Categories
Buku

Before the Coffee Gets Cold oleh Toshikazu Kawaguchi

‘If you could go back, who you would want to meet?’ Soalan yang mudah, tapi membuatkan saya berfikir sejenak. Saya ajukan di Facebook, ramai rakan yang memberi respon. Kebanyakan berkongsi keinginan mahu bertemu ibu bapa yang telah tiada atau moyang atau diri sendiri pada waktu yang telah berlalu.

Soalan ini menjadi tema utama dalam novel Before the Coffee Gets Cold oleh Toshikazu Kawaguchi. Saya membaca versi bahasa Inggeris yang diterjemah oleh Geoffrey Trousselot.

Cafe Funiculi Funicula terletak di Tokyo. Lokasinya di bawah tanah dan pelanggan boleh menemui di salah satu lorong yang sunyi. Sebuah kedai kopi lama namun dipercayai dapat membawa seseorang merentasi masa. Namun, dengan syarat tertentu. Hanya ada satu tempat duduk khas, anda tidak boleh bangun dari situ dan mesti menghabiskan kopi sebelum ia sejuk untuk kembali ke masa sekarang. Jika anda gagal, satu perkara buruk akan berlaku.

Satu lagi perkara ialah walau apa pun yang dilakukan semasa kembali ke masa lalu, hal yang telah terjadi tidak akan berubah. Ini untuk menggelakkan masalah grandfather paradox. Jika datuk/moyang mati, maka kelahiran generasi seterusnya menjadi mustahil.

Novel ini dibahagikan kepada empat kisah, iaitu kisah pasangan kekasih, suami dan isteri, kakak dan adik, dan ibu dan anak. Semua watak ini pernah berada di dalam Cafe Funiculi Funicula dan mengalami konflik yang menyebabkan mereka mahu ke masa lalu.

Walaupun ada empat kisah, tapi wujud perkaitan antara setiap watak yang diceritakan. Fumiko seorang wanita bekerjaya yang kecewa dengan kekasihnya. Kohtake, bekas jururawat yang setia menemani suaminya setiap kali Fusagi duduk membaca majalah travel. Hirai, pemilik bar yang merajuk dan Kei, isteri Nagare pengusaha kafe.

Buku setebal 224 halaman ini mudah dan cepat dibaca. Sesekali penulis menceritakan proses menyediakan kopi dengan pelbagai teknik. Pada saya sangat menarik kerana saya baru sahaja belajar minum kopi. Selain itu, ia turut mengisahkan hubungan persahabatan yang terjalin seperti yang ditonjolkan pada Hirai dan Kei.

‘Water flow from high places to low places. That the nature of gravity. Emotions also seem to act according to gravity. When in the presence of someone with whom you have a bond, and to whom you have entrusted your feelings, it is hard to lie and get away with it. The truth just wants to come flowing out.’

Novel ini asalnya ialah skrip untuk persembahan teater. Oleh sebab sambutan yang bagus, penulis menukarkan skrip kepada novel. Beliau mengambil masa dan membuat banyak penulisan semula bagi menyiapkan novel ini. Jadi, tiada plot yang kompleks. Apabila membaca buku ini, boleh bayangkan seperti satu persembahan teater dengan latar yang sama. Novel ini juga telah difilemkan dengan judul Cafe Funiculi Funicula.

Jika anda boleh kembali ke masa lalu, siapakah yang anda mahu temui?

Please follow and like us: