Categories
Buku

Pulau Karang, R.M. Ballatyne

Buku ini ialah adaptasi novel klasik oleh R.M. Ballatyne yang berjudul The Coral Island. Serasanya sesuai untuk dibaca semasa saya ke Pulau Tenggol baru-baru ini.

Ia adalah naskah langka dalam simpanan sahabat saya. Jadi, apa kata saya cuba membacanya sepanjang percutian lalu. Buku ini menceritakan pengembaraan tiga orang anak muda, iaitu Ralph, Jack dan Peterkin.

Ralph bertemu Jack dan Peterkin dalam sebuah pelayaran. Mereka anak kapal yang berlayar merentasi lautan. Sehingga suatu ketika berlaku tragedi yang menyebabkan mereka terdampar di sebuah pulau.

Itulah Pulau Karang. Maka, bermula pengembaraan mereka di Pulau Karang. Mereka terpaksa mencari jalan untuk hidup di pulau yang sepertinya tiada manusia lain di situ.

Ballatyne menggambarkan sebuah pulau dengan keindahan pantai, pokok kelapa, terumbu karang dan gua. Agak terperinci juga dan sememangnya sesuai dengan mood saya yang berada di Pulau Tenggol.

Kemudian, berlaku peristiwa yang menyedihkan apabila Ralph terpisah dengan Jack dan Peterkin. Ralph dipaksa menjadi anak kapal dagang dengan kapten yang kejam.

Ralph menghadapi pelbagai cabaran dan hampir terkorban. Namun, dia berjaya melepaskan diri. Adakah Ralph dapat berjumpa dengan Jack dan Peterkin semula?

Novel adaptasi ini diterbitkan oleh Penerbit Fajar Bakti Sdn Bhd pada tahun 1997 dan diadaptasi oleh Kamariah Ahamed. Sebagai sebuah novel pengembaraan klasik, saya kagum dengan cara penulis menggambarkan suasana di atas kapal, serangan lanun, manusia liar dan kehidupan di sebuah pulau.

Selain daripada kisah pengembaraan, penulis menyelitkan banyak pengajaran hidup misalnya tentang menghadapi kematian, menguji kemampuan diri dan tentang perpisahan.

Saya catatkan dua petikan yang menarik:

‘Aku menyedari bahawa seseorang manusia tidak menyedari apa yang mampu dilakukan, sehingga dia diletakkan dalam keadaan terpaksa. Sekiranya dia dipaksa melakukan sesuatu tugas; dia mungkin berasa jemu dan kecewa sehingga menyedari tahap kemampuannya. Namun demikian aku tidak seharusnya membiarkan perasaan jemu dan kecewa itu menguasai diriku walaupun aku terpaksa melakukannya, Aku juga beranggapan bahawa apa yang aku lakukan itu adalah untuk sesuatu kebaikan. Aku hanya berserah dan meminta pertolongan dari Tuhan yang Maha Esa.’ (halaman 229)

‘Perpisahaan adalah sesuatu perkara yang sudah menjadi lumrah hidup manusia. Dunia ini adalah suatu tempat pertemuan dan perpisahan. Tangan-tangan yang dijabat mesra hari ini buat kali terakhir akan dipisahkan. Segala kemesraan hari ini akan bertemu buat kali terakhir setelah tangan itu dijabat dan ditinggalkan. Saat paling akhir pertemuan itu ialah apabila kedua-dua bibir mengucapkan ‘selamat tinggal’ dengan suara yang gementar dan terketar-ketar atau suara yang terputus-putus di antara sedu-sedan tangisan dan lelehan air mata.

Beberapa ramai manusia yang kita tinggalkan di dunia ini, dan tidak mungkin bertemu lagi. Sekiranya kita menyedari betapa singkatnya pertemuan di antara kita semua, kita akan cuba melalukan sesuatu yang paling baik bagi mereka, menghadiahkan senyuman manis bermadu bagi mereka dan menunjukkan rasa kasih sayang dan simpati yang abadi terhadap mereka dalam mengharungi hidup yang sangat singkat dan penuh liku dan suka duka di alam fana ini.’ (halaman 277)

Please follow and like us: