Categories
Travel

Perjalanan Malam dengan Kereta Api Ekspres Rakyat

Saya menghadiri program penulisan di Shah Alam beberapa tahun lalu. Ketika itu, saya tak mahu memandu dan memilih untuk menaiki kereta api malam. Perkhidmatan KTM Ekspres Rakyat bertolak dari Kuala Lumpur ke Johor Bahru.

Seingat saya, sahabat Yan Yahaya yang sama-sama menyertai program sudi menghantarkan ke KL Sentral. Kami makan tofu sambil berborak-borak. Yan tunggu sehingga lewat petang juga.

Saya tidak ingat bila kali terakhir menaiki kereta api. Biasanya saya hanya menaiki bas untuk perjalanan KL – JB atau JB-KL. Tapi, saja hendak bertukar suasana. Saya beli tiket ‘sleeper coach’ atau katil.

Masuk ke ruang koc yang ditetapkan, katil dua tingkat tersusun rapi dengan setiap katil dipasang langsir. Katil dilengkapi tilam nipis dan bantal lengkap beralas dan bersarung putih. Agak skeptikal juga dengan kebersihannya. Tapi saya diamkan saja. Kan saya yang memilih untuk mencuba.

Katil saya di bahagian bawah. Saya duduk dan buka kasut. Letakkan elok di sisi katil. Beg galas diletakkan di bahagian dalam. Saya cuba baring atas katil yang kecil itu. Oleh sebab saya belum mengantuk, saya baca buku yang baru dibeli daripada rakan penulis. Buku berjudul Krabi karya Normi Nas. Sehingga tamat. Sedar-sedar sudah pukul 1 pagi. Saya cuba tidur.

Tak dapat tidur dengan selesa. Geseren rel kereta api menyebabkan rasa terhentak-hentak. Tapi nak buat macam mana. Tak boleh nak merungut. Dah mengantuk saya tertidur juga. Sekejap-kejap terbangun. Saya pula jenis ‘light sleeper’ mudah terjaga apabila dengar bunyi atau pergerakan. Setiap kali kereta api berhenti di stesen, saya terjaga.

Apabila saya singkap langsir, kelihatan konduktor memeriksa dan mengejutkan penumpang yang sepatutnya turun di stesen. Begini rupanya operasi di ‘sleeper coach’.

Oh ya, tiada ruang bagasi khas disediakan. Jadi, saya nampak ada penumpang yang membawa periuk dan bekas kuih berwarna kuning. Barang itu disusun di sisi katil mereka. Agaknya pengusaha katering.

Selepas itu, ada dua atau tiga kali lagi saya sempat menaiki Ekspres Rakyat. Sekali tu, anak saudara saya turut menghantar ke Stesen Kajang. Dia baru berusia empat tahun. Tapi sehingga kini, dia boleh ingat lagi pengalamannya menghantar makcik naik ‘gerabak’ kereta api.

Saya cuba katil atas pula. Selesa sedikit, kurang terasa geseren dan hentakan pada rel. Cuma leceh sikit hendak memanjat tangga tepi yang disediakan. Tapi lebih selamat kerana barang sukar dicapai oleh orang lain.

Perkhidmatan ‘sleeper coach’ sudah dihentikan. Bagi perjalanan Utara Selatan Semenanjung, penumpang boleh memilih perkhidmatan ETS. Jika ke Johor Bahru, perlu tukar tren di Gemas. ETS ke perkhidmatan kereta api biasa.

Pernah sekali saya menaiki ETS dari Gemas dan dapat tempat duduk di hadapan dalam koc itu. Sempit, ruang kaki juga sangat terhad. Saya harap pihak KTM dah perbaiki. Bayangkan perjalanan yang lama, tentu lenguh. Suhu juga sangat sejuk bagi saya. Jika ada yang mahu menaiki ETS, sila bawa sweater atau selendang untuk menutupi badan.

Bilakah kali terakhir anda naik kereta api? Kongsikan dengan saya di ruang komen ya.

Please follow and like us:

4 replies on “Perjalanan Malam dengan Kereta Api Ekspres Rakyat”

Kalau Tak silap Saya, Sehingga Kini masih ada lagi Sleeper Coach, cuma untuk Laluan Johor Bahru Ke Tumpat Kelantan iaitu Ekpres Rakyat Timuran.

Cuma Mungkin Tidak lama lagi Akan ditamatkan bila kerta Api baharu KTM DMU Diesel Multiple Unit Mula beroperasi nanti.

Tahun 2018, Saya pernah Naik Sleeper Coach dari Johor Bahru Sentral Ke Tumpat Kelantan.

Teruja nak cuba. Akan diusahakan untuk ke Tumpat dari JB. Tengah cari kawan yang nak ikut sekali.

Lebih 20 tahun rasanya. Kali terakhir waktu bekerja di HQ Perodua, naik komuter dari Rawang ke Stesen Keretapi KL.

Teringin juga nak mencuba ETS ke Utara dan JB. Dengar cerita kawan-kawan, cepat dan selesa.

Lama betul tu Kak Leen. Saya pernah naik ETS, ya Allah sejuk sangat. Bolehlah cuba naik ETS ke utara.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *