Categories
Saham

Roller coaster emosi dalam pasaran saham

Pasaran saham ini satu dunia yang dinamik. Malahan manusia yang menjadi penggerak utama. Manusia memang sifatnya sukar dijangka. Ini menjadikan pasaran saham mempunyai ketidaktentuan yang kadang kala mengejutkan pelabur.

Namun, bagi pelabur yang bijak mereka harus tahu mengawal emosi. Membuat pelaburan berpandukan emosi boleh menyebabkan anda gagal sama sekali. Kemudian menyesal dan tidak mahu memperbaiki teknik pelaburan mahu pun mencari ilmu.

Empat emosi yang biasanya menguasai pelabur:

Takut (fear)

Sentimen dalam pasaran mempengaruhi tingkah laku pelabur. Apabila wujud risiko seperti situasi ekonomi yang tidak menggalakkan, pendapatan syarikat yang dijangka tidak mencapai sasaran atau spekulasi yang terjadi akibat peristiwa yang berlaku di peringkat global. Contohnya, harga minyak dunia yang turun naik bergantung kepada bekalan minyak di peringkat antarabangsa. Jika bekalan dijangka melebihi permintaan, harga minyak dunia turun. Syarikat dalam industri minyak dan gas akan kena tempiasnya.

Tamak (greed)

Pelabur mempunyai jangkaan masing-masing. Datuk Seri Tajuddin Atan menasihatkan para pelabur supaya bijak mengurus jangkaan. Ramai pelabur terjebak kerana sikap tamak dan tidakĀ  mengikut trading plan mereka. Sudah capai matlamat, tapi mahukan lebih. Kemudian, rugi kerana tidak peka dengan perubahan tren yang berlaku.

Dengki (envy)

Mahukan lebih daripada orang lain. Apabila melihat pelabur lain berjaya, mereka tidak mahu belajar faktor kejayaan, malahan ingin menunjukkan diri lebih baik. Kadang kala mereka bersikap terburu-buru. Sedangkan orang lain sudah mencapai keuntungan, pelabur yang dengki ini masuk ke dalam pasaran tanpa persediaan.

Harap (hope)

Pasaran saham boleh berubah dengan pantas. Berita negatif khususnya akan menyebabkan pelabur bertindak. Dalam banyak keadaan, reaksi pelabur berlaku dahulu sebelum satu-satu berita disiarkan. Jadi, pelabur perlu berhati-hati dan rajin membaca berita berkaitan ekonomi dan syarikat yang mereka miliki sahamnya.

Please follow and like us:
Categories
Pelaburan

Farewell note Tan Sri Azman Mokhtar

Sebak juga baca nota Tan Sri Azman Mokhtar selepas beliau meninggalkan Khazanah Nasional selepas 14 tahun. Satu institusi penting negara yang menguruskan dana pelaburan kerajaan atau disebut sebagai ‘sovereign wealth fund’.

Walaupun baru-baru ini Khazanah dikatakan membuat pelaburan yang merugikan (RM80 juta) dalam syarikat online yang menjual pakaian dalam Zivame, hakikatnya pencapaian beliau lebih besar daripada itu.

Saya nak ambil beberapa poin penting dalam nota beliau. Pada saya ia bukan sekadar nota selamat tinggal, tapi ia penuh hikmah daripada seorang yang berpengalaman luas dan tokoh yang berpandangan jauh.

Yang paling utama ialah amanah yang beliau pegang ini begitu besar kerana ia melibatkan dana kerajaan.

1. Pesanan menjalankan amanah dan keadilan

Dua perkara yang berat namun diberi perhatian. Khazanah sebagai institusi pelaburan mementingkan alir tunai, peruntukan sumber kewangan dan sumber manusia, due diligence dan membuat penilaian kepada setiap pelaburan (syarikat).

Pelaburan mempunyai risiko. Risiko ini yang perlu dinilai dan diukur.

Ini mesej penting. Dalam apa jua pelaburan yang kita buat, kita akan berdepan dengan risiko.

2. Pencapaian Khazanah dalam tiga aspek utama: Kewangan, strategik dan kemasyarakatan

Kewangan
Beliau berjaya menaikkan nilai pelaburan daripada RM33.3 bilion (Mei 2004) kepada RM115.6 billion (Dis 2017). Peningkatan sebanyak 347% dengan kadar pertumbuhan tahunan (CAGR) 9.6%.

CAGR – Compounded Annual Growth Rate

Strategik
Transformasi Program GLC, pembangunan Iskandar Malaysia, penglibatan dalam pasaran luar negara yang menguntungkan. Syarikat tempatan bertaraf antarabangsa seperti TM dan Tenaga.

Untuk maklumat, syarikat dana antarabangsa terbesar di dunia iaitu Black Rock turut mempunyai pegangan dalam Tenaga Nasional Berhad.

Khazanah juga antara pelabur dalam Ali baba dan Uber sehingga menjana berbilion ringgit daripada dua pelaburan ini.

Kemasyarakatan
Berdasarkan konsep ‘Membina Nilai Sebenar’, Khazanah menubuhkan Yayasan Hasanah, Yayasan Amir dan Yayasan Khazanah. Selain itu, Khazanah Research Institute untuk pembangunan polisi ekonomi.

3. Mengakui wujudnya ruang penambahbaikan
Seorang pemimpin yang sebenar dan berani mengakui setiap keputusan yang dilakukan ada kalanya tidak memberi hasil yang diinginkan.

Pelaburan untuk MAS/MAB yang sehingga kini melalui proses pemulihan dijangka selesai pada tahun 2019.

4. Untung dan rugi dalam SWF
Pelaburan mempunyai risiko. RM19 billion adalah jumlah yang besar. Namun, ini adalah sebahagian daripada risiko dalam sesuatu operasi dana pelaburan SWF.

Jumlah keuntungan pula ialah RM100 billion dengan 10 pelaburan tertinggi bernilai RM92 bilion.

Nisbah untung:rugi ialah 5:1.

Sebuah SWF bukan seperti pelabur runcit yang sebahagiannya mempunyai sasaran jangka pendek (kurang setahun).

Pelaburan yang dilakukan biasanya bersifat jangka panjang. Seperti pelaburan Zivame yang bernilai RM80 juta (0.07% daripada RM115.6 billion).

Jika dilihat prospek, ia adalah perniagaan dalam bidang pakaian salah satu keperluan penting manusia. Dengan pasaran India yang besar.

5. Kita perlu perspektif yang betul
Dalam sebarang bentuk pelaburan, selagi mana ia tidak menyalahi prinsip atau tidak berlaku kecuaian, strategi pelaburan yang bagus dan jujur sekalipun akan mengalami sedikit kerugian.

Apabila risiko ini dikenal pasti dan diurus, maka ia akan membuahkan hasil.

Cara yang betul untuk menilai portfolio pelaburan adalah dengan melihat pencapaian portfolio berdasarkan risiko diselaraskan (adjusted risk) dan bukan pelaburan tertentu sahaja.

Please follow and like us:
Categories
Pelaburan

Melabur seperti tanam pokok durian

Rezeki buah durian daripada beberapa pokok yang mak tanam banyak juga. Beberapa minggu sebelum Ramadhan, buah durian mula gugur.

Ada yang isinya kuning, rasanya sedikit pahit dan lemak manis. Ada yang isinya putih kekuningan, lembik dan manis tapi tidak tebal. Ada yang isinya tebal dan rasanya sedang-sedang antara pahit dan manis. Yang isinya kuning itu kegemaran saya. Anak saudara saya pun suka.

Anda suka jenis yang macam mana?

Anak saudara saya yang lelaki paling suka kalau mak suruh mereka tengok durian yang gugur. Mereka kutip dan mula berkira-kira bila durian itu boleh dikopek.

“Hasil durian dapatlah kita merasa sama-sama. Kalau tidak menanam bertahun dulu, mungkin tak merasa durian daripada tanah sendiri.” Kata mak dengan senyuman. Siap suruh saya simpan dalam peti sejuk (frozen) untuk bagi anak saudara yang akan balik dari Sabah dan Mesir merasa sama.

Melabur macam tanam durian.

Modal yang mak ada adalah tanah. Kemudian beliau menanamnya dengan berjenis-jenis benih durian. Setiap tahun tanah tu tetap begitu juga, tetapi pokoknya membesar. Dan kemudian apabila matang, keluar hasilnya iaitu buah durian yang dapat dinikmati bertahun-tahun.

Tips:

Wang simpanan anda boleh dijadikan modal pelaburan. Bukan semuanya. Sebahagian sahaja. Buat pelaburan dalam pelbagai jenis seperti saham, unit amanah atau hartanah.

Modal jangan diusik. Apabila matang, hasil pelaburan seperti dividen, kenaikan nilai saham atau nilai hartanah dan sewa dapat dinikmati.

Please follow and like us:
Categories
Pelaburan Umum

Save for the good old days

Rumah pasangan ini di atas bukit. Apabila duduk di beranda, kelihatan rumah-rumah lain di kawasan sama, lebuhraya dan jalan yang sibuk nun jauh beberapa kilometer daripada sini. Angin menyapa wajah pada kala pagi, tengahari atau petang.

Setiap kali saya dan rakan sejawat datang, kami dihidangkan teh o kurang manis dan kek atau paling kurang buah-buahan.

“Auntie minum teh tak letak gula. Kamu nak gula, bubuh sendiri la ya,” pelawa Auntie Ros usai pembantunya meletakkan dulang di atas meja.

Auntie Ros kemudian menyerahkan salinan dokumen yang kami minta semasa pertemuan lalu.

“Masa muda dulu Auntie dengan Uncle memang berjimat habis. Uncle bertugas sebagai pegawai estet. Jadi kehidupan kami hanya tertumpu di dalam komuniti estet. Perbelanjaan tidak banyak. Auntie pula sebagai nurse, gaji tidak besar mana. Kami menyimpan. Semua untuk anak-anak juga.” Saya mendengar dengan teliti.

“Alhamdulilah, sekarang dapatlah hidup senang sedikit. Tiap-tiap bulan belanja kami dengan hasil kutipan sewa. Anak-anak pula sesekali bawa kami berjalan ke luar negara.” Ujar Auntie Ros lagi.

Menangguh kepuasan sementara, untuk kesenangan di masa akan datang. Amalan menyimpan pasangan ini sejak daripada usia muda menjamin bebas kewangan pada usia emasnya.

Tips:

Buat akaun khas untuk simpanan sahaja. Anda tidak akan usik akaun itu untuk perbelanjaan harian atau bulanan. Apabila jumlahnya semakin meningkat, buat pelaburan untuk mendapatkan pulangan.

Please follow and like us: