Categories
Umum

COVID-19: Pandemik yang Memberi Kesedaran dalam Menghadapi Cabaran Budaya Norma Baharu

Setiap hari laporan COVID-19 menunjukkan penurunan kes positif kepada jumlah kurang daripada 150 kes sejak hampir seminggu lalu. Lebih 40 hari dalam fasa Perintah Kawalan Pergerakan, adakah kita sudah bersedia untuk fasa seterusnya?

Orang dah mula keluar. Ramai yang menantikan kelonggaran diberi. Namun, ramai juga yang tidak setuju dengan PKPB. Apa yang kita perlu buat? Tanyalah diri sendiri.

Apakah norma baharu?

Norma atau kebiasaan yang baharu menggantikan cara atau gaya hidup sebelum ini. Pandemik Covid-19 memaksa manusia mencari jalan untuk meneruskan hidup dengan cara berbeza.

1. Bekerja dari rumah
Bekerja dari rumah mula diterima sebagai salah satu pilihan untuk melaksanakan tugas. Sebelum pandemik ini berlaku, sudah ramai yang membuat kerja dari rumah sama ada secara freelance atau membuat bisnes dari rumah. Bagi golongan ini, situasi bekerja dari rumah bukan satu hal yang baharu. Namun, bagi sebahagian warga kerja sudah tentu mereka perlu menyesuaikan diri dengan tuntutan cara kerja yang baharu ini.

Apabila PKP dilaksanakan, majikan perlu mengubahsuai operasi dengan membenarkan pekerja untuk bekerja dari rumah. Atau sebenarnya bekerja di rumah.

2. Berbelanja pada waktu yang terhad
Operasi pusat membeli-belah, kedai makan dan kedai barang keperluan dihadkan. Kebanyakannya menamatkan operasi harian pada pukul 8 malam. Norma baharu ialah berbelanja pada waktu yang terhad. Ternyata ia boleh dilakukan. Kita boleh menyenaraikan barang yang diperlukan terlebih dahulu. Kita dapat menjimatkan masa yang diluangkan untuk membeli barang keperluan harian.

Kebanyakan pusat membeli-belah di Malaysia beroperasi 12 jam sehari sebelum pandemik Covid-19. Biasanya waktu tutup ialah jam 10 malam. Sebenarnya, di tempat lain seperti Australia dan New Zealand kebanyakan pusat beli-belah menutup premis mereka seawal 6 petang. Mungkin kita di Malaysia seharusnya meneruskan norma semasa pandemik ini. Tidak perlu ke pusat beli-belah sehingga malam.

3. Memasak sendiri makanan
Apabila banyak kedai makan tidak beroperasi seperti biasa, kita berusaha untuk memasak sendiri di rumah. Bekalan bahan mentah dan runcit masih boleh didapati dengan mudah. Pasar raya masih dibuka. Kedai runcit juga dibuka. Makanan yang ringkas dan memenuhi selera terbukti tidak sukar disediakan. Yang penting ahli keluarga dapat menikmati hidangan dan tidak kelaparan.

Malahan, kemahiran memasak boleh jadi hobi baharu yang menyenangkan. Jika sebelum ini tidak pernah menyediakan makanan sendiri, kini anda berpeluang mencuba pelbagai resepi mudah. Mungkin akan ada masakan yang tidak menjadi seperti yang dikongsi dalam kumpulan Masak Apa Tak Jadi Hari Ini.

Memasak sendiri juga boleh mengurangkan pembaziran kerana kita boleh anggarkan jumlah yang secukupnya untuk ahli keluarga kita. Dalam bulan Ramadan tahun ini, bazar Ramadan juga tidak dibenarkan. Masih boleh memesan untuk penghantaran makanan. Cuma haruslah berpada-pada dalam berbelanja.

4. Menjaga kebersihan diri
Sejak berlaku pandemik ini, peringatan untuk menjaga kebersihan diri sentiasa diulang-ulang. Ini disebabkan virus yang menyebabkan COVID-19 boleh merebak dengan sentuhan. Kita digalakkan membasuh tangan dengan air dan sabun, memakai topeng muka dan menjaga penjarakan sosial.

Isu kebersihan ini yang mungkin diambil ringan, mula memberi kesedaran kepada orang ramai. Sepatutnya tanpa wabak pun, kita perlu jaga kebersihan. Jelas sekarang, jika lalai menjaga kebersihan diri, kita akan terdedah kepada risiko jangkitan. Yang lebih teruk adalah kita pula yang menyebarkan jangkitan kepada orang lain.

5. Tidak bersalaman, duduk rapat dan berhimpun
Kita perlu berinteraksi dengan orang lain. Tapi selepas ini, apabila berjumpa kita tak akan bersalaman atau berpeluk. Tindakan ini berisiko memindahkan virus, apatah lagi jika seseorang individu itu tidak mempunyai simptom. Virus boleh menular kepada kelompok lain tanpa disedari.

Kita juga perlu elakkan daripada menghadiri perhimpunan atau perjumpaan yang melibatkan ramai orang. Buat masa ini dalam tempoh PKP sebarang perhimpunan seperti kenduri, solat berjemaah di masjid belum dibenarkan. Selepas PKP nanti, mungkin kelonggaran akan diberi. Namun, kita sendiri harus memikirkan risiko yang dihadapi jika mahu terlibat sama dalam aktiviti seperti ini.

6. Mematuhi peraturan yang ditetapkan kerajaan
Dalam menghadapi pandemik ini, kerajaan bertanggungjawab membuat keputusan yang sewajarnya untuk kepentingan rakyat. Sudah tentu sebarang keputusan ini tidak akan memuaskan hati semua pihak 100%. Bayangkan lebih 30 juta manusia di Malaysia ini yang mempunyai pelbagai kerenah dan keperluan yang berbeza-beza.

Sebagai ahli masyarakat, cuba patuhi peraturan yang ditetapkan. Jika tidak setuju dengan kelonggaran yang diberi, kita pilih duduk di rumah. Itu lebih baik daripada bertindak melanggar peraturan atau SOP yang dikeluarkan. Kita yang hidup pada zaman ini tidak pernah berdepan dengan pandemik yang memberi kesan secara global. Ini semua adalah baharu untuk kita.

Tapi kita boleh menjadi ahli masyarakat yang bertanggungjawab bagi mengurangkan risiko jangkitan dan meringankan beban petugas barisan hadapan seperti petugas kesihatan dan anggota keselamatan.

Apakah tindakan kita?

Perlukah keluar untuk membeli barang misalnya. Perlukah keluar untuk mencari rezeki misalnya. Setiap orang keperluannya berbeza bukan? Jika rasa lebih selamat duduk di rumah, baiklah duduk sahaja di rumah. Jika perlu keluar, pastikan jaga kebersihan, penjarakan sosial dan tidak berkumpul beramai-ramai.

Sebenarnya, kita boleh hidup ringkas tanpa hal-hal yang menyesakkan. Tak perlu lepak sehingga tengah malam mengeteh di kedai mamak. Tak perlu ke shopping mall sehingga 10 malam untuk window shopping. Tak perlu makan di restoran hipster dengan kerap. Tak perlu berpasang-pasang baju (yang berlebihan). Tak perlu bazar Ramadan yang kadang-kala kita membeli juadah sehingga membazir.

Keperluan kita berbeza. Cumanya, jika kita boleh jalani kehidupan dengan sederhana selama lebih 40 hari, kenapa berhenti dengan norma yang baharu itu?

Virus itu masih lagi ada di sekeliling kita. Tak nampak di mata. Tapi wujud.

Utamakan keselamatan diri. Kegiatan ekonomi perlu bermula. Cuma cara kita berinteraksi dan bersosial sudah berubah. Keluar atau duduk di rumah, jadilah ahli masyarakat yang bertanggungjawab.

PKPB (Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat)

PKPB bermula pada 4 Mei 2020 dengan kebanyakan sektor mula beroperasi mengikut SOP yang dibenarkan. Masih lagi diberi pilihan kepada majikan hendak buka premis atau tidak.

Walaupun kelonggaran diberi, kita mesti ingat virus itu masih wujud dalam komuniti kita. Semalam dalam sidang media KKM, diingatkan kemungkinan virus tidak akan hapus serta merta dan kemungkinan masih ada dalam tempoh setahun hingga dua tahun.

Jadi, PKP dah tamat pun kita mesti jalani hidup dengan norma baharu. Lebih 40 hari dalam PKP, belajarlah sesuatu dan jangan pentingkan diri sendiri.Keselamatan diri dan orang di sekeliling kita bergantung pada sikap kita.

Selepas ini kita harap dapat bangkit kembali dengan lebih baik lagi. Namun, mestilah dengan cara berfikir dan bertindak yang baharu juga. Kalau masih lagi dengan sikap yang sama, pengotor, membazir, berhimpun tak tentu pasal, melanggar peraturan sesuka hati, yang akan menanggung akibat bukan diri sendiri saja, orang sekeliling pun akan mendapat sama.

Please follow and like us:

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *