Categories
Buku Umum

Menyantuni Masyarakat Melalui Pembacaan – Slogan Kuala Lumpur Ibu Kota Buku Dunia 2020

Sengaja saya memilih tajuk ini bagi catatan pada hari ke-37 Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). Ini ialah slogan Kuala Lumpur Ibu Kota Buku Dunia 2020 yang dinobatkan secara rasmi pada 23 April 2020. Setelah kota Sharjah membawa nama Ibu Kota Buku Dunia pada tahun 2019, baton beralih tangan kepada Kuala Lumpur.

Acara penutup di Sharjah dilakukan secara dalam talian dan ditayangkan secara langsung melalui media sosial malam tadi, pukul 10 malam waktu Malaysia.

Sebagai salah seorang penggiat dalam industri buku sudah tentu saya menantikan kemuncak acara perasmian KLWBC 2020 (Kuala Lumpur World Book Capital) yang sepatutnya menjadi acara gilang-gemilang. Namun, ia digantikan dengan acara perasmian secara dalam talian seperti mana dilakukan oleh Sharjah dalam majlis penutup mereka.

Jam 2 petang nanti di Facebook KL Baca dan media sosial lain, kita akan menyaksikan pelancaran KLWBC.

Saya tertarik dengan slogan yang diberikan – Menyantuni Masyarakat Melalui Pembacaan (Caring Through Reading). Tahniah diucapkan kepada Sekretariat KLWBC atas pelancaran ini.

Maksud ‘menyantuni’ sememangnya sinonim dengan adat dan budaya masyarakat kita. Ironinya, kesantunan yang dikaitkan dengan adab sopan dan tata susila yang baik semakin hilang dalam diri manusia moden zaman kini.

Apatah lagi dalam musim PKP ini, ramai netizen yang meluangkan masa secara dalam talian sehingga ada sebahagiannya sudah hilang kesantunan. Sering mengeluarkan kata-kata berbentuk makian, celaan dan hinaan kepada orang lain. Keghairahan untuk tidak ketinggalan dalam isu semasa menyebabkan kita menulis tanpa berfikir terlebih dahulu.

Oleh itu, saya merasakan slogan KLBWC ini perlu disebarkan secara meluas melalui kempen dan pelbagai acara berkaitan buku. Melalui pembacaan buku yang bagus, ahli masyarakat sudah tentu mendapat manfaat dan mengangkat nilai diri dengan adab sopan dan budaya yang lebih baik.

Saya ingin cadangkan untuk anda mengikuti aktiviti ini:
1. Ibrah Kisah Hebat Bersama Kak Mimi setiap hari pukul 9.50 pagi di Facebook Mimi Salleh
2. Menghasilkan Zin Comel dan sertai Anugerah Zin Comel oleh Buku United. Zin comel ini akan dijadikan koleksi #BoxLibraryProject
3. Menyertai Sayembara Penulisan KLWBC yang ditutup pada 31 Julai 2020
4. Menonton video di Facebook Terang Community dengan pelbagai perkongsian penggiat seni dan buku
5. Mengikuti Facebook Dewan Bahasa dan Pustaka
6. Menghasilkan ulasan buku secara bertulis atau video dan kongsi di laman media sosial anda
7. Membuat sesi FB Live atau Ig Live bagi yang gemar berinteraksi tentang buku dan minat anda membaca

Selamat Menyambut Ramadan

Umat Islam juga akan menyambut Ramadan, bulan yang mulia dan kita akan berpuasa selama sebulan. Setelah hampir 6 minggu melalui PKP, kita serba sedikit boleh menerima hakikat yang kebiasaan kita yang dahulu akan berubah. Ia akan digantikan dengan kebiasaan yang baharu – the new normal.

Perjuangan berdepan dengan pandemik COVID-19 ini belum berakhir. Tiga etika yang berulang-kali diingatkan oleh Ketua Pengarah KKM, iaitu selalu menjaga kebersihan dengan mencuci tangan, amalkan penjarakan sosial dan duduk di rumah. Ini bermaksud kita perlu mengurangkan aktiviti di luar, elakkan berjumpa ramai orang dan sentiasa amalkan kebersihan.

Tiada bazar Ramadan seperti diumumkan MKN. Dan kita juga mungkin tak dapat menyambut Syawal dengan kunjung-mengunjungi sanak saudara.

Jadi, mari kita isi masa ini dengan membaca buku yang bagus.

Please follow and like us: