Boleh beli mi segera, tapi berpada-pada. Jika anda tidak suka makan mi segera, elakkan membazir dan simpan stok ini dengan banyak.
2. Makanan dalam tin sebagai persediaan. Tidak perlu beli berkarton-karton. Nanti berakhir pula di tong sampah apabila tarikh luputnya sudah tamat.
3. Beli makanan kering seperti cereal dan oat. Tepung yang fleksibel untuk membakar kek atau membuat lempeng (penkek) dan cucur.
4. Sumber protein yang baik dan tahan lama seperti telur. Telur sangat versatil dan boleh dimasak pelbagai cara.
5. Jangan beli terlalu banyak sayur berdaun seperti sawi atau daun salad kerana ia cepat rosak. Boleh ganti dengan sayur sejuk beku. Saya juga baru tahu brokoli boleh disejukbekukan.
6. Beli buah yang tahan lama seperti epal dan oren.
7. Susu kotak dalam saiz yang kecil supaya tidak mudah rosak dan tidak makan ruang di peti sejuk.
8. Barangan pencuci. Tidak perlu beli dengan banyak. Beli mengikut keperluan biasa.
9. Tisu tandas. Boleh beli, tapi janganlah sampai berpuluh dozen. Walaupun ringan, nak menyimpannya boleh tahan makan ruang. Gunakan air untuk pembersihan diri. Lebih eco-friendly.
10. Simpan stok ubat-ubatan yang biasa seperti paracetamol dan ubat batuk. Vitamin dan supplemen jika perlu.

Adakah boleh melancong?

Jika tiada keperluan mendesak atau kecemasan, elakkan ke luar negara. Sedangkan negara sedang menghadapi isu COVID-19, jadi rakyat yang bertanggungjawab. Memang duit sudah keluar, beli tiket mahal (atau murah), sudah tempah penginapan dan pakej pelancongan. Namun, kesihatan diri lebih utama. Dalam keadaan sekarang, kemaslahatan umum juga mesti diambil kira.

Apatah lagi ke negara berisiko tinggi seperti Korea, Iran dan Eropah. Timur Tengah seperti Saudi juga telah melarang jemaah umrah masuk ke Haramain.

Terpaksa terima hakikat, rancangan perjalanan sebaiknya dibatalkan. Simpan rancangan untuk masa akan datang apabila keadaan kembali reda dan membaik.

Bukan itu sahaja, perjumpaan yang melibatkan ramai orang juga sepatutnya dielakkan. Majlis keagamaan, ceramah politik dan seminar antara tempat yang tidak digalakkan hadir.

Acara besar seperti festival sukan, pesta buku dan fesyen juga nampaknya sudah dibatalkan penganjur. Keputusan yang sukar tapi mesti dibuat.

Perjumpaan ramai meningkatkan risiko tersebar wabak seperti yang terjadi di Itali dan Korea. Berlaku juga di Malaysia. Harapan kita kesan di Malaysia tidak teruk seperti Itali dan Korea.

Kesimpulan

Harapnya isu COVID-19 cepat berlalu dan wabak ini dapat dikawal dengan usaha petugas kesihatan. Paling penting orang awam mesti beri kerjasama dan jadi rakyat bertanggungjawab supaya wabak ini tidak melarat.

Ketika ini, seluruh dunia menerima tempias akibat COVID-19. Ekonomi mengalami kesan yang besar. Pasaran saham dunia jatuh dengan banyak. Jadilah warga dunia yang peka, namun tidak panik. Dapatkan maklumat yang betul daripada sumber yang boleh dipercayai.

Keresahan ini akan berlalu. Masing-masing perlu mengendalikannya dengan bijak. Pada masa sekarang menjadi tugas besar pemimpin untuk menangani isu ini dan memastikan rakyat tidak semakin bimbang.

Laman web WHO tentang COVID-19: https://www.who.int/emergencies/diseases/novel-coronavirus-2019

Update:
Tan Sri Muhyiddin Yassin, Perdana Menteri Malaysia membuat perutusan khas berkaitan COVID-19. Salah satu saranan penting kerajaan ialah menangguhkan atau membatalkan sebarang perhimpunan, perjumpaan, aktiviti sukan dan sosial bagi mengurangkan risiko jangkitan COVID-19.

Boleh tonton perutusan TSMY di sini.

Please follow and like us:

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *