Categories
Saham

Senarai Broker Sah untuk Pelaburan Saham

Lanjutan daripada post saya sebelum  ini tentang permohonan akaun CDS yang mesti dibuat dahulu sebelum mula melabur dalam saham. Broker saya yang pertama ialah RHB Investment. Akaun lama daripada cawangan Subang Jaya dipindahkan ke cawangan Johor Bahru.

Semasa saya berurusan di pejabat broker, saya perhatikan beberapa orang lelaki yang khusyuk memandang monitor di salah sebuah bilik yang disediakan. Mungkin mereka berusia lebih 50 tahun berdasarkan penampilan. Berpakaian kasual dan helaian akhbar terbentang di sebelah monitor.

Saya kira mereka pelabur otai yang mempunyai pengalaman berpuluh tahun. Nampaknya mereka selesa mengakses sistem di premis broker. Inilah antara kemudahan yang disediakan kepada pelanggan.

Broker menyediakan sistem atau dikenali sebagai platform untuk pelanggan mereka ‘membeli-belah’. Bukan setakat membeli, pelabur yang aktif akan berdagang saham menggunakan platform ini.

Dengan teknologi canggih dan akses internet yang meluas, pelanggan tak perlu lagi ke pejabat broker untuk mengakses sistem. Akses di komputer masing-masing atau gunakan aplikasi di telefon pintar. Sangat mudah.

Selepas saya buka akaun CDS, seorang wakil broker menjadi pegawai hubungan. Beliau yang menjaga akaun saya. Beliau menguruskan tambahan dana ke akaun dagangan (trading account) dan menjelaskan (clearing) transaksi beli (buy) dan jual (sell).

Syarikat broker ini ada kumpulan penyelidikan. Kumpulan ini adalah pakar dan menganalisis saham dengan pelbagai teknik advance. Setiap hari wakil broker yang mengendalikan akaun saya akan berikan kemas kini melalui whatapps tentang berita penting dalam pasaran.

Dan yang ‘sweet’nya, beliau turut berikan senarai kaunter (saham) yang berpotensi. Cuba bayangkan. Ada 900 barang yang dijual. Mana satu barang yang best atau hot? Senarai ini sekurang-kurangnya beri panduan untuk pelabur mengkaji saham berpotensi. Tidak semestinya kita akan beli saham itu.

Broker saya yang kedua ialah UOB Kay Hian. Peranan broker ini sama sahaja. Yang berbeza ialah perkhidmatan yang ditawarkan dan sokongan yang diberi kepada pelanggan.

Seorang individu boleh ada lebih daripada satu akaun CDS dengan broker berlainan. Nak buka sepuluh akaun pun boleh. Tapi pandai-pandailah mengurusnya.

Saya senaraikan sepuluh broker yang boleh dirujuk untuk buka akaun dan mula melabur saham:
1. RHB Investment (RHB Tradesmart)
2. UOB Kay Hian (Utrade)
3. Hong Leong Invesment (HLeBroking)
4. Maybank Investment
5. CIMB Investment
6. BIMB Securities (Syariah counters only)
7. Kenanga Investment (KenTrade)
8. Malacca Securities (Mplus)
9. Affin Hwang
10. Public Invest (eTrade)

Boleh rujuk laman web Bursa Malaysia untuk senarai broker berlesen.

Please follow and like us:
Categories
Saham

Buka Akaun CDS

Kali pertama saya buka akaun CDS (Central Depository System) mungkin dalam tahun 2008 atau 2009. Saya buka dengan Hwang DBS di Plaza Shah Alam. Minat untuk pelaburan saham timbul apabila salah seorang sahabat bercerita yang beliau menerima ESOS.

ESOS adalah manfaat yang diberikan kepada pekerja untuk memiliki saham syarikat. ESOS ringkasan untuk Employee Stock Options. Harga yang ditawarkan biasanya lebih rendah daripada harga saham yang didagangkan di pasaran.

Apabila pekerja memiliki saham, mereka menjadi pemegang saham syarikat. Apa yang berlaku jika kita bekerja dalam syarikat yang kita miliki? Secara tidak langsung, ia meningkatkan motivasi untuk berusaha lebih kuat.
ESOS juga salah satu kaedah untuk menggalakkan pekerja setia dengan syarikat. Berkhidmat lebih lama. Pemegang saham akan menikmati untung daripada nilai saham yang meningkat dan dividen setiap tahun, jika ada.

Saya perhatikan apabila syarikat mengumumkan pemberian ESOS, harga saham di pasaran terbuka akan turun. Secara logiknya, siapa nak beli harga barang yang mahal sedangkan orang lain dapat harga lebih murah?

Berbalik pada cerita asal. Lepas dah buka akaun CDS, memang saya tak beli sebarang saham. Lama-kelamaan saya dah lupa kewujudan akaun CDS itu. Mungkin sebab saya tak tahu langkah seterusnya dan tak berusaha untuk cari maklumat lanjut. Atau saya sibuk dengan hal lain.

Beberapa tahun selepas itu, saya daftar pula dengan OSK. Sekarang OSK dah bergabung dengan RHB dan dikenali sebagai RHB Investment. Masa tu saya mendaftar di cawangan Subang Jaya. Sama juga. Saya tak bertindak apa-apa. Sehingga akhir tahun lepas, saya minta akaun dipindahkan ke cawangan Johor Bahru. Dan memulakan langkah pertama membeli saham pada bulan Mac. Saya nak kongsi cara membuka akaun CDS sangat mudah.

Syarat utama adalah pemohon berumur lebih 18 tahun. Anak saudara saya teruja tengok saya melabur dalam saham. Tetapi dia belum cukup 18 tahun.

Permohonan boleh dibuat melalui sebarang broker berlesen di Malaysia. Isi borang dan sertakan dokumen seperti kad pengenalan dan salinan penyata bank. Penyata bank ini untuk pengesahan nombor akaun sahaja.

Bayar RM10.60 dan tunggu permohonan diproses oleh Bursa Malaysia. Semasa saya mohon akaun CDS kedua dengan broker lain, dalam masa dua minggu saya terima e-mel daripada Bursa Malaysia. Seorang invididu boleh mempunyai lebih daripada satu akaun CDS. Namun, hanya satu akaun boleh didaftarkan menggunakan nama yang sama dalam satu syarikat broker.

Selepas akaun CDS dibuka, pelabur perlu buka satu akaun lagi. Akaun dagangan (trading account) di syarikat broker. Kemudian, masukkan tunai ke dalam akaun ini mengikut arahan broker. Tunai dalam akaun ini yang akan digunakan untuk jual beli saham.

Ringkasan: 

Dokumen untuk buka akaun CDS: Salinan KP, Borang Permohonan dan Salinan Penyata Bank.
Akaun CDS ialah akaun yang didaftarkan di Bursa Malaysia di bawah syarikat broker.
Akaun dagangan ialah akaun tunai untuk melakukan transaksi jual beli saham.

Please follow and like us: