Categories
Nota Khutbah

Ihsan semasa insan

“Wahai umat manusia! Sesungguhnya kami telah menciptakan kamu dari lelaki dan perempuan dan kamu telah menjadikan kamu berbagai bangsa dan bersuku puak, supaya kamu berkenak-kenalan dan beramah mesra antara satu dengan yang lain, sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang yang lebih takwanya diantara kamu (bukan yang lebih keturunan atau bangsanya), sesungguhnya Allah amat mengetahui lagi amat mendalam pengetahuannya akan keadaan dan amalan kamu.” ( Al-Hujurat: 13)

Ayat di atas menjelaskan bahawa kejadian manusia yang pelbagai bangsa adalah hikmah daripada Allah SWT agar kita hidup bermasyarakat dan mengenali antara satu sama lain. Perbezaan bangsa dan budaya tidak menjadi halangan dalam hubungan semasa manusia.

Namun, sehingga hari ini kita menghadapi isu perkauman yang semakin hari semakin menyala akibat hasutan dan propaganda pelbagai pihak. Rasululllah SAW berpesan dalam hadisnya:

“Sesiapa tidak mengambil berat diatas urusan orang Muslimin maka bukanlah dia dari kalangan mereka. Dan sesiapa yang pada pagi hari mengutamakan perkara selain daripada agama Allah maka bukanlah dia daripada golongan orang yang diredhai Allah.” (Riwayat Tabrani)

Islam sebagai cara hidup sentiasa mendidik umatnya dengan nilai-nilai murni sebagai asas persaudaraan. Berbuat baik, berkasih sayang, hormat menghormati, tolong menolong, amanah dan jujur menjadi sebahagian daripada gaya hidup bermasyarakat.

“Dan bagi tiap-tiap umat ada arah (kiblat) yang masing-masing menujunya; oleh itu berlumba-lumbalah kamu mengerjakan kebaikan; kerana di mana sahaja kamu berada maka Allah tetap akam membawa kamu semua (berhimpun pada hari kiamat untuk menerima balasan); sesungguhnya Allah Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu.” (Al-Baqarah: 148)

Ibnu Qayyim berkata bahawa;
Sesiapa yang berbuat baik kepada orang lain, Allah akan berbuat baik kepada dirinya dan;
Sesiapa yang bersifat rahmah kepada orang yang lain, Allah akan bersifat rahmah kepadanya dan;
Sesiapa yang memberi manfaat kepada orang lain, Allah akan memberi manfaat kepada dirinya dan;
Sesiapa yang menutup keaiban orang lain, maka Allah akan menutup keaibannya dan;
Sesiapa yang menegah kebaikan orang lain, maka Allah akan menegah kebaikan kepadanya dan;
Sesiapa yang berhubung kepada yang lain dengan sifat tertentu Allah akan bermuamalah dengannya sama dengan sifat itu di dunia dan di akhirat.
Oleh yang demikian perbanyakkanlah membantu atau menolong orang yang memerlukan bantuan kerana Allah.

Kesimpulan daripada tajuk ini adalah:
1. Kita hidup bermasyarakat dan sangat sukar jika bersendirian kerana kita mempunyai kelemahan dan kekuatan yang saling melengkapi antara satu sama lain. Tanpa orang miskin atau susah, orang kaya tidak dapat beragih kekayaannya. Tanpa orang yang lemah, orang yang kuat tidak akan dapat membantu mengurangkan beban mereka.

2. Semangat tolong-menolong mengeratkan ukhuwah dalam masyarakat.

3. Membentuk perpaduan dengan kasih sayang, bertolak ansur dan bantu-membantu.

Firman Allah SWT:

“Dan tidaklah sama (kesannya dan hukumnya) perbuatan yang baik dan perbuatan yang jahat. Tolaklah (kejahatan yang ditujukan kepadamu) dengan cara yang baik; apabila engkau berlaku demikian maka orang yang menaruh rasa permusuhan terhadapmu, dengan serta merta akan menjadi seolah-olah seorang sahabat karib.” (Fussilat: 34)

(Sumber: Koleksi Khutbah Jumaat Dis 2015 MAIJ)

Nota penulis:

Kadang-kadang sakit hati, sakit kepala memikirkan kenapa orang berbuat jahat dengan kita. Sedangkan kita tak dapat fikirkan langsung sebabnya. Allah dah bagitau dalam Quran macam mana nak hadapi situasi begini. Bila orang buat jahat, kita balas dengan kebaikan. Nanti orang yang menjadi musuh itu seolah-olah menjadi sahabat pula.

Teringat kisah Nabi Muhammad dengan seorang perempuan Yahudi yang selalu mengeji dan melempar najis kepadanya. Nabi buat tak tahu sahaja. Sampai satu hari tu, perempuan tersebut tak keluar rumah. Dia sakit. Nabi ziarah. Selepas itu perempuan itu mengucap Syahadah.

“Ya Allah, Ya Tuhanku Yang Maha Pengampun dan Maha Melindungi. Engkau ampunilah dosa Allahyarham Hj Ahmad@Abdul Rahman Bin Amzah yang pernah membacakan khutbah sepanjang usianya. Engkau berilah kelapangan kepadanya di alam barzakh. Engkau peliharalah keluarga yang ditinggalkan. Engkau berilah ganjaran dan perlindungan kepadanya sebagai mana luasnya ganjaran dan perlindungan untuk orang yang soleh. Amin.”

Please follow and like us:

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *