Categories
Buku

Backpack Brunei: Datang Disambut Taufan oleh Normi Nas

Buku ini ditulis berdasarkan pengalaman Normi berdepan dengan situasi yang mengancam nyawa. Ia berlaku semasa tahun 2015 apabila Normi ke Brunei dalam bulan Ramadhan. Detik cemas dirasai oleh semua penumpang penerbangan Air Asia. Bayangkan cuaca buruk yang dialami ketika mahu mendarat.

Normi ada berkongsi status tentang peristiwa ini di Facebook dan menjadi viral. Membaca semula dengan lebih terperinci catatan Normi menimbulkan keinsafan dalam diri. Dekat atau jauh musafir kita ini, belum tentu kita dapat tiba dengan selamat. Hanya takdir Allah yang menentukan. Pastinya kita mahu sampai di destinasi yang dituju dengan rasa tenang dan gembira. Alhamdulilah, Normi dan semua penumpang selamat.

Naskhah ini juga sangat istimewa kerana saya bersama Normi ke Brunei ketika kunjungan kedua penulis ke sana. Pada tahun 2018, kami menyertai Pesta Buku Brunei buat kali pertama. Saya juga berpeluang berkenalan dengan sahabat Normi yang juga warganegara Brunei.

Kunjungan penulis ke Brunei diceritakan dalam dua bahagian; iaitu kisah pada tahun 2015 dan 2018. Buku ini lebih nipis berbanding buku travelog Normi sebelum ini. Saya enjoy baca buku ini dan dapat mengimbas kembali perjalanan kami pada tahun 2018. Sesekali tergelak juga dengan peristiwa lucu yang berlaku semasa di sana.

Selain itu, pembaca dapat mengetahui tempat menarik di Brunei Darussalam, mengenali budaya masyarakat dan budi bahasa orang Brunei. Mungkin pembaca berminat mahu ke negara jiran kita ini pada masa akan datang.

Pembaca boleh dapatkan buku ini daripada penerbit Kasi Terbit. Buku ini baharu sahaja siap dicetak dan mungkin akan dijual di kedai buku tidak lama lagi.

Please follow and like us:
Categories
Buku

Kilo vs Kalori (Buku)

Puasa masuk hari kedua bulan Ramadan. Masyarakat di Malaysia mula berpuasa pada 6 Mei 2019. Di pelusuk lain, di dunia ini ada yang memulakan ibadah puasa pada hari ini.

Apabila datang Ramadan, ramai berlumba-lumba berbuat kebaikan. Suasana yang indah dan harmoni. Diharapkan sehingga tamat bulan mulia ini dan seterusnya dipanjangkan ke bulan-bulan lain.

Saya baca buku Kilo vs Kalori, terbitan Kata Pillar. Perkongsian penulis tentang cabaran menurunkan berat badan. Saya juga sudah beberapa kali gagal dan tidak berdisiplin. Baru turun 3-4 kg, saya kembali makan apa yang saya suka.

Tahun ini, saya mesti serius. Rakan saya sudah turun lebih 20 kg sejak mengamalkan intermittent fasting (IF). Sebenarnya, bukan susah dan tidak mustahil. Paling kurang sebulan dalam setahun kita berpuasa kan.

Dalam buku Kilo vs Kalori, ada penulis yang mengamalkan IF dengan cara puasa sunat Isnin Khamis, tiga hari pertengahan bulan dan puasa enam Syawal.

Cabaran menguruskan badan ini, selain perlu menjalankan aktiviti fizikal saya dapati dugaan mental juga tidak kurang hebatnya.

Di Malaysia ini, mewah dengan makanan yang sedap-sedap tapi kurang menyihatkan. Sampaikan jika saya ke luar negara, saya pasti rindu nak balik ke Malaysia mengenangkan nasi lemak, roti canai dan ayam goreng di kedai mamak.

Bagi menguatkan azam saya, rakan memberi galakan. Saya mesti usaha turunkan berat sekurang-kurangnya 15 kg sebelum April 2020. Wawasan 2020 katakan.

Jadi, saya akan ambil kesempatan puasa di bulan Ramadan ini sebagai permulaan yang baik.

Satu lagi pengajaran yang dapat saya pelajari daripada buku ini ialah konsisten dalam amalan permakanan sihat. Gunakan formula suku-suku separuh, iaitu suku karbohidrat, suku protein dan separuh sayur-sayuran.

Kurangkan gula atau lebih baik lagi jangan minum air manis dan makanan yang manis. Gantikan dengan buah-buahan.

Seorang penulis menyatakan perbelanjaan bulanan keluarganya dapat dijimatkan dengan pilihan makanan sihat. Gula 5 kg sebulan, jadi 1 kg sebulan.

Saya tak kisah tidak minum air manis. Cuma cabaran bagi saya ialah kuih muih di bulan puasa ini. Jika kakak saya masak bubur, tentulah cabaran meningkat setahap lagi.

Selain itu, saya tak suka lihat makanan berlebih. Membazir. Jadi, saya akan lebih berhati-hati apabila memasak menu berbuka. Saya akan masak secukupnya sahaja.

Selamat berpuasa buat semua pembaca. Jom kita usaha kurangkan berat badan bagi siapa yang menghadapi isu serupa dengan saya.

Please follow and like us:
Categories
Umum

Tip penulisan supaya bacaan teks lancar

Kumpulan kisah kanser diteruskan lagi untuk mengumpul bahan bagi buku kedua. Projek Lavender nampaknya diterima baik oleh pembaca. Kali ini saya dan rakan sedang mengedit dan menyemak hasil karya peserta.

Mencabar juga nak memilih penyertaan bagi projek kisah kanser 2. Sedang dalam proses semakan dan edit. Saya nak kongsi beberapa tip supaya hasil penulisan lancar dibaca.

1. Kurangkan ‘lah’ dan ‘nya’. Dua suku kata sambungan ini kadang kala mengganggu pembacaan.

2. Perkataan ‘dari’ hanya untuk masa, arah dan tempat. Kadang kala kami lepaskan sebab nak bagi ayat sedap. Tapi tak boleh selalu.

3. Guna perkataan yang ringkas dan senang difahami. Kurangkan perkataan ‘bombastik’.

4. Tak perlu ulang perkataan yang sama makna dalam satu ayat contohnya, ‘kembali semula’.
Dia kembali ke tempat asal. (Ok)
Dia kembali semula ke tempat asal. (Tak ok)

Lagi satu, ‘amat sangat’. Sama makna, tak perlu ulang.

5. Kurangkan ‘itu’ dan ‘ini’.

6. Dalam kisah kanser, kami gunakan ‘dia’ dan tak gunakan ‘beliau’ untuk merujuk kepada adik-beradik, ibu atau bapa.

7. Kurangkan ayat melewah atau perkataan melewah. Memang hasilnya teks akan jadi lebih pendek tapi padat dan jelas. Orang sekarang kurang ‘attention span’.

8. Walaupun tulis draf pertama biasanya memang akan ada masalah 1-7, tapi perbaiki dahulu sebelum hantar kepada penerbit.

Selamat menulis.

p.s: Perkara di atas adalah style kami di duapenulis. Lain penerbit lain gayanya.

Please follow and like us:
Categories
Penerbitan

Akan terbit – Mudahnya mengurus kekayaan dalam Islam

Lebih 5 tahun dalam bidang perancangan kewangan, saya berhasrat berkongsi sedikit ilmu tentang perancangan kewangan Islam kepada khalayak yang lebih luas. Saya mula menulis sedikit demi sedikit. Insya Allah ia bakal terbit tidak lama lagi. Kini ia dalam proses percetakan oleh penerbit. Buku ini akan diterbitkan oleh Truewealth Sdn Bhd.

featured image 1

Ketahui:

  • Apakah konsep harta dan kekayaan dalam Islam
  • Empat komponen penting dalam perancangan kewangan Islam
  • Strategi pengurusan patuh syariah
  • Produk kewangan Islam di pasaran dan perbandingan dengan produk konvensional
  • Apakah ciri-ciri riba, gharar dan maisir
  • Bagaimana melaksanakan pengurusan kewangan patuh syariah
  • Bagaimana untuk memilih produk kewangan yang sesuai dengan keperluan anda

Jika anda berminat membuat pesanan awal, boleh hubungi penulis di info@norsaadah.com.

Please follow and like us: