Categories
Blog

Nanti Kita Cerita Tentang Hari Ini (NKCTHI)

Rahsia yang bertahun lamanya pasti sampai suatu masa tersingkap kembali dan luka itu terasa lagi sakitnya. Melainkan luka itu dirawati, sembuh walaupun parutnya masih ada, maka kita akan berdamai.

Filem NKCTHI menceritakan keluarga yang kelihatan bahagia. Tiga beradik, Angkasa, Aurora dan Awan. Bapa mereka selalu memberi pesan pada Angkasa supaya menjaga dua orang adik perempuannya. Seorang yang sangat protective dan berusaha keras untuk memenuhi permintaan anak-anak khususnya Awan. Sehingga Angkasa dan Aurora terasa. Si ibu pula menyayangi mereka seperti sepatutnya.

Sebenarnya ada rahsia yang diselindungkan. Selepas lebih 20 tahun, berlaku kejadian yang memaksa keluarga ini untuk berdepan dengan hakikat bahawa semua mereka terluka dengan cara sendiri.

Bapa yang memaksakan bahagia sedangkan hati sendiri juga hancur.
Ibu yang menyimpan kesedihan yang mendalam demi membahagiakan orang lain.
Angkasa, anak lelaki yang diberi tanggungjawab besar sedari umur kanak-kanak sehingga impian tertangguh.
Aurora, yang sering kali rasa dipinggirkan sedangkan dia lah yang paling kuat.
Awan, yang mahukan kebebasan. Ternyata kebebasan itu bukanlah mendapat apa yang dia mahukan tetapi bebas membuat keputusan sendiri.

“Bahagia itu tanggungjawab masing-masing.”

Kale, Nanti Kita Cerita Tentang Hari Ini

Filem ini diadaptasi daripada buku iliustrasi dengan judul yang sama. Saya belum baca bukunya.

Tentang Bahagia

Setiap orang berhak menentukan definisi bahagia buat dirinya sendiri. Malahan seperti kata Kale, bahagia itu tanggungjawab masing-masing. Manusia yang dikurniakan dengan emosi dan akal fikiran pasti terus mencari apa makna bahagia.

Berada dekat dengan orang yang disayangi misalnya adalah salah satu bentuk kebahagiaan bagi kebanyakan kita. Tapi adakah jika kita berjauhan itu, kita tidak akan merasai bahagia?

Begitulah, kita menciptakan bahagia untuk diri. Bahagia itu sebenarnya wujud di dalam hati kita. Jika dengan cinta, baru terbit bahagia, maka berikanlah cinta dalam nyata atau diam. Jika dengan sunyi itu membuatkan bahagia, biarlah kesunyian menemani kamu dalam saat-saat yang sepi. Pasti kamu akan menemui keindahannya nanti.

Setiap orang berhak merasai bahagia. Jangan dera perasaan dengan menyimpan dendam dan rajuk yang berpanjangan. Jika rindu, katakan. Jika sayang, luahkan. Mungkin terasa sukar, tapi bebanan perasaan itu sekurang-kurangnya akan berkurangan.

Antara bahagia dan kesedihan, keduanya rasa yang diperlukan oleh kita dan itulah kita manusia.

Please follow and like us:

One reply on “Nanti Kita Cerita Tentang Hari Ini (NKCTHI)”

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *