Categories
Cukai

FAQ Cukai Soda yang Mula Dikenakan Pada 1 Julai 2019 di Malaysia

Dalam Belanjawan 2019 yang dibentangkan tahun lalu, Menteri Kewangan menyebut tentang pelaksanaan cukai soda. Tarikh pelaksanaan ditetapkan pada 1 April 2019. Namun ditangguhkan kepada 1 Julai 2019.

Secara rasminya, cukai soda atau juga dikenali sebagai duti eksais minuman bergula mula dikenakan semalam. Cukai soda ialah sejenis cukai tidak langsung. Contoh lain cukai tidak langsung ialah cukai jualan, cukai perkhidmatan (SST) dan cukai barang dan perkhidmatan (GST). Cukai tidak langsung dikenakan kepada pengilang atau pengeluar (eksais dan SST) dan pengguna (GST).

Apabila cukai soda (duti eksais minuman bergula) dikenakan kepada pengilang atau pengeluar, kadar cukai ini tidak nampak secara jelas kepada pengguna akhir. Ia serupa dengan cukai jualan. Namun berbeza dengan GST, kerana GST mesti dipaparkan dalam resit walaupun kepada pengguna akhir iaitu pembeli runcit.

Mari kita belajar serba sedikit tentang cukai soda atau duti eksais minuman bergula.

1 – Apakah itu cukai soda?

Cukai soda ialah sejenis duti eksais dan salah satu jenis cukai tidak langsung. Duti eksais dikenakan atas produk atau barang yang dikeluarkan oleh pengilang atau pengeluar. Cukai soda ini dikenakan atas minuman bergula dengan kadar ambang yang ditetapkan (threshold).

Selain cukai soda, Malaysia mengenakan duti eksais kepada barangan seperti minuman keras, rokok, tembakau & keluaran tembakau, kenderaan bermotor, daun terup (kad permainan judi) dan kiub mahjong.

Cukai ke atas minuman bergula, minuman beralkohol, rokok dan tembakau, daun terup dan mahjong turut disebut sebagai sin taxes. Ia dikenakan untuk mengurangkan penggunaan barang tertentu. Cukai soda dan minuman beralkohol tentunya untuk mengawal pengambilan gula dan alkohol. Manakala cukai rokok dan daun terup untuk mengawal tabiat merokok yang membahayakan kesihatan dan mengurangkan aktiviti perjudian.

2 – Siapa yang dikenakan cukai soda?

Pengilang atau pengeluar minuman bergula. Cukai soda menjadi kos kepada pengilang dan mereka terpaksa mencari jalan untuk menampung kos ini sama ada dengan menaikkan harga barang atau mengeluarkan produk dengan kadar kandungan gula di bawah paras ambang.

3 – Berapa kadar cukai soda?

Secara umum, kadar eksais boleh dikenakan secara ad valorem (berdasarkan nilai) atau kadar khusus. Kadar ad valorem ialah peratusan daripada nilai. Contohnya, 10% daripada nilai barang. Kadar khusus ialah kadar mengikut unit. Contohnya, 40 sen bagi setiap 1 liter.

Cukai soda yang diperkenalkan di Malaysia menggunakan kadar khusus seperti berikut untuk minuman bergula seperti jus buah-buahan, minuman bergas dan minuman susu dengan gula tambahan.

4 – Siapa yang mengutip cukai soda?

Kastam Diraja Malaysia yang akan mengutip cukai soda daripada pengilang atau pengeluar. Urusan pembayaran cukai ini di bawah pentadbiran Kastan Diraja Malaysia.

5 – Apakah tujuan cukai soda dikenakan?

Cukai soda sebagai salah satu sumber pendapatan negara bagi menampung kekurangan kutipan cukai selepas GST dimansuhkan. Selain itu, ia dilaksanakan untuk mengurangkan pengambilan gula oleh masyarakat dan menggalakkan gaya hidup sihat.

Kementerian Kesihatan Malaysia berkongsi poster kandungan gula dalam minuman kopi tin yang menjadi kegemaran rakyat Malaysia.

6 – Negara manakah yang sudah memperkenalkan cukai soda?

Denmark mula memperkenalkan cukai soda pada tahun 1930-an. Kemudian, Finland pula pada tahun 1940-an. Denmark menghentikan cukai soda pada tahun 2014. Negara lain yang turut memperkenalkan cukai soda ialah Hungary, Perancis, Mexico, United Kingdom dan Negeri Berkeley, California USA. Singapura sedang mempunyai kajian tentang pelaksanaan cukai soda namun belum memperkenalkannya dalam sistem cukai mereka.

Kebanyakan negara ini turut melaksanakan GST atau VAT (value added tax) dalam sistem percukaian mereka.

7 – Apakah kesan kepada penggunaan gula dalam masyarakat?

Kemungkinan berlaku penurunan pengambilan gula dalam masyarakat. Orang ramai lebih berhati-hati memilih minuman dengan kandungan gula yang tinggi. Dengan harapan masalah obesiti dan diabetes dapat berkurangan.

Sebenarnya bukan gula sahaja yang menyebabkan obesiti dan diabetes. Gaya hidup masyarakat yang tidak mengawal pemakanan menyebabkan pelbagai masalah kesihatan.

8 – Apakah kesan kepada ekonomi negara?

Jualan minuman bergula dijangka akan menurun kerana permintaan pasaran yang berkurangan. Syarikat yang terlibat mungkin mengalami penurunan pendapatan dan mengalami kerugian.

Sentimen pasaran memberi respon kepada pelaksanaan cukai baru apabila kaunter seperti Nestle merosot sebanyak RM0.70 kepada RM148.40, F&N menurun sebanyak 16 sen kepada RM34.30 dan Dutch Lady menurun sebanyak 10 sen kepada RM63.90.

Vietnam, Indonesia dan United Kingdom membuat kajian kesan pelaksanaan cukai soda di negara mereka.

Vietnam – Central Institute of Economic Management
Kutipan cukai meningkat sebanyak USD 8.46 juta
Ekonomi berkurangan sebanyak USD 52.6 juta

Indonesia – Institute for Economics & Social Research
Cukai soda bertambah Rp 590 billion
GST berkurangan Rp 562.7 billion
Cukai korporat berkurangan Rp 736.1 billion

United Kingdom – Oxford Economics
Hasil cukai bertambah 504 juta Pound Sterling
Kehilangan 4,000 peluang pekerjaan
Penurunan KDNK sebanyak 13.2 juta Pound Sterling

9 – Apakah yang boleh dilakukan sebagai pengguna?

Kemungkinan harga produk minuman bergula akan meningkat. Pengeluar terpaksa menaikkan harga bagi menampung kos (cukai soda) ini. Orang awam sebagai pengguna juga tidak dapat melihat jumlah sebenar cukai yang dikenakan. Mereka hanya akan melihat harga akhir.

Kesan kepada harga minuman bergula dijangka mengalami ‘compound effect’ seperti cukai jualan. Sedangkan cukai jualan turut dikenakan.

Minuman bergula sememangnya tidak bagus untuk kesihatan. Kurangkan pengambilan minuman seperti ini. Gantikan dengan minum air kosong. Walaupun sudah tidak mengambil minuman bertin, elakkan juga minuman manis seperti teh tarik yang tinggi kandungan gula.

Keperluan harian maksimum pengambilan gula ialah 25g sahaja. Jadi pengguna yang bijak dan sihat. Jimat duit dan baik untuk tubuh badan.

Please follow and like us: