Categories
Umum

5 Cabaran Bekerja Dari Rumah (Work From Home) Semasa COVID-19 dan Cara Mengatasinya

Bekerja dari rumah bukan hal yang mudah bagi mereka yang sudah biasa keluar setiap pagi, lima hari seminggu ke pejabat atau tempat kerja. Rutin harian pasti berubah apabila kerajaan mengarahkan tempoh 14 hari Perintah Kawalan Pergerakan atau Movement Control Order yang bermula pada 18 Mac hingga 31 Mac 2020.

Semalam (24 Mac), Perdana Menteri mengumumkan PKP dilanjutkan lagi sehingga 14 April 2020. Ini bermaksud ada tiga minggu lagi untuk duduk di rumah. Tujuannya bagi membendung penularan COVID19 dan melandaikan graf lengkuk jumlah pesakit wabak ini.

Walaupun kerajaan baru melaksanakan PKP minggu lepas, ada beberapa kenalan saya yang sudah mula bekerja dari rumah. Majikan mengeluarkan arahan lebih awal apabila didapati ada kakitangan mereka yang disyaki positif COVID19. Ini untuk mengelakkan lebih ramai pekerja dijangkiti dan kesannya lebih besar sekiranya pejabat tidak ditutup.

Namun begitu, pekerja dalam beberapa perkhidmatan penting yang disenaraikan masih lagi dibenarkan pergi bekerja seperti biasa. Ini bagi memastikan keperluan rakyat dapat dipenuhi dan tidak berlaku kelumpuhan aktiviti yang mendadak.

Kita masih perlu mengisi petrol untuk kenderaan yang kita gunakan. Kita masih perlu ke kedai runcit atau pasar raya untuk mendapatkan bekalan makanan. Kita masih perlu ke farmasi untuk mendapatkan ubat-ubatan. Kita perlukan rangkaian internet yang pantas untuk bekerja dari rumah. Dan yang paling kritikal sekarang ialah kita perlukan perkhidmatan kesihatan yang ‘tip-top’ dalam menghadapi krisis COVID19. Oleh sebab itu, kita mesti duduk di rumah.

Apakah cabaran bekerja dari rumah?

Photo by cottonbro from Pexels

1. Tiada ruang yang sesuai untuk membuat kerja.
Jika anda jarang membawa tugasan pejabat pulang ke rumah, kemungkinan besar tiada ruang yang anda sediakan untuk membuat kerja pejabat. Oleh itu, anda perlu membuat penyesuaian sedikit dengan menjadikan ruang sedia ada di rumah sebagai meja kerja. Ruang tamu mungkin tempat yang sesuai atau boleh jadikan bilik kosong yang tidak digunakan sebagai ruang kerja.

2. Kemudahan yang kurang berbanding peralatan yang ada di pejabat.
Bagi mereka yang bekerja dalam sektor IT atau syarikat multinasional, majikan menggunakan talian internet yang pantas. Namun, di rumah kita mungkin hanya boleh menggunakan ‘hotspot’ pada telefon pintar dengan had data yang terhad. Jadi tidak hairan jika ada majikan yang membuat jadual kerja bergilir bagi pasukan mereka. Ini masih lagi menepati PKP dengan syarat mereka mempunyai surat kebenaran oleh Ibu Pejabat Polis berhampiran. Apatah lagi jika syarikat mereka terlibat dengan perkhidmatan penting negara seperti minyak dan gas, utiliti dan perbankan.

3. Perlu menguruskan anak-anak di rumah.
Berbanding hari biasa, anak-anak akan dihantar ke taska atau ke sekolah. Cuti sekolah sudah berakhir. Tapi sekolah juga tidak dapat dibuka selaras dengan PKP. Hendak tak hendak, ibu bapa perlu menguruskan anak-anak di rumah. Dalam banyak keadaan, sudah pasti anak-anak mempunyai pelbagai permintaan yang perlu dilayan. Namun begitu, ibu bapa harus bijak mengendalikan suasana.

Cara yang paling baik ialah menyediakan jadual khususnya untuk anak yang sudah bersekolah. Sediakan aktiviti yang menyeronokkan tetapi boleh mereka lakukan sendiri dengan sedikit pengawasan. Ibu bapa juga boleh menjelaskan kepada anak-anak tentang PKP dan keperluan untuk bekerja di rumah. Apabila anak memahami yang ibu bapa mempunyai tanggungjawab kepada majikan, maka mereka juga mudah memberi kerjasama.

4. Perlu menyediakan makanan sendiri.
Apabila bekerja di pejabat, waktu rehat sudah ditetapkan. Mudah sahaja sama ada makan bekal yang dibawa atau beli sahaja di kedai. Halnya berbeza dalam tempoh PKP. Ibu bapa yang bekerja dari rumah perlu meluangkan masa untuk menyediakan makanan sendiri.

Proses menyediakan makanan dan memasak boleh dilakukan pada awal pagi. Kita juga boleh memasak makanan dalam kuantiti yang lebih dan kemudian disimpan dalam peti sejuk. Dengan cara ini, anda dapat menjimatkan masa dalam menyediakan makanan untuk keluarga.

Bagi mereka yang jarang memasak, mungkin terasa sedikit sukar. Boleh mulakan dengan masakan yang mudah dan ringkas dahulu. Pelbagai resepi dan idea masakan dikongsi di media sosial. Inilah masa yang sesuai untuk anda mencuba resepi baharu.

5. Tahap produktiviti semasa bekerja dari rumah.
Tidak semua tugasan dapat dilakukan secara dalam talian. Fail maklumat dan data yang bersifat sulit mungkin diperlukan bergantung kepada skop kerja masing-masing. Apabila berlaku PKP, fail maklumat sulit sudah tentu tidak dapat dibawa ke rumah. Hal ini mungkin akan menjejaskan produktiviti dalam menyelesaikan kerja.

Pada masa ini, kemudahan teknologi sangat penting dalam melancarkan tugas. Pekerja terpaksa akur dengan PKP dan majikan perlu mengambil kira isu ini. Seboleh mungkin gunakan aplikasi yang sesuai untuk berkongsi maklumat supaya tugas masih boleh dilakukan.

Menyesuaikan Diri dengan Arahan PKP

Tempoh 28 hari sememangnya mencabar bagi yang tidak biasa bekerja dari rumah. Sudah tentu anda perlu mengubah rutin harian dan menyesuaikan diri dengan tuntutan ini.

Tempoh empat minggu ini sangat kritikal untuk kita sebagai rakyat Malaysia tetap duduk diam di rumah dan menjaga kebersihan diri sebaiknya. Tidak semua orang mempunyai ruang rumah yang selesa dan baik. Tapi, kita perlu mengikut arahan kerajaan.

Bagi orang bujang yang tinggal sendirian, sudah tentu akan mengalami kebosanan selepas beberapa hari tidak dapat berjumpa orang lain. Sedangkan jika dia bekerja, sekurang-kurangnya lima hari seminggu akan keluar ke tempat kerja dan mempunyai interaksi dan ruang untuk bersosial.

Sesuai dengan saranan penjarakan sosial, ini yang perlu dilakukan. Tiada orang yang terkecuali. Jadi, anda boleh berkreatif dalam menyesuaikan diri seperti menggunakan panggilan video untuk berhubung dengan ahli keluarga dan rakan-rakan. Boleh isi masa lapang dengan pelbagai perkara bermanfaat seperti membaca dan memasak masakan kegemaran anda.

Selain itu, anda perlu cakna dengan kesihatan mental diri kita apabila berada di ruang lingkup rumah. Dengan kawalan pergerakan ini, ia bermaksud anda mungkin perlu berdepan dengan pasangan atau ahli keluarga hampir 24 jam. Atau jika anda seorang diri, kebosanan juga boleh memenatkan.

Pada saat krisis COVID-19 ini, paling utama ialah mencari jalan untuk rasa gembira dan tenang di dalam rumah. Boleh tonton rancangan kegemaran anda sebagai hiburan. Luangkan masa yang sederhana di media sosial untuk membaca maklumat berguna. Sekiranya anda mudah berasa panik atau takut, elakkan membaca ‘terlalu’ banyak maklumat yang boleh membuatkan keadaan diri anda lebih teruk lagi.

Cukup dengan mengamalkan saranan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia dalam menjaga kebersihan dan menjaga penjarakan sosial apabila keluar rumah seperti membeli barang keperluan harian.

Mungkin inilah masa yang sesuai untuk menyusun semula rutin kehidupan anda untuk perkara yang penting seperti:

1. Mula mengemas dan mengasingkan barang yang tidak digunakan lagi.
2. Melakukan hobi yang baharu bagi mengisi masa lapang.
3. Mengeratkan hubungan dengan pasangan dan ahli keluarga.
4. Memupuk sifat bertolak ansur dalam rumah tangga.
5. Mula merancang perkara yang penting dalam hidup anda. Apabila krisis COVID-19 ini berakhir, anda boleh melaksanakan projek yang anda inginkan.
6. Melihat semula status kewangan anda. Sekiranya anda tergolong dalam golongan yang layak mendapat bantuan dalam Pakej Ransangan Ekonomi PRIHATIN yang diumumkan kerajaan, maka gunakan bantuan ini dengan sebaik mungkin.
7. Mula menulis buku jika anda mempunyai impian ini.

Bagi mereka yang menghadapi kesukaran dalam tempoh waktu krisis ini, boleh hubungi Jabatan Kebajikan Masyarakat untuk mendapatkan khidmat kaunseling melalui telefon.

#stayathome #fightcovid19

Please follow and like us:
Categories
Umum

10 Perkara yang Boleh Dilakukan Ketika Perintah Kawalan Pergerakan (Movement Control Order) Selama 14 Hari

Membaca maklumat dan kemas kini tentang penularan COVID-19 semestinya menimbulkan kerisauan. Saya mula fikir tentang barang keperluan di rumah. Adakah mencukupi untuk tempoh dua minggu sekiranya kerajaan menetapkan tempoh lockdown?

Siang tadi saya pergi juga ke pasar raya berhampiran. Saya buat senarai ringkas. Tidak banyak. Memandangkan ia hanya untuk keperluan peribadi dan mungkin beberapa bahan mentah sebagai bekalan. Suasana di pasar raya lebih sibuk daripada biasa. Belum sesak lagi pada tengah hari tadi.

Kaunter bayaran yang biasanya lengang kelihatan sibuk dengan pelanggan yang beratur. Saya turut sama beratur. Selepas dua pelanggan, tiba giliran saya pula.

“Tisu yang paling laku hari ini.”

Saya terdengar juruwang bercakap dengan teman sekerjanya.

Sejak minggu lalu, kerajaan sudah mengingatkan supaya mengamalkan perjarakan sosial (social distancing) dan kurangkan berada di tempat yang sesak. Kecewa juga melihat orang dewasa membawa kanak-kanak dan orang tua untuk membuat pembelian. Seeloknya, pergi membeli barang seorang diri.

Jika mampu, pergi seorang diri untuk:
1. Mengurangkan kesesakan di pasar raya.
2. Hanya beli barang ikut senarai yang ditetapkan.
3. Dapat kawal pembelian, mengelakkan pembaziran. Pembelian mungkin sukar dikawal jika bawa anak-anak kecil.
4. Elakkan membeli mengikut nafsu.
5. Elakkan bersentuhan.
6. Supaya berada dalam jarak yang disarankan untuk proper social distancing.
7. Elakkan terikut-ikut dalam belian banyak (panic buying). Herd mentality ni tak bagus.
8. Lebih baik duduk di rumah jika barang keperluan sudah cukup.
9. Fikirkan cara untuk amalan lebih eco-friendly. Gunakan air dan sabun.
10. Jangan berlama-lama di pasar raya.
11. Elakkan berebut dan bersesak-sesak.

Perintah Kawalan Pergerakan dari 18 Mac hingga 31 Mac 2020

Perdana Menteri mengumumkan perintah kawalan pergerakan untuk mengurangkan penularan COVID-19. Setakat hari ini, seramai 553 pesakit disahkan positif COVID-19.

Sejak COVID-19 diumumkan sebagai pandemik, beberapa negara sudah mengenakan larangan pergerakan atau disebut sebagai lockdown. Antaranya Itali dan beberapa negara Eropah. Penularan yang cepat menyebabkan kerajaan Itali mengarahkan lockdown bermula 8 Mac 2020 yang mungkin berakhir pada 3 April.

Spain juga telah memulakan langkah sama untuk mengekang penyebaran coronavirus ini. Negara di Eropah mengalami peningkatan rakyat yang disahkan positif COVID-19. Dalam masa yang sama China dan Korea sudah melepasi tahap kritikal apabila bilangan individu yang mengalami COVID-19 menurun dengan banyak.

Sebagai orang awam, lockdown atau perintah berkurung yang diumumkan setiap negara mempunyai peraturan berbeza.

Malaysia mengenakan perintah kawalan pergerakan atau movement control order sebagai langkah untuk mengawal COVID-19.

Apakah peraturan yang digariskan dalam perintah kawalan pergerakan?

Kerajaan menggariskan enam perkara berikut:
1. Larangan menyeluruh pergerakan dan perhimpunan ramai di seluruh negara termasuk aktiviti keagamaan, sukan, sosial dan budaya.

2. Sekatan menyeluruh semua perjalanan rakyat Malaysia ke luar negara. Bagi yang baru pulang dari luar negara, mereka dikehendaki menjalani pemeriksaan kesihatan dan melakukan kuarantin secara sukarela (atau self quarantine) selama 14 hari.

3. Sekatan kemasukan semua pelancong dan pelawat asing ke dalam negara.

4. Penutupan semua taska, sekolah kerajaan dan swasta termasuk sekolah harian, sekolah berasrama penuh, sekolah antarabangsa, pusat tahfiz dan lain-lain institusi pendidikan rendah, menengah dan pra-universiti.

5. Penutupan semua institusi pendidikan tinggi (IPT) awam dan swasta serta institut latihan kemahiran di seluruh negara.

6. Penutupan semua premis kerajaan dan swasta kecuali yang terlibat dengan perkhidmatan penting negara (atau essential services) iaitu air, elektrik, tenaga, telekomunikasi, pos, pengangkutan, pengairan, minyak, gas, bahan api, pelincir, penyiaran, kewangan, perbankan, kesihatan, farmasi, bomba, penjara, pelabuhan, lapangan terbang, keselamatan, pertahanan, pembersihan, peruncitan dan bekalan makanan.

Lihat pengumuman oleh Perdana Menteri Malaysia.

Malaysia bukan negara pertama yang mengenakan ‘sekatan’ akibat COVID-19. Kita dah lihat orang ramai di tempat lain berpusu-pusu ke pusat membeli-belah atau pasar raya untuk membuat pembelian barang. Berlakunya panic buying. Sebenarnya, tidak perlu begitu. Kedai runcit, pasar raya dan farmasi antara tempat yang masih dibuka.

Apakah yang boleh kita lakukan dalam tempoh 14 hari Perintah Kawalan Pergerakan ini?

Tidak membuat pembelian panik dan tersekat dalam kesesakan manusia di pasar raya.

Musim cuti sekolah sudah bermula. Tidak dinafikan wujud keperluan menyediakan makanan di rumah. Namun, cuba rancang menu dan perbelanjaan. Pasar raya tidak ditutup sepanjang tempoh ini. Sediakan bahan dalam anggaran untuk tempoh dua minggu.

Usahlah membeli stok dengan banyak. Tular di media sosial orang ramai membeli beras sehingga 10 beg, tisu tandas berdozen-dozen dan mi segera berkotak-kotak. Ini akan menyebabkan keadaan yang lebih buruk. Stok berkurangan dengan banyak. Orang lain yang memerlukan tidak mendapat bekalan.

Percayalah, anda boleh hidup dengan jumlah makanan yang sederhana. Bukan 10 kampit beras. Dan percayalah, apabila semua ini berakhir anda akan tercengang melihat stok barang yang anda beli dan tidak digunakan lagi.

Elakkan pembaziran sama ada dari segi bahan mentah yang berlebihan atau bahan mentah yang cepat rosak. Cuba semak dahulu peti ais dan rak makanan anda di rumah. Entah-entah masih ada barang yang anda beli berbulan lepas dan belum digunakan lagi. Inilah masanya untuk menggunakan bahan yang ada di dalam simpanan anda.

Buat aktiviti yang selamat di rumah

Bagi ibu bapa yang terpaksa bekerja dari rumah (work from home) atas arahan majikan, sudah tentu perlu memikirkan aktiviti yang sesuai untuk anak-anak. Jadi, kerja jalan dan anak-anak pun gembira.

Mungkin inilah masa terbaik untuk anak-anak melakukan aktiviti seperti membaca, melukis dan boleh juga memasak makanan yang ringkas dengan pengawasan ibu bapa.

Cari aktiviti yang menyeronokkan. Boleh juga sama-sama menonton filem kegemaran seperti Frozen.

Ibu bapa juga harus menerangkan kepada anak-anak khususnya yang sudah bersekolah rendah. Bincang dengan mereka tentang keperluan duduk di rumah. Boleh juga bincang dengan COVID-19 ini. Beri kefahaman tentang penjagaan kebersihan diri. Anak zaman milenium ini mempunyai pemikiran yang tidak terjangkau. Cubalah. Mana tahu ibu bapa sekali dapat belajar tentang situasi yang kritikal ini.

Sembahyang berjemaah dan mengaji Quran bersama

Memandangkan sekatan ke masjid telah dibuat, ada baiknya teruskan berjemaah di rumah. Boleh buat halaqah atau kelas dengan anak-anak. Topik yang mudah dan ringkas seperti kepentingan menjaga kebersihan dalam Islam. Mengaji dengan anak-anak juga boleh dilakukan. Cuba membaca terjemahan dan sama-sama berbincang mengenai ayat yang dibaca.

Belajar secara online

Apabila pergerakan berkurangan, anda akan dapati ada masa terluang untuk mempelajari hal yang anda suka. Banyak kelas online atau boleh belajar secara percuma melalui YouTube dan pelbagai sumber yang percuma. Hidup anda tidak akan bosan.

Mengajar secara online

Guru dan pensyarah khususnya sudah memulakan kelas secara online. Adakah anda ada ilmu dan kemahiran yang anda boleh ajarkan kepada orang lain? Boleh cuba rakam dengan telefon pintar dan muat naik di Facebook atau YouTube. Ataupun boleh lakukan secara langsung menggunakan fungsi FB Live. Tentu menarik dapat berinteraksi dengan pelajar.

Saya baru mencuba Google Classroom. Semasa menghadiri bengkel hujung minggu lalu, jurulatih memuatnaik bahan di fungsi Google Classroom. Menarik bukan?

Mengemas rumah

Pernah terfikir yang anda tiada masa untuk mengemas rumah? Inilah masanya. 14 hari di rumah dan anda boleh mula mengemas sebagai persediaan untuk Ramadan dan Syawal nanti. Walaupun belum tentu kita akan menerima tetamu dengan ramai seperti biasa.

Mengemas rumah akan memberikan suasana yang lebih baik kepada anda dan keluarga. Ini masa yang sesuai untuk ‘mengerahkan’ semua tenaga yang ada dan mengemas rumah bersama-sama.

Anda boleh mengemas menggunakan teknik Konmari yang dipopularkan oleh Marie Kondo. Atau mengemas mengikut sudut di dalam rumah anda. Cuba kurangkan barang atau cuba menjadi minimalis. Hati anda akan lebih tenang dan lapang.

Belajar kemahiran baru

Pernah terfikir untuk belajar sesuatu yang baharu? Misalnya, belajar bahasa asing. Boleh belajar bahasa Korea atau Mandarin. Jika suka boleh belajar bahasa Sepanyol atau Perancis. Banyak video pembelajaran bahasa di YouTube. Mana tahu anda boleh menjadi poliglot yang berkemahiran dalam pelbagai bahasa.

Atau belajar melukis. Saya mendengar satu video Ted Talk oleh Graham Shaw tentang kebolehan melukis. Ramai orang percaya dia tidak boleh melukis. Sebenarnya boleh. Seperti mana ramai orang percaya dia tidak pandai menulis. Sebenarnya boleh. Apatah lagi dengan media sosial yang wujud sekarang ini. Semua orang boleh menulis.

Melukis atau menulis boleh dilatih untuk mencapai kualiti yang dimahukan.

Lakukan hobi yang anda gemari

Isi masa lapang dengan hobi yang anda gemari seperti menjahit atau berkebun. Menanam pokok bunga atau cuba menanam sayur-sayuran. Ketika ini siapa yang sudah mula menanam sayur tentu rasa gembira kerana dapat menuai sayur yang segar. Tidak perlu ke pasar raya untuk membeli sayur yang kebiasaannya tidak tahan lama.

Apakah hobi anda?

Tonton siri kegemaran anda

Sudah lama juga tidak menonton siri drama Korea. Mungkin boleh gunakan masa yang ada di rumah untuk menonton KDrama dan filem kegemaran di Netflix. Tapi harus diingat, elakan ‘binge watching’. Tentulah memenatkan dan tidak baik untuk kesihatan apabila terlalu lama menghadap skrin telefon atau televisyen. Nanti cukup 14 hari, berat badan anda bertambah pula.

Membaca buku

Baca buku. Baca buku-buku yang anda sudah beli tapi belum sempat dibaca. Inilah masanya untuk membaca bahan yang berkualiti. Membaca juga salah satu cara untuk mengurus tekanan. Mungkin anda boleh membaca bahan bacaan yang ringan. Atau boleh juga memilih bahan bacaan yang serius kerana anda ada masa lapang.

Hikmah di sebalik Perintah Kawalan Pergerakan

Pada mulanya, orang ramai akan berasa tidak selesa kerana perlu menghadkan pergerakan. Tidak dapat menghadiri keramaian seperti kenduri kendara. Tidak dapat berjemaah di masjid dan hadir kelas agama. Tidak dapat pergi ke pejabat untuk menyelesaikan tugasan yang penting.

Kita sudah terbiasa dengan kehidupan yang sibuk dan pantas. Jalan raya yang sesak dan keadaan tergesa-gesa. Kita terbiasa berjumpa ramai orang dan bersosial. Bertemu pelanggan untuk janji temu makan tengah hari dan sesi mengeteh pula di sebelah malam.

Sekarang masa yang sesuai untuk ‘berhenti’ sejenak. Apakah yang akan berlaku dalam tempoh 14 hari? Adakah kita mampu hidup dengan aktiviti yang sederhana? Makan dengan sederhana? Komunikasi dengan sederhana?

Adakah kita mampu menjadi orang yang tidak mementingkan diri?

Tidak dinafikan perniagaan akan terjejas. Ekonomi menguncup. Kemungkinan sebahagian rakyat akan mengalami kesan yang hebat. Namun, kesihatan awam sangat penting supaya penularan COVID-19 ini dapat dikawal dan dikekang.

Semua petugas kesihatan mengharungi cabaran yang besar. Jadi, kita sebagai orang awam cubalah sebaik mungkin menjadi warga yang bertanggungjawab dan prihatin.

Selamat menjalani perintah kawalan pergerakan dengan tenang.

Please follow and like us: