Categories
Buku Umum

Enam Syarat Penulisan Hebat oleh George Orwell

Saya sudah membaca satu karya George Orwell berjudul Down and Out in London and Paris (DOLP) versi terjemahan bahasa Melayu yang diterbitkan oleh Thukul Cetak. George Orwell terkenal dengan karyanya yang lain seperti 1984 dan Animal Farm. Animal Farm diterbitkan dalam bahasa Melayu dengan judul Politik Kandang oleh ITBM. Saya belum membaca dua judul ini. Dua buku ini nipis sahaja.

Satu perkara yang diketengahkan oleh Orwell dalam DOLP ialah bagaimana penarik beca menjadi orang suruhan kepada orang kaya hanya disebabkan memenuhi keegoan golongan yang menganggap mereka lebih hebat daripada orang lain.

DOLP ialah sebuah memoir Orwell tentang kehidupan miskin di dua buah bandar mewah Paris dan London. Ia menunjukkan sisi gelap dan kotor kota yang digambarkan hebat. Malahan sehingga kini pun Paris dan London menjadi destinasi pilihan. Saya belum sampai ke dua kota besar ini.

Apabila membaca DOLP, saya dapat merasakan kehebatan seorang penulis yang berani dan berjaya menyampaikan mesej dengan cara yang tersendiri.

Orwell memberi enam syarat untuk penulisan yang hebat.

  1. Jangan gunakan metafor, perumpamaan, persamaan atau gaya bahasa yang biasa kita baca.
  2. Jangan gunakan perkataan yang panjang apabila ada perkataan yang lebih pendek dan sesuai.
  3. Jika boleh buang perkataan yang tidak diperlukan, buang.
  4. Jangan gunakan ayat pasif jika anda boleh menulis ayat aktif.
  5. Jangan gunakan frasa asing, perkataan saintifik dan kata istilah jika anda boleh gunakan perkataan harian yang biasa dan boleh difahami.
  6. Langgar peraturan ini dahulu sebelum menulis sesuatu yang biadab.

Dalam artikel oleh Hardy J. Stead, beliau turut menyenaraikan beberapa peringatan oleh Orwell tentang kepentingan bahasa dan penulisan.

“But if thought corrupts language, language can also corrupt thought.”

Bahasa memainkan peranan penting. Lihat sahaja cara masyarakat kita menggunakan Bahasa Kebangsaan. Kucar kacir dengan kata singkatan yang sukar difahami atau difahami oleh kelompok tertentu. Bahasa juga boleh merosakkan pemikiran jika tidak digunakan dengan baik dan betul.

“The most effective way to destroy people is to deny and obliterate their own understanding of their history.”

Satu kenyataan yang menakutkan tapi ada kebenaran. Ia sedang berlaku. Sama ada kita perasan atau tidak. Sejarah boleh diputar belit demi kepentingan pihak tertentu. Masyarakat yang bijak akan tahu menilai kebenaran. Tapi ini memerlukan kerja keras bukan?

“If people cannot write well, they cannot think well, and if they cannot think well, others will do their thinking for them.”

Masyarakat yang tidak mampu menulis dengan baik, mereka tidak dapat berfikir dengan baik. Jika mereka tidak dapat berfikir dengan baik, orang lain yang akan menciptakan pemikiran untuk mereka. Ini satu bentuk penjajahan minda yang mesti kita elakkan.

Jika kita mempunyai ilmu dan kemahiran menulis, tulis dengan baik dan jelas supaya mesej kita sampai kepada khalayak. Apa yang penting ialah kita memelihara keelokan dan keindahan bahasa Melayu yang mempunyai sejarah yang panjang.

Kenapa perlu malu untuk bercakap atau menulis dengan bahasa Melayu? Ilmu akan berkembang apabila kita menggunakan bahasa kebangsaan untuk semua. Namun, belajar bahasa asing juga digalakkan supaya kita dapat mengambil ilmu dan menyebarkan pula dalam bahasa Melayu.

Please follow and like us:

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *