Categories
Harta pusaka

Jangan biar kejadian ini berlaku kepada keluarga kita

Kita marah apabila adik si mati pecah amanah.
Kita geram apabila datuk nenek anak yatim tidak ambil peduli.
Kita sedih apabila kebajikan anak kecil diabaikan.
Kita kasihan apabila kakak si mati terpaksa menanggung beban.

Beberapa perkara dapat kita pelajari daripada kisah dua adik-beradik yang kini dijaga oleh ibu saudara mereka selepas kematian ibu bapa tahun lalu. Ibu bapa dua anak ini meninggal dalam kemalangan jalan raya melibatkan kenderaan yang dipandu bapanya dan kereta Myvi.

Setahun berlalu, ibu saudara membuat tuntutan dan laporan tentang pecah amanah adik bongsu si mati. Kisah mereka mendapat perhatian rakyat Malaysia dan sumbangan mencecah lebih RM300,000 berjaya dikumpulkan. Namun, manfaat sumbangan tidak disalurkan kepada anak yatim piatu ini. Malahan, ibu saudara yang menjaga mereka mendakwa duit ini sudah disalah gunakan untuk kesenangan peribadi adik bongsu si mati.

Harta boleh buat kita gelap mata. Apakah persediaan kita supaya perkara ini tidak berlaku dalam keluarga sendiri?

Kita pun akan mati juga meninggalkan waris sama ada yang masih kecil atau sudah dewasa. Pastikan kita kenal ahli keluarga kita. Sikapnya bagaimana. Boleh dipercayai atau tidak. Mampu pegang amanah atau tidak. Berpesan-pesan tentang tanggungjawab dan hak. Waris yang di bawah umur, siapa yang bertanggungjawab menjaga hartanya. Siapa pula yang bertanggungjawab menjaga kebajikan mereka.

Lantik Wasi (pemegang amanah) dengan menulis Wasiat. Catatkan ‘direction’ untuk waris dan penjaga yang diberi tanggungjawab.¬†‘Direction’ seperti:
– siapa yang patut menjaga anak di bawah umur
– sumber kewangan untuk sara hidup dan pendidikan anak-anak
– jika ada bisnes, siapa yang patut menguruskannya
– jika tiada yang menguruskan, apakah yang perlu dilakukan. Jual bisnes? Tutup bisnes? Aset bisnes perlu dibuat apa?
– bagaimana harta diagihkan

Semasa hidup:
– lantik penama (pemegang amanah) untuk akaun seperti KWSP, Tabung Haji dan ASB supaya wang tunai ini boleh digunakan sementara urusan pentadbiran pusaka selesai
– ambil perlindungan takaful keluarga sebagai persediaan sekiranya berlaku musibah

Selebihnya, selepas segala usaha yang mampu dilakukan, maka mohon Allah melindungi keluarga kita daripada fitnah harta dan dunia.

Please follow and like us:
Categories
Harta pusaka

Royalti sebagai pusaka

Penulis, artis dan ahli muzik biasanya akan menerima royalti sebagai imbuhan daripada penerbit. Amalan membayar royalti diterima secara meluas dalam industri kreatif termasuk industri penerbitan buku.

Penulis layak menerima royalti selagi karyanya masih diterbitkan. Royalti akan terus dibayar sehingga 50 tahun selepas kematian penulis. Tempoh ini dipersetujui dalam Berne Convention (sila google).

Selepas TPPA ditandatangi, kemungkinan besar tempoh ini akan dilanjutkan sehingga 70 tahun.

Ini bermaksud waris penulis berhak mendapat royalti selepas kematian penulis. Walaupun dalam perjanjian tidak dinyatakan tempoh 50 tahun / 70 tahun ini, ia menjadi amalan yang diterima pakai dalam pembayaran royalti.

Karya yang malar segar (evergreen) dan sentiasa dibaca melewati zamannya berpotensi memberi pendapatan pasif bukan sahaja kepada penulis semasa hidup, tetapi juga dapat diwariskan sebagai legasi selepas kematian.

Bagaimana royalti diuruskan selepas kematian?
1. Perlu rujuk di dalam kontrak penerbitan. Adakah penulis meletakkan penama yang bakal menerima royalti selepas kematian penulis. Bagi penulis yang beragama Islam, penama ini hanya wakil kepada waris yang berhak mengikut Faraid.
2. Jika tiada penama dinyatakan, pentadbir pusaka akan menjadi wakil yang menerima royalti bagi pihak waris.
3. Penulis boleh menulis wasiat. Jika tiada klausa khusus untuk melantik penama bagi royalti ini, Wasi iaitu pentadbir yang dilantik dalam wasiat adalah pihak yang akan menerima royalti daripada penerbit. Wasi adalah wakil waris.
4. Penulis boleh menulis wasiat dan menyatakan secara khusus tentang pengurusan royalti selepas kematiannya.

Penulis mungkin tidak menyangka karyanya (aset intelek) akan memberi sumbangan besar dalam bentuk wang ringgit pada masa hadapan.

Usah ketepikan aspek ini dalam karier penulisan. Sekurang-kurangnya pasangan atau ahli keluarga terdekat tahu tentang kontrak yang anda tandatangani dengan penerbit.

Penerbit pula tidak boleh mengenepikan hak waris kepada royalti yang sepatutnya dibayar sama ada royalti tertunggak, semasa atau selepas kematian.

Please follow and like us:
Categories
Harta pusaka

Perancangan harta pusaka (estate planning) moden

Selain royalti sebagai pusaka, aset kita yang lain adalah sebahagian daripada harta pusaka yang akan diwariskan. Bukan itu sahaja, hutang juga perlu difikirkan cara pengurusannya selepas kita meninggal dunia.

Wasiat pada hari ini bukan semata-mata pesanan pembahagian harta kepada waris. Namun, wasiat menjadi dokumen yang penting dalam pengurusan harta pusaka selepas kematian.

Dalam wasiat, kita boleh melantik Wasi iaitu pihak yang akan menguruskan pentadbiran harta pusaka selepas kematian.

Syarikat amanah boleh dilantik sebagai Wasi. Contohnya As-salihin Trustees Berhad, sebuah syarikat pemegang amanah yang menyediakan perkhidmatan berkaitan perancangan pusaka orang Islam.

Apakah tugas syarikat amanah yang dilantik menjadi Wasi:
1. Membaca wasiat kepada waris dan menerangkan proses pentadbiran harta pusaka daripada segi undang-undang sivil dan Syariah.
2. Memohon Geran Probet di Mahkamah.
3. Melantik peguam, jurunilai dan ahli profesional yang lain, jika perlu.
4. Mengagihkan harta pusaka mengikut Faraid atau arahan pembahagian oleh si pewasiat.
5. Jika ada waris yang tidak bersetuju mengikut arahan pembahagian di dalam wasiat, hak mereka mengikut Faraid akan diberikan.
6. Menguruskan pencairan aset seperti rumah atau tanah, jika perlu untuk tujuan pengagihan tunai.
7. Menyediakan penyata pembahagian aset kepada semua waris Faraid. Penyata ini juga mengandungi semua kos yang terlibat dalam pentadbiran harta pusaka seperti yuran syarikat amanah, yuran peguam dan lain-lain.
8. Menjadi pemegang amanah bagi aset waris yang belum mencapai umur 18 tahun, jika ada.

Semua tugas dan kos yang terlibat dinyatakan secara jelas dan telus kepada waris Faraid.

Melantik syarikat amanah adalah satu pilihan kepada pewasiat untuk meringankan beban waris yang mungkin tidak mempunyai masa untuk menguruskan harta pusaka atau tidak mempunyai pengetahuan tentang cara menguruskan pusaka.

Please follow and like us: