Categories
Umum

Kecewa

Orang sering memperkatakan tentang azam baru, impian dan cita-cita yang mahu dicapai. Mungkin juga cinta yang mahu digapai. Tahun 2020, suatu waktu dahulu menjadi milestone untuk Wawasan 2020. Namun sekarang nampaknya ramai yang kecewa. Tidak menjadi seperti yang diharapkan.

Tapi, saya tak mahu menulis tentang Wawasan 2020. Saya nak menulis tentang rasa kecewa. Di mana-mana pada awal tahun baru ini, mungkin cerita tentang azam dan resolusi tahun baru sudah menjadi ‘basi’. Asyik-asyik memperbaharui azam yang tidak tertunaikan atau tidak tercapaikan.

Mari kita menulis tentang kecewa. Satu bentuk rasa dan perasaan seorang manusia. Apabila apa yang diinginkan tidak berlaku, apa yang diharapkan tidak menjadi, apa yang dijangka terjadi sebaliknya. Malahan, boleh jadi kita berhadapan dengan hal yang tidak disangka sama sekali. Buat kita rasa kecewa.

Oh, pedihnya.

Satu perasaan yang normal untuk kita kecewa. Kadang-kadang kekecewaan itu sangat pedih, sampai kita rasa lemah dan gelisah. Rasa tidak berguna dan tidak mahu buat apa-apa. Kita berhak merasakan itu. Tapi cukuplah seketika.

Ada kalanya sesuatu keadaan itu berlaku sementara. Ada masanya ia luar kawalan kita. Ada ketikanya ia akan pantas berlalu seperti angin lalu. Sewaktu itu ia meninggalkan bekas dalam hati kita.

Kita boleh merasa kecewa dengan keadaan sekeliling. Kecewa dengan pasangan. Kecewa dengan rakan. Kecewa dengan kerajaan. Kecewa dengan diri sendiri.

Kecewa dengan diri sendiri itu yang paling menikam sekali, bukan? Selalu terjadi kerana diri merasakan gagal. Sedangkan kegagalan itu bukan pengakhiran. Selalunya kita kecewa kerana memikirkan jangkaan orang lain. Atau meletakkan jangkaan yang luar biasa sukarnya untuk diri sendiri.

Jika kita antara orang yang kecewa itu, mari kita pantas menukar ia menjadi pemangkin. Rasa sakit hati itu memang tidak akan hilang begitu sahaja. Ambil sedikit masa untuk meredakan kekecewaanmu. Barangkali bercakap dengan orang yang rapat denganmu. Atau pergi melapangkan fikiran di tempat yang menenangkan. Atau, jika kamu sukakan hingar dan kebisingan pergilah tempat keramaian. Biar suara-suara asing itu menenggelamkan rasa kecewamu.

Apa ada untuk tahun yang baru?

Carilah ketenangan. Buang anasir yang tidak membahagiakan. Tidak salah menjadi orang yang pentingkan diri. Sesekali. Supaya aman di hati. Boleh jadi runsing tak berpenghujung, jika nak memenuhi permintaan semua. Berdamai dengan diri. Untuk hidup yang lebih beerti.

Jangan kecewa berlama-lama. Ubati hati menjadi ceria.

Please follow and like us:

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *