Categories
Buku

Kembara Darus Senawi 1963 oleh Ustaz Darus Senawi dan Izzat Ibrahim

Kembara Darus Senawi 1963 ialah sebuah rakaman perjalanan seorang anak muda pada tahun 1963 yang mahu menuntut ilmu di Mesir. Bagaimanakah keadaan pada era 1960-an dan peluang melanjutkan pelajaran ke luar negara? Ini antara persoalan yang saya fikirkan apabila membaca sinopsis buku ini.

Ustaz Darus Senawi yang berasal dari sebuah kampung di Perlis. Sebagai anak tani, beliau tidak betah duduk diam di rumah dan pastinya melakukan kerja-kerja bersawah. Namun, ini tidak menghalangnya masuk ke madrasah pada usia 10 tahun. Di madrasah inilah timbul minat kepada bahasa Arab dan teruja melihat guru-guru mengajar.

Keinginan beliau semakin kuat untuk mempelajari bahasa al-Quran ini kerana melihat tidak banyak buku bahasa Melayu di perpustakaan madrasah. Sedangkan beliau seorang remaja ulat buku. Maka, bermulalah keazaman untuk menyambung pelajaran di Universiti Al-Azhar, Mesir. Impian ini juga didorong apabila melihat guru-guru madrasah yang juga lepasan dari universiti tersohor ini.

Tapi, bagaimana mahu ke Mesir? Sebuah negara yang jauh dari tanah air. Ketika itu, negara kita baru sahaja mencapai kemerdekaan. Ia tidak melemahkan semangat anak muda berusia 20-an ketika itu. Dalam masa yang sama, ibunya juga memberi dorongan untuk melanjutkan pelajaran. Namun, faktor kewangan menjadi kekangan. Usaha beliau tidak terhenti di situ. Wang mesti dicari. Dan impian untuk ke Mesir mesti dicapai.

Pada usia 22 tahun, seorang Darus Senawi akhirnya memutuskan untuk menaiki kapal laut ke India dalam perjalanan beliau ke Mesir. Berbekalkan sedikit wang dan makanan, beliau berlepas dari Pulau Pinang ke Pelabuhan Nagapatman, India.

Jika sekarang, kita hanya memerlukan beberapa jam sahaja untuk sampai ke Mesir. Tapi Ustaz Darus Senawi melakukan sebuah perjalanan yang panjang dan mencabar. Bukan sahaja tidak cukup wang, beliau berdepan masalah komunikasi, bergerak sendirian dan ada masanya tidak cukup makan.

Namun semua itu tidak melemahkan semangatnya untuk sampai ke gedung ilmu Universiti Al-Azhar. Kemudian, berlaku pelbagai peristiwa menarik. Ada yang lucu, sedih, gembira, memalukan dan mengujakan. Semuanya ini dicatatkan dalam buku yang beliau sentiasa bawa ke mana-mana.

Daripada catatan itulah, terhasilnya buku Kembara Darus Senawi 1963. Saya percaya buku ini hanya sebahagian kecil daripada pengalaman bertahun-tahun Ustaz Darus dalam usaha mencari ilmu. Namun, ia mengandungi pengajaran yang mahal. Antara hikmah yang saya dapat daripada buku ini:

  1. Perjalanan untuk menuntut ilmu tidak mudah. Namun, ia akan berakhir dengan kemanisan apabila kita terus berusaha untuk mencapai impian.
  2. Kemiskinan bukan penghalang untuk melanjutkan pelajaran. Keazaman akan mendorong diri untuk mencari jalan dan peluang bagi mencapai cita-cita.
  3. Di waktu kita dalam dilema, kata-kata dorongan dan semangat daripada orang yang rapat seperti ibu bapa akan menguatkan diri mengambil keputusan walaupun kita tahu cabaran besar yang akan dihadapi.
  4. Dalam keadaan yang susah dan hampir putus asa, Tuhan mendatangkan bantuan daripada insan dan sumber yang tidak disangka.
  5. Pada zaman alat komunikasi tidak secanggih sekarang, dengan takdir Allah berlakunya pertemuan dengan kenalan di tempat yang tidak disangka. Yang penting adalah kesabaran.
  6. Kita tidak akan menyesal menuntut ilmu, kerana suatu hari nanti ilmu ini akan dapat memberi manfaat kepada diri dan orang lain.
  7. Bacalah sebanyak mana buku dan catatlah peristiwa dan cerita setiap hari. Suatu hari nanti ia menjadi maklumat yang berharga dan boleh dikongsi dengan generasi akan datang.

Ustaz Darus Senawi sudah berusia 80 tahun. Membaca naskhah ini seolah-olah mendengar cerita yang menginspirasikan. Sekiranya kita masih muda, teruskan usaha menuntut ilmu. Jika kita sudah meningkat usia, ia bukan penghalang untuk mempelajari ilmu yang baharu.

Sebuah buku yang diusahakan bersama Izzat Ibrahim. Buku ini terhasil daripada idea yang dicetuskan oleh Allahyarham Shamjuddin. Tahniah buat penulis dan penerbit.

Boleh dapatkan buku ini di sini.

Judul: Kembara Darus Senawi 1963
Penulis: Darus Senawi dan Izzat Ibrahim
Penerbit: Kasi Terbit
Tahun: 2021

Please follow and like us:

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *