Categories
Blog

Kerana Semangkuk Soto

Saya datang lagi ke Perpustakaan Awam Johor. Kali ini berjanji dengan seorang kenalan penerbit. Dia selalu berada di sini untuk menyiapkan tugasan. Katanya suasana tenang dan tempat makan pun disediakan.

Kami berbual-bual hal buku. Sesekali bagus juga ada kenalan dalam bidang yang sama. Bersemangat mendengar tentang projek buku yang akan dihasilkan. Jadi, saya juga mesti bersungguh-sungguh menyiapkan kerja penerbitan yang sudah dirancang.

Azan berkumandang. Sememangnya saya rancang mahu balik awal. Saya sempat siapkan satu entri blog sebelum menutup komputer riba. Kenalan saya mengajak makan tengah hari di Ilmu@Kafe. Kedai makan yang dibina menggunakan kabin kontena 20 kaki.

Tahun lepas saya datang ke Perpustakaan, ia masih dalam proses binaan. Sudah beroperasi dengan baik rupanya. Kami keluar melalui pintu belakang Perpustakaan.

Ringkas dan bersih. Lokasi: Perpustakaan Awam Johor Jalan Yahya Awal, Johor Bahru.

Lanskap tanaman herba dibuat di tepi laluan pejalan kaki untuk ke Ilmu@Kafe. Ada daun kesom dan beberapa lagi jenis herba masakan. Bagus juga ideanya.

Kenalan saya ini memang selalu makan di sini. Lauknya sedap dan tidak sama setiap hari. Saya nampak lauk ikan pari masak asam pedas. Oh … sedapnya. Beberapa mangkuk soto nasi dan mihun yang belum dituang kuah elok bersusun dan ditutup dengan plastic wrap.

Dah lama tak makan soto. Langsung terbayang soto yang dimakan oleh Mimi Salleh di sebuah restoran mewah. Walaupun kuah soto perlu saya cedok sendiri daripada tong termos, saya pasti ia masih hangat tidak seperti kuah yang dituang daripada kendi leher panjang yang diceritakannya itu.

Baiklah. Saya nak makan soto nasi. Cukup untuk makan tengah hari. Tiba-tiba saya teringat ketika memasukkan komputer ke dalam beg tote yang dihadiahkan Yan. Entah-entah saya tidak bawa dompet. Oh… punah harapanku mahu menikmati semangkuk soto nasi. Nasib baik kaunter bayaran di dalam dan saya belum menuang kuah soto ke dalam mangkuk.

Hendak buat macam mana. Saya duduk menunggu sahabat saya tadi.

“Eh, nak makan apa?”

Wah, dia dah beri soalan cepu emas. Haha… Ya Allah. Malu betul. Saya terpaksa mengaku yang saya lupa bawa dompet. Hanya temankan dia makan.

“Pergilah ambil soto tu. Sedap.” Katanya sambil menghulur wang sepuluh ringgit.

Saya beriya-iya menolak. Dia beriya-iya suruh saya beli semangkuk soto. Kalau boleh masa itu juga saya nak balik. Tapi macam tak seronok pula, tiba-tiba mahu balik. Padahal muka saya dah panas dan rasa nak tutup muka sahaja. Kalau dari awal saya dah perasan tak bawa dompet, sudah tentu saya balik secepat mungkin. Hehe…

Sudahnya, saya mengalah. Saya ambil juga semangkuk soto dan membayar harganya. Begitulah cerita makan tengah hari saya. Terima kasih Azie sudi belanja saya hari ini.

Pengajaran: Selepas ini saya perlu pastikan dompet ada dalam beg sebelum ke tempat makan. Aduhai… harapnya kejadian ini tak berulang lagi. Segan.

Pernahkah anda mengalami situasi begini?

Prompt: Makan tengah hari
Boleh baca cabaran Fotoblog September dan entri lain dalam cabaran menulis di blog.

Please follow and like us: