Categories
Aktiviti Blog

Belajar Buat Jurnal Kembara oleh Emila Yusof

Sesekali berjalan ke tempat orang atau melancong ke luar negara, pasti kita mahu simpan barang atau cenderahati sebagai kenangan. Apabila sampai ke rumah, kita kemas beg dan cuci pakaian. Kemudian, buka dompet pasti terselit kepingan resit, tiket kapal terbang di celah helaian passport, tiket muzium atau tiket masuk ke tempat tarikan yang kita lawati.

Sama ada kertas-kertas ini dibuang begitu sahaja atau diabadikan dalam satu jurnal kembara. Idea yang bagus bukan? Saya kagum dengan jurnal kembara yang Kak Emila Yusof hasilkan. Tahun lepas saya dapatkan dua jurnal kembara beliau yang siap dicetak. Jurnal kembara Jepun dan Itali-Swiss.

Kami berpeluang belajar dengan Kak Emila untuk menghasilkan jurnal kembara. Tidak sangka dengan aktiviti menulis blog pada bulan Julai ini, kami berjaya berkumpul sama-sama untuk belajar sesuatu yang baharu.

Pertemuan diadakan pada Sabtu, 27 Julai 2019 di pejabat Big Step Communications di Sri Gombak. Kak Mimi Salleh berbesar hati untuk menyediakan ruang pejabat beliau.

Sebelum hadir ke kelas, saya beli cat akrilik, pita washi (pita bercorak), gam, gunting dan stiker pelbagai corak. Saya bawa keratan dan resit yang masih lagi disimpan sejak pulang dari Taiwan. Saya cetak gambar di kiosk Picapica di AEON Tebrau City. Mahal juga. 10 keping gambar dicetak pada 5 keping kertas foto berharga RM20.

Kami bertemu jam 10 pagi. Saya bertolak dari Johor Bahru selepas subuh. Alhamdulilah. Sampai beberapa minit selepas pukul 10. Kak Emila dan Puan Moon sudah sampai lebih awal. Nampaknya mereka teruja berbual tentang jurnal yang akan kami hasilkan.

Aktiviti kami santai-santai sahaja sambil makan kudapan yang dibawa rakan-rakan. Ada brownies, jambu batu cicah asam, roti naik dan jus oren Twister.

Mula-mula kami lihat beberapa contoh jurnal yang siap dibuat oleh Kak Emila Yusof. Beliau menggunakan buku saiz poket, 9cm x 14cm. Boleh beli di kedai alat tulis atau buat sendiri menggunakan kertas lukisan. Gunakan stapler atau jahit seperti yang dibuat oleh Yan.

Kak Emila memberi panduan menyusun bahan jurnal kembara. Mulakan dengan mewarna latar pada setiap halaman jurnal. Warnakan sebelum pergi melancong. Selain mewarna boleh tampal keratan kertas bercorak atau origami untuk menjadikan latar halaman lebih menarik. Jadi, anda dapat siapkan jurnal on-the-go. Tak perlu tunggu balik baru nak buat. Cara ini lebih berkesan kerana anda dapat merakam terus aktiviti yang anda jalani atau perasaan anda ketika itu.

Gunakan kreativiti untuk menghasilkan jurnal kembara anda. Ia sesuatu yang unik berdasarkan pengalaman anda semasa kembara dan pilihan bahan yang digunakan.

Boleh juga baca tip Kak Emila di Facebook.

Aktiviti ringkas ini menemukan saya dengan rakan lama dan baru. Sahabat saya, Wida Ahmad yang bertugas di Melaka ialah kawan sekolah. Kami jarang bertemu. Ini peluang yang baik sekali. Rasyada, penulis buku Projek Lavender 2 turut menyertai kelas ini. Datang dari jauh.

En Sharul hadir bersama anaknya Hanis. Hanis berusia 12 tahun dan sedang menduduki peperiksaan UPSR. Selamat maju jaya Hanis. En Sharul juga minat fotografi. Nanti kita belajar fotografi pula daripada beliau.

En Sharul merakam video ringkas sepanjang aktiviti kami menghasilkan jurnal. Boleh lihat di sini.

Selain itu, Puan Moon ada menghasilkan video pendek juga menggunakan telefon pintarnya.

Terasa cepat sahaja masa berlalu. Sudah pukul 230 petang. Masing-masing perlu pulang. Semestinya semua seronok dan gembira dengan hasilnya. Perlu sambung siapkan halaman di rumah pula.

Halaman jurnal yang berjaya diwarnakan.
Penuh meja.
Close up. Hehe…

Sampai jumpa lagi untuk aktiviti bulan depan. Insya Allah kita buat aktiviti luar pula.

Please follow and like us:
Categories
Blog

Budi

Berbudi pada tanah itu memang nampak hasilnya. Cuma perlu bersabar. Oleh sebab saya duduk di kampung, ada tanah sedikit di keliling rumah. Sejak kecil tinggal di sini. Tanah yang ada ini sehingga hari ini ada hasil buah-buahan yang dapat kita merasa.

Mak rajin menanam pokok buah-buahan. Ada durian,rambutan, mempelam, sukun, manggis dan nangka. Semasa hidupnya mak selalu cakap, nanti kalau dia dah tiada dapatlah juga anak cucu makan buah-buahan tempatan.

Durian bila tiba musimnya, berbuah juga. Rambutan ada. Tapi selalu juga diinjak-injak monyet habis gugur. Pokok mempelam buahnya banyak tapi isinya tak menjadi sangat. Gugur masih muda di atas atap rumah kereta.

Mak tanam pokok petai. Ada beberapa tahun pokok petai berbuah banyak sekali. Mak mengupah dua orang Indonesia memanjat pokok. Dapat seguni juga. Suatu hari, pokok petai itu nampak tak bermaya, daunnya gugur sikit demi sikit. Lama-kelamaan mati. Rupanya, ia dipanah petir. Akhirnya, upah orang untuk menggergaji pokok supaya tidak tumbang ke rumah nanti.

Itulah budi Mak pada tanah di rumah kami. Selalu juga burung-burung dan monyet dapat menikmati buah-buahan yang ranum itu.

Siapa yang suka menanam pokok di rumah?

#julyblogpostchallenge #31julyblogpost

Ikuti 31 pencetus idea . Lihat di sebelah kanan blog untuk membaca blog rakan-rakan yang menyertai cabaran menulis 31 hari.

Baca entri sebelum ini 
DoaNamaSuratHujanMimpiMelancongMatahariBukuVlogCoklatLautMalamHijauZaitunSederhanaNasiBungaSahabatHadiahCertotHeroKertasLariSelendangKaya, Mata

Please follow and like us:
Categories
Blog Resepi

Kaya

Masa kecil saya memang tak pandai makan kaya atau seri kaya. Mak pun tak berapa gemar. Biasanya kami makan roti sapu marjerin dan bakar atas tudung periuk. Kadang-kadang buat sarapan. Atau pun balik sekolah petang-petang pun boleh makan roti bakar marjerin letak gula.

Cuma bila dan besar-besar baru belajar makan roti dengan kaya atau beli roti berinti kaya. Bahan asas untuk buat kaya ada tiga sahaja, iaitu telur, santan dan gula. Kemudian ditambah daun pandan untuk aroma yang wangi dan tepung jagung jika suka untuk memekatkan kaya.

Kaya atau seri kaya itu terkenal di Asia Tenggara. Kaya dalam bahasa Melayu juga membawa maksud pekat. Jadi bancuhan telur, santan dan gula dimasak sehingga pekat menjadi seperti jem. Sebab itu ia dipanggil kaya. Orang putih panggil coconut jam.

Saya fikir zaman dahulu orang Melayu menggunakan bahan yang ada untuk menghasilkan jem seperti ini. Kaya masih lagi sejenis sapuan yang popular di Malaysia. Belum pupus lagi seperti kebanyakan makanan tradisional yang lain. Mungkin juga ia telah dikomersialkan oleh Gardenia. Maka lebih mudah didapati. Cuma ia tidak tahan lama berbanding jem buah-buahan yang mengandungi pektin. Banyak kali juga saya beli kaya Gardenia kemudian terlupa makan sehingga melepasi tarikh luput.

Saya kongsi satu video resepi membuat kaya, mana tahu nak buat sendiri nanti. Hehe …

Kaya disebut sebagai Sangkaya di Thailand. Ada dua jenis. Sangkaya cair seperti yang dihidangkan bersama roti kukus di Boat Noodle. Sangkaya pekat sama seperti yang biasa kita sapu di atas roti.

Nak membuat sangkaya untuk roti kukus ini pun tak terlalu susah. Rajin atau malas sahaja.

Sekian cerita saya tentang kaya. Kaya itu kan luas maknanya. Boleh jadi kaya raya, hidup senang, bantu orang. Atau makan kaya simbol kehidupan biasa yang tidak kurang hebatnya.

Adakah anda penggemar kaya?

#julyblogpostchallenge #31julyblogpost

Ikuti 31 pencetus idea . Lihat di sebelah kanan blog untuk membaca blog rakan-rakan yang menyertai cabaran menulis 31 hari.

Baca entri sebelum ini 
DoaNamaSuratHujanMimpiMelancongMatahariBukuVlogCoklatLautMalamHijauZaitunSederhanaNasiBungaSahabatHadiahCertotHeroKertasLari, Selendang

Please follow and like us:
Categories
Blog

Lari

Buntu juga nak menulis tentang perkataan ini. Rasa seperti mahu ‘lari’ dan melangkau ke perkataan seterusnya. Apa yang saya mahu ceritakan? Larian, berlari-lari atau lari daripada masalah?

Mari saya kongsi pengalaman menyertai acara larian. Larian pertama yang saya sertai ialah Energizer Night Run. Saya dah tak ingat bila acara itu berlangsung. Sudah beberapa tahun yang lalu. Mungkin lebih 5 tahun. Kononnya saya memilih waktu malam untuk mengelakkan cuaca panas.

Acara larian bermula dengan muzik yang kuat. Kemudian, pelari di lepaskan pada garisan mula. Saya mendaftar untuk larian 5km Fun Run. Acara larian memang ramai peminatnya. Tahun demi tahun, semakin banyak acara larian dianjurkan.

Malam itu saya berjaya menamatkan larian kira-kira sejam jugalah. Peserta yang sudah selesai larian beratur untuk mengambil medal dan hadiah lain. Namun, ramai yang kecewa kerana medal dan hadiah tidak cukup. Sudahnya kami hanya diberi pisang dan air mineral. Hadiah akan dihantar kemudian.

Acara itu menerima kritikan peserta. Penganjur nampaknya tidak teliti dalam menguruskan program. Mereka meminta maaf kepada semua peserta. Beberapa minggu selepas itu, saya menerima bungkusan daripada pihak penganjur.

Selepas itu, saya jarang menyertai acara larian. Setakat ini belum pernah mencuba larian 10km dan ke atas. Mungkin saya patut cuba tahun ini atau awal tahun 2020. Semoga panjang umur dan diberi kesihatan.

Baru-baru ini, kawan saya Normi Nas gigih berlari 10 km dalam tempoh 1 jam 30 minit sahaja. Terinspirasi daripada kesungguhan dirinya. Sedangkan dia pernah mengalami kecederaan di buku lali. Tahniah Normi kerana berjaya menamatkan larian. Kalau Normi boleh buat tentu saya pun boleh kan.

Baiklah. Saya akan berusaha dan berlatih untuk acara larian 10 km. Sasaran saya awal 2020. Atau lebih cepat lagi jika ada acara larian yang menarik.

Selain acara larian biasa yang mengumpulkan ribuan pelari pada satu tarikh dan masa, banyak juga acara larian virtual. Saya juga tidak pernah menyertainya. Peserta perlu mendaftar secara online dan membayar yuran. Jarak larian ditetapkan dan peserta mesti mengemas kini aplikasi di telefon pintar sebagai rekod larian. Selepas tamat cabaran, medal akan dipos kepada peserta.

Acara larian virtual ini ada bagusnya juga. Dapat memberi dorongan kepada pelari untuk mencapai sasaran yang ditetapkan. Bayar yuran sikitlah. Secara peribadi, saya tak berminat. Saya akan cuba berlari atau berjalan 6,000 langkah sehari. Hanya rekod guna aplikasi di telefon pintar walaupun tidak berapa tepat.

Pada masa akan datang, saya mahu beli jam tangan pintar yang dapat merekod aktiviti saya dengan lebih tepat.

#julyblogpostchallenge #31julyblogpost

Ikuti 31 pencetus idea . Lihat di sebelah kanan blog untuk membaca blog rakan-rakan yang menyertai cabaran menulis 31 hari.

Baca entri sebelum ini 
DoaNamaSuratHujanMimpiMelancongMatahariBukuVlogCoklatLautMalamHijauZaitunSederhanaNasiBungaSahabatHadiahCertotHero, Kertas

Please follow and like us:
Categories
Blog

Hero

Dunia kanak-kanak dipenuhi dengan watak hero yang mendominasi rancangan. Saya ingat lagi, setiap kali pulang dari sekolah pada waktu petang saya dan adik-beradik cepat-cepat mandi dan menunggu tayangan kartun Thundercats.

Siri yang popular pada zaman kanak-kanak saya. Sehinggakan banyak barang sekolah yang dijual di kedai tauke mempunyai watak Thundercats. Masa itu saya belum mengenali Iron Man, Batman & Robin mahupun watak Avengers yang lain.

Watak-watak hero diciptakan dan menjadi anganan orang biasa. Tidak salah pun mahu bercita-cita menjadi hero. Jadi hero dalam menjalani hidup kita. Jadi hero dengan cara memberi nilai dalam hidup orang lain.

Kalau tanya saya, hero Avengers yang saya minati ialah Iron Man. Terbukti kan dialah hero apabila sanggup mengorbankan diri dalam perlawanan akhir menentang Thanos.

Selain Iron Man, saya suka watak Batman. Kasihan dia. Walau pun kaya raya, tapi menghadapi konflik yang besar. Cuba menyelamat bandar Gotham, tapi sering kali pula dikhianati.

Itu watak fiksyen. Tapi cuba lihat sekeliling kita. Siapa hero dalam hidup anda?

#julyblogpostchallenge #31julyblogpost

Ikuti 31 pencetus idea . Lihat di sebelah kanan blog untuk membaca blog rakan-rakan yang menyertai cabaran menulis 31 hari.

Baca entri sebelum ini 
DoaNamaSuratHujanMimpiMelancongMatahariBukuVlogCoklatLautMalamHijauZaitunSederhanaNasiBungaSahabatHadiah, Certot

Please follow and like us: