Categories
Buku

Aku Dijangkiti Kehidupan

Aku Dijangkiti Kehidupan: Cerita-cerita Pesakit dan Perawat PsikiatriAku Dijangkiti Kehidupan: Cerita-cerita Pesakit dan Perawat Psikiatri by Khairul Khairudin, Faris Nazrin, Dura Ain, Hiday, Dr Zul Azlin, Dr Mohd Hazreen, Dr Hidayah Jaris
My rating: 4 of 5 stars

Buku ini mengandungi empat kisah yang ditulis oleh pesakit. Mereka menghidap OCD, bipolar disorder dan major depression disorder. Pembaca dibawa untuk menyelami perasaan dan peristiwa yang dilalui oleh penulis apabila berdepan dengan cabaran dalam diri.

Pada awalnya, penulis tidak menyedari yang mereka menghadapi masalah. Antara persamaan yang saya dapati ialah pesakit menyimpan perasaan atau memendam rasa yang teruk sehingga satu tahap ia tidak boleh dikawal.

Bukan mudah bagi individu yang berperang dengan diri sendiri. Lukanya tidak nampak di luaran. Konflik dalaman yang tinggi sehingga orang lain sukar untuk memahami dan sering kali tidak nampak kelainan pada diri pesakit.

Walaupun sukar, penulis yang berasa perlu mendapatkan pertolongan apabila penulis menyedari keadaan sudah tidak terkawal lagi. Sekali lagi penulis berperang sama ada mahu mendapatkan bantuan atau tertekan sendirian sehingga terpaksa melukakan diri.

Keberanian penulis untuk tampil berkongsi kisah perjuangan mereka sebagai pemandiri kesihatan mental patut dicontohi. Tidak dinafikan wujud stigma dalam masyarakat. Namun, kisah mereka ini memberi pendedahan dan kefahaman kepada orang sekeliling bahawa penyakit mental serupa dengan penyakit fizikal yang perlu dirawat.

Hal yang sama penting juga ialah sokongan moral dan emosi orang yang dekat dengan pesakit. Apabila hadirnya sokongan yang kuat daripada ahli keluarga mahupun rakan, pesakit mempunyai dorongan untuk pulih dan menjalani rawatan seperti yang dinasihatkan doktor.

Beberapa bab yang ditulis oleh doktor psikiatri juga memberi gambaran tentang tugas mereka dan cabaran yang mereka lalui sebagai perawat. Maklumat tambahan yang diberikan tentang penyakit mental menjadi panduan ringkas kepada pembaca.

Jangan ambil mudah tentang kesihatan mental. Pada zaman yang mencabar ini, kita semua mesti memainkan peranan supaya orang di sekeliling kita mempunyai tahap kesihatan mental dan fizikal yang baik.

Satu usaha yang baik dalam menyampaikan suara pemandiri kesihatan mental. Tidak banyak buku bahasa Melayu yang ditulis tentang penyakit mental.

View all my reviews

Penerbit: KataPillar Books
Terbitan: 2020

Please follow and like us: