Categories
Jimat wang Media Umum

Temubual Bersama Norsa’adah Ahmad di Bernama WebTV

Sesi temubual saya bersama Puan Murni sebagai hos WebTV Bernama sudah disiarkan pada hari Khamis, 14 Januari 2016. Rakaman ini dimuatnaik dalam kategori VOD (Video On Demand) Upclose.

WebTV Bernama adalah portal TV online yang menyiarkan konten berkualiti dan berita terkini. Portal TV ini salah satu daripada produk Bernama yang sedang meningkat popularitinya. Penonton boleh melayari laman WebTV Bernama atau langgan channel YouTube mereka di sini.

Sehingga kini ada 21 video sudah dimuatnaik dengan pelbagai tema perbincangan.

Topik saya kali ini ialah mengurus kewangan dalam situasi ekonomi yang mencabar. Antara isu utama dalam perancangan kewangan ialah individu tidak menyimpan rekod kewangan, tidak memahami jenis produk kewangan yang dilanggan dan adakalanya terjebak dengan hutan atau scam.

Tiga perkara utama yang dapat anda lakukan untuk mengurus wang dengan lebih berkesan ialah merekod semua perbelanjaan anda sama ada belanja tahunan, bulanan atau harian. Selain daripada itu, mulakan menyimpan dan bersikap terbuka dengan pasangan dalam membincangkan matlamat kewangan bersama.

Jadi kreatif dan gunakan tips menabung yang banyak dikongsi di laman sosial seperti menyediakan tabung khas untuk setiap matlamat anda contohnya beli kasut atau beg, melancong, buku dan sebagainya.

DO’s dalam mengurus kewangan

  1. Ukur baju di badan sendiri iaitu berbelanja mengikut kemampuan
  2. Tangguhkan kepuasan
  3. Banyakkan bersedekah

DON’Ts dalam mengurus kewangan

  1. Jangan berhutang khususnya hutang peribadi atau kad kredit.
  2. Jangan terpengaruh dengan janji palsu / scam.

Kupasan lanjut saya kongsikan dalam temubual bersama WebTV Bernama.

Please follow and like us:
Categories
Jimat wang Umum

“Hampir RM100 untuk buffet sahaja! Saya rasa bersalah.”

Kami menginap di hotel untuk menghadiri satu program di lokasi berhampiran. Kononnya ingin mencuba buffet Ramadhan di restoran hotel.

“RM105 seorang.” Jawab pegawai di lobi hotel apabila kami bertanya kadar bufet yang ditawarkan.

“Kita buka kat tempat lain, dua orang pun tak sampai RM100. Berapa banyak yang boleh kita makan.” Gumam Yati.

Sudahnya, kami berbuka di salah sebuah restoran dalam kompleks. RM35 untuk dua orang.

Saya teringat kata-kata seorang kenalan, “Saya rasa bersalah jika makan buffet yang mahal. Hampir RM100, ada juga yang lebih. Bagaimana dengan golongan yang kurang mampu. Makan seadanya. Secukupnya saja.”

Ya. Saya bersalah juga.

Dahulu, saya menyertai jemputan syarikat ke majlis berbuka puasa dan majlis hari raya di hotel. Semuanya ditaja.

Kadang-kadang sukar menolak jemputan. Lagi pula majlis sebegini peluang yang baik untuk berhubungan atau membina jalinan (networking).

Bagaimana jika kita buat sesuatu yang berbeza dengan tujuan yang sama?

Tujuannya untuk berbuka bersama. Raikan kegembiraan berbuka puasa dengan hidangan yang sederhana.

Tidak semestinya di hotel. Mungkin di masjid. Kongsi sekali dengan jemaah yang lain.

Please follow and like us:
Categories
Jimat wang

Idea jimat tenaga dari TNB

Baru-baru ini saya membayar bil elektrik di Cawangan TNB Johor Bahru. Beberapa bunting yang dipamerkan menarik perhatian saya. Idea bernas untuk penjimatan tenaga yang mudah dan praktikal:

1. Cabutkan plag peralatan elektrik untuk menjimatkan tenaga dan wang anda. Selain menutup suis, cabutkan plag peralatan sekaligus. Kaedah ini dapat mengurangkan bil elektrik anda.

2. Ini idea yang sesuai untuk mereka yang mengurus rumahtangga atau menggunakan mesin basuh elektrik. Membasuh dengan muatan penuh dapat menjimatkan tenaga dan masa. Mesin basuh menggunakan tenaga yang banyak. Muatan penuh boleh menjimatkan tenaga kerana ia mengurangkan jumlah basuhan.

3. Penggunaan mentol dan lampu juga boleh menentukan jumlah tenaga yang digunakan. Kini, terdapat pelbagai pilihan mentol jimat tenaga di pasaran. Mentol jenis ini tahan lebih lama dan menjimatkan penggunaan elektrik.

4. Cuaca panas dan suhu tinggi di kawasan Khatulistiwa seperti Malaysia agak menduga kita. Bagi anda yang memasang penyaman udara di rumah, pastikan penapis penyaman udara dibersihkan selalu agar peredaran udara lebih lancar dan efisien.

5. Lagi satu idea penjimatan elektrik apabila anda menggunakan penyaman udara ialah memastikan tingkap dan pintu ditutup. Menutup tingkap dan pintu ketika penyaman udara berfungsi membantu penyejukan bilik dengan lebih cepat.

Amalkan idea mudah dan praktikal ini untuk menjimatkan penggunaan elektrik, sekaligus menjimatkan wang anda.

Please follow and like us: