Categories
Umum

Sebuku Roti untuk Setiap Keluarga

Hari demi hari sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan ini sudah mula menjadi biasa kepada kita. Kita terima hakikat keperluan untuk berada di rumah bagi menjaga maslahat diri dan orang di sekeliling kita. Bagi petugas barisan hadapan seperti doktor, jururawat, polis dan angkatan tentera, mereka keluar menjalankan tugas dengan rasa penuh tanggungjawab.

Sepanjang tempoh dua minggu, saya keluar dua kali untuk membeli barang di pasar raya berhampiran. Prosedur masuk ke pasar raya lebih ketat pada kali kedua. Ambil masa sedikit dan tidak ramai yang dibenarkan masuk. Jika sebelum ini saya membeli barang dalam kuantiti sedikit kerana boleh kerap keluar. Tapi ketika MCO saya berbelanja lebih daripada biasa. Saya ada membeli barang kering dan bahan basah seperti ayam dan udang. Serta sebuku roti.

Ya, saya tidak ketinggalan mendapatkan sebuku roti jenama Gardenia. Nampaknya selepas tisu mendapat tempat pertama semasa berlakunya pembelian panik beberapa hari sebelum MCO, roti pula menjadi buruan setiap isi rumah. Sehingga pihak kerajaan mengeluarkan jaminan yang bekalan bahan mentah mencukupi termasuklah roti. Menteri melawat ke kilang pengeluaran roti untuk memastikan bekalan cukup.

Malahan, rakyat yang terpaksa #stayathome mula mencuba membuat roti sendiri. Sehingga yis pula habis di kedai runcit. Seorang sahabat saya berusaha membuat ‘starter’ menggunakan tepung dan air bagi menggantikan yis kering. Harapnya berhasil untuk membuat roti sourdough yang mahal harganya jika dibeli dari kedai roti artisan.

Saya teringat pengalaman sewaktu kecil. Roti memang bukan makanan ruji kita. Tapi ia makanan yang ‘convenient’. Mudah dihidang dan mengenyangkan. Bapa saya selalu pulang dengan sebuku roti sandwich panjang. Seperti Gardenia Jumbo atau Gardenia Bonanza saiznya. Masa itu roti sandwich putih ini tiada jenama. Roti yang dijual di kedai runcit.

Petang-petang balik dari sekolah, mak saya akan membakar roti yang disapu marjerin dan ditabur gula. Masa itu tiada pembakar roti, jadi tudung periuk menjadi alas dan dibakar atas dapur sahaja. Ringkasnya hidup kami. Makan kenyang juga.

Jadi tidak hairanlah roti menjadi rebutan pada waktu krisis seperti ini. Semasa kali kedua ke pasar raya, satu notis diletakkan berhampiran rak. Satu pelanggan hanya dibenarkan mengambil satu bungkus roti putih/wholemeal sahaja. Sebenarnya kita ini masih beruntung lagi. Boleh keluar membeli barang keperluan. Cuma harus dirancang supaya tidak kerap sangat keluar.

Setiap hari KKM mengingatkan supaya orang ramai menjaga jarak dan duduk di rumah. Tempoh dua minggu ini adalah masa yang kritikal dan dijangka lebih ramai akan dijangkiti COVID-19 atau lebih tepat lagi mula menunjukkan gejala.

Begitulah usaha keras yang ditunjukkan oleh petugas barisan hadapan sama ada petugas kesihatan, polis, tentera dan NGO. Jadi, kita yang lain ini duduklah elok-elok di rumah.

Kesihatan mental dan emosi juga perlu dijaga. Manusia secara fitrahnya perlu berinteraksi. Cuma buat masa ini gunakan teknologi yang ada untuk berhubung dengan ahli keluarga mahupun rakan-rakan.

Semoga kita semua selamat.

#stayathome
#mcostage2
#malaysiastayathome

Please follow and like us:

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *