Categories
Buku

Membaca: Motivasi dan Kaedah, Zaini Ujang

Selesai bacaan buku pertama bagi tahun 2020.

Buku ini saya dapatkan tahun lepas, mungkin saya antara yang terawal juga membelinya. Dipesan dengan Zalila Isa.

Baca beberapa bab kemudian terhenti. Sambung semula beberapa hari lalu.

Buku ini adalah edisi ketiga diterbitkan tahun 2019. Edisi pertama dan kedua pernah diterbitkan pada tahun 1993 dan 1994. Penerbit edisi awal ialah Dewan Bahasa dan Pustaka. Manakala edisi terbaru ini diusahakan bersama Institut Terjemahan & Buku Malaysia Berhad (ITBM).

Saya teruja untuk mendapatkan buku ini apabila seorang rakan berkongsi di Facebook. Dia ialah salah seorang editor buku ini.

Dalam fikiran saya, apakah kandungan buku tentang membaca? Saya suka membaca, namun belum boleh dikatakan pembaca tegar. Pembaca kasual mungkin ya.

Apabila membuka halaman pertama, saya terus membaca pendahuluan diikuti kata pengantar oleh Pak Samad. Pak Samad yang dimaksudkan di sini ialah Tan Sri (Dr.) A. Samad Ismail, seorang tokoh wartawan.

Penulis, Dato’ Prof Dr Zaini Ujang menceritakan minatnya yang mendalam dalam aktiviti membaca sehingga beliau berusaha untuk mendekati Pak Samad. Atas kesungguhan dan peluang yang ada, beliau dapat berguru dengan tokoh yang disegani ini.

Buku ini empat bahagian dengan sepuluh bab.

Penulis membincangkan kepentingan membaca dalam masyarakat berilmu dan motivasi untuk membaca. Sudah tentu bagi orang Islam, dorongan membaca itu jelas sekali dengan turunnya ayat al-Quran yang pertama.

Selain itu, kita juga didedahkan dengan pelbagai faktor motivasi yang akan meningkatkan minat kita membaca.

Dalam bab lain, penulis menerangkan kepentingan membuat persediaan untuk membaca seperti tempat dan masa yang sesuai. Apa yang menarik, aktiviti membaca ini sangat fleksibel berbanding hobi yang lain contohnya memasak. Membaca boleh dilakukan di mana-mana dan pada bila-bila masa. Walaupun begitu, pembacaan bahan bacaan yang serius atau ilmiah memerlukan ruang yang tenang supaya hasil pembacaan lebih berkualiti.

Selain itu, penulis turut menerangkan beberapa kaedah membaca. Kemahiran membaca pantas misalnya akan menjimatkan masa dan memberi peluang untuk kita membaca lebih banyak buku. Beliau menyediakan beberapa latihan bagi kaedah yang dicadangkan.

Tak sangka juga saya tergolong dalam kategori pembaca pantas, iaitu boleh membaca 600 perkataan dalam masa 2 minit.

Namun menurut penulis, pembaca pantas ini boleh meningkatkan kemahiran dengan membaca lebih pantas. Kuncinya ialah berlatih.

Buku ini sangat disarankan bagi mereka yang baru bermula dengan hobi membaca atau mahu membaca dengan lebih berkesan.

Buku ini bagus untuk membangkitkan semula minat membaca. Ditulis oleh tokoh yang hebat dan beliau juga seorang penulis yang prolifik.

Buku yang berbaloi dimiliki dengan kulit keras dan kualiti kertas yang baik. Cuma saiz dan jenis tulisan yang kecil agak memenatkan bagi pembaca. Namun, isi kandungannya yang menggamit pembaca menjadikan isu tulisan bukan hal yang utama.

Siapa yang berminat boleh memesan buku ini dari laman web penulis.

Moga tahun 2020 dipenuhi dengan aktiviti membaca bahan bacaan berkualiti. Penting juga membaca dengan kaedah yang betul dan berkualiti. Ini ada ditunjukkan dalam buku ini juga.

#1/52

Please follow and like us:

2 replies on “Membaca: Motivasi dan Kaedah, Zaini Ujang”

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *