Categories
Saham

Buka Akaun CDS

Kali pertama saya buka akaun CDS (Central Depository System) mungkin dalam tahun 2008 atau 2009. Saya buka dengan Hwang DBS di Plaza Shah Alam. Minat untuk pelaburan saham timbul apabila salah seorang sahabat bercerita yang beliau menerima ESOS.

ESOS adalah manfaat yang diberikan kepada pekerja untuk memiliki saham syarikat. ESOS ringkasan untuk Employee Stock Options. Harga yang ditawarkan biasanya lebih rendah daripada harga saham yang didagangkan di pasaran.

Apabila pekerja memiliki saham, mereka menjadi pemegang saham syarikat. Apa yang berlaku jika kita bekerja dalam syarikat yang kita miliki? Secara tidak langsung, ia meningkatkan motivasi untuk berusaha lebih kuat.
ESOS juga salah satu kaedah untuk menggalakkan pekerja setia dengan syarikat. Berkhidmat lebih lama. Pemegang saham akan menikmati untung daripada nilai saham yang meningkat dan dividen setiap tahun, jika ada.

Saya perhatikan apabila syarikat mengumumkan pemberian ESOS, harga saham di pasaran terbuka akan turun. Secara logiknya, siapa nak beli harga barang yang mahal sedangkan orang lain dapat harga lebih murah?

Berbalik pada cerita asal. Lepas dah buka akaun CDS, memang saya tak beli sebarang saham. Lama-kelamaan saya dah lupa kewujudan akaun CDS itu. Mungkin sebab saya tak tahu langkah seterusnya dan tak berusaha untuk cari maklumat lanjut. Atau saya sibuk dengan hal lain.

Beberapa tahun selepas itu, saya daftar pula dengan OSK. Sekarang OSK dah bergabung dengan RHB dan dikenali sebagai RHB Investment. Masa tu saya mendaftar di cawangan Subang Jaya. Sama juga. Saya tak bertindak apa-apa. Sehingga akhir tahun lepas, saya minta akaun dipindahkan ke cawangan Johor Bahru. Dan memulakan langkah pertama membeli saham pada bulan Mac. Saya nak kongsi cara membuka akaun CDS sangat mudah.

Syarat utama adalah pemohon berumur lebih 18 tahun. Anak saudara saya teruja tengok saya melabur dalam saham. Tetapi dia belum cukup 18 tahun.

Permohonan boleh dibuat melalui sebarang broker berlesen di Malaysia. Isi borang dan sertakan dokumen seperti kad pengenalan dan salinan penyata bank. Penyata bank ini untuk pengesahan nombor akaun sahaja.

Bayar RM10.60 dan tunggu permohonan diproses oleh Bursa Malaysia. Semasa saya mohon akaun CDS kedua dengan broker lain, dalam masa dua minggu saya terima e-mel daripada Bursa Malaysia. Seorang invididu boleh mempunyai lebih daripada satu akaun CDS. Namun, hanya satu akaun boleh didaftarkan menggunakan nama yang sama dalam satu syarikat broker.

Selepas akaun CDS dibuka, pelabur perlu buka satu akaun lagi. Akaun dagangan (trading account) di syarikat broker. Kemudian, masukkan tunai ke dalam akaun ini mengikut arahan broker. Tunai dalam akaun ini yang akan digunakan untuk jual beli saham.

Ringkasan: 

Dokumen untuk buka akaun CDS: Salinan KP, Borang Permohonan dan Salinan Penyata Bank.
Akaun CDS ialah akaun yang didaftarkan di Bursa Malaysia di bawah syarikat broker.
Akaun dagangan ialah akaun tunai untuk melakukan transaksi jual beli saham.

Please follow and like us: